Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 16 February 2016

Penangan Ola Bola!

Kalau diikutkan memang sudah serik untuk saya menjejakkan kaki ke panggung wayang. Mengantuk beb bila dah gelap. Selepas saya bikin wayang sendiri semasa menonton Cicakman 1 dan 2, saya sebolehnya mengelak untuk ke pawagam. Semasa di Australia pun saya pernah bawa anak-anak menonton filem animasi hebat 'The Lego Movie'. Filem dah cukup best kata orang... tapi tetap terlelap dalam pawagam. Anak-anak saja la jadi wakil untuk layan filem tu sampai habis. Baru-baru nie depa nak menonton filem "Goosebumps" dan "The Hunger Games: Mockingjay - Part 2". Saya layankan juga. Sekali lagi TGV Bukit Raja kembali jadi saksi saya terlelap.

Bila Kamil ajak pula tengok Ola Bola baru-baru nie, saya kata tunggu saja la nanti filem tu ada di ASTRO. Dia dah tak boleh sabar. Kawan-kawan di sekolah dok bercerita. Dia tak ada modal nak menyampuk. Makanya saya sekali lagi terheret untuk menonton wayang.

Teruja juga bila dapat tahu Ola Bola dapat sambutan yang sangat hebat. Boleh kutip 8 juta dalam tempoh tak sampai dua minggu. Wow! Mesti hebat sangat la filem nie kot.



Saya dan Kamil agak lewat tiba di GSC Setia Alam. Hanya tinggal 7 tempat duduk yang masih kosong kalau diikutkan di papan pemberitahuan. "Alamak sempat ka nie Kamil. Kalau dah penuh kita datang esok ya", pujuk saya. Kamil hanya mengangguk. Alhamdulillah... Dah memang rezeki Kamil. Kami berjaya jadi pengisi dua tempat duduk terakhir. Berlari kami dua beranak masuk panggung sebab dah lewat.

Cerita bermula. Mata saya seperti digam-gam. Permulaan cerita amat membosankan. Macam mana la depa kata best sangat filem nie. Lawak pun macam tak jadi ja. Saya hampir tewas juga untuk kesekian kalinya. Saya dah ready lunjurkan kaki. Tak ada yang menarik sangat dengan filem nie. Indah khabar dari rupa.

Telahan saya silap. Mata kembali terang. Rasa mengantuk tadi hilang. Filem yang kami tonton ini filem motivasi. Ini filem masyarakat Malaysia yang sebenar. Ini wajah sebenar masyarakat Malaysia. Filem ini merakamkan kembali bagaimana semua kaum di Malaysia hidup aman damai dan bersatu di bawah panji yang satu. Semua mereka sayangkan negara macam kita!

Filem ini mengambarkan individu-individu yang punya semangat patriotisme yang tinggi. Sanggup berjuang demi negara. Kepentingan peribadi ditolak ketepi. Di sebalik realiti kehidupan sebenar, mereka cuba sedaya mungkin untuk cipta sejarah dan membawa nama negara ke persada dunia melalui sukan.

Hebat sekali cara pengolahan cerita. Sehingga kesudahnya saya tak lelap. Bahkan saya tergelak sakan dan tak kering gusi melayan gelagat si pengulas sukan Rahman yang terlebih semangat. Watak Ali, Kwok Keong aka Tauke, Muthu jugak tak kurang hebatnya. Saya suka dengan suasana muhibah dalam pasukan mereka. Ini memang REAL dan bukan dibuat-buat. Pasukan bolasepak dulu dah tunjukkan wajah masyarakat Malaysia yang sebenar. Semua kaum bergabung untuk harumkan nama negara. Semua kaum pada ketika itu diikat kemas dengan rasa kekitaan melalui sukan bolasepak. Hebat orang dulu! Kini... kita jawablah sendiri.

Walau apapun ceritanya, saya bagi 5 bintang untuk filem ini. Filem yang menunjukkan WARNA SEBENAR masyarakat Malaysia yang hidup harmoni. Filem ini ada elemen realisme. Filem sebegini pada hemat saya berjaya memberi impak yang cukup signifikan di dalam mempengaruhi keadaan sosial masyarakat berbilang kaum yang adakalanya kita boleh lihat semakin hari semakin tegang. Semoga dengan lahirnya filem sebegini akan jadikan masyarakat kita TIDAK BUTA SEJARAH, terus berusaha untuk bersatu padu dan terapkan semangat untuk lebih sayangkan negara.

Saya keluar panggung dengan rasa bangga. Keluar bersama saya masyarakat berbilang bangsa. Oh Malaysia. Jangan digadaikan keamanan dan keharmonian yang kita ada hanya untuk meneruskan legasi kuasa yang ada. Jom terus bersatu bangsa Malaysia! Kita sama sahaja disisi-Nya. Hanya iman dan takwa membezakan kita.

Nota: Yang lebih utamanya saya nak bagi tahu... Saya tak tertidur dalam panggung semasa menonton filem ini. Huhuhu

No comments: