Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 3 February 2016

Iktibar dari sebuah kisah OKU

Teringat akan kisah sebuah fakulti di sebuah universiti di tanahair. Warganya pada ketika itu masih belum celik orang kurang upaya (OKU). Di sepanjang pengetahuan saya juga tiada warganya yang OKU. 

Segala-galanya berubah akibat daripada suatu tragedi. Salah seorang daripada ahli akademik di fakulti terbabit yang mana saya amat saya kenali dengan tidak semena-mena telah diserang sejenis virus hingga menyebabkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah. Ahli akademik tersebut terpaksa melupakan sementara gaya hidupnya  yang sentiasa aktif dan cergas. Beliau terpaksa berkerusi roda untuk bergerak dan ke mana-mana. 


Secara kebetulan saya bertembung dengan insan istimewa ini ketika saya mempunyai urusan di sebuah hospital di ibu kota. Beliau keseorangan dan seakan terkejut apabila disapa. Saya turut membantu menolak kerusi roda beliau. Kami sempat bersarapan di kafe hospital dan bersembang panjang. 




Ada hikmah katanya akibat daripada tragedi yang menimpa dirinya. Rentetan dari kekurangannya itu, pihak universiti secara umumnya dan lebih khusus lagi pihak fakulti telah mula buka mata dan seterusnya menyediakan segala bentuk kemudahan untuk OKU. Ianya bermula dari parkir khas OKU yang hampir dengan tanjak/ramp di pintu utama untuk masuk ke fakulti hinggalah ke kemudahan khas OKU di dewan kuliah.

Berkat kesabaran dan semangat yang hamba Allah ini yang tidak pernah padam, beliau kini kembali sihat seperti sediakala dan mampu menjalani kehidupan serba aktifnya seperti biasa. Alhamdulillah...

Kalau tidak banyak pun, tentu terdapat secebis pengajaran daripada coretan saya di atas. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan nikmat kesihatan, kesejahteraan dan kesenangan yang kita ada sebelum ianya ditarik balik oleh Allah subhanahu wata'ala. 


Jazakumullahu khairan kathira kerana anda semua sudi membaca coretan kali ini.

No comments: