Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 12 February 2016

Berlibur Jangan Sampai Lupa Bersyukur!

Saya sempat bawa keluarga berlibur di sebuah taman tema di Pantai Timur semasa cuti Tahun Baru Cina tempohari. Kami bermalam di Kuantan dan bertolak ke taman tema yang dimaksudkan pada keesokan harinya. Saya lihat ramai sekali pengunjung yang datang pada hari yang sama. Walaupun masih awal, barisan untuk ke kaunter tiket sudah panjang. Hanya tiga kaunter sahaja yang dibuka walaupun ramai sekali yang bersemangat datang bersama ahli keluarga untuk mandi manda dan beriadah.

Sambil beratur saya sempat mendengar beberapa pengunjung yang sama-sama beratur membebel. Mereka membandingkan taman tema ini dengan sebuah lagi taman tema yang baru dibuka di selatan tanahair. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa taman tema di selatan tanahair memberi keselesaan yang lebih kepada pengunjung yang datang. Beraturnya pun tidak dirasakan terlalu lama walaupun pengunjungnya ramai. Ini kerana taman tema di selatan tanahair tu membuka lebih banyak kaunter terutama sekali ketika pengunjungnya ramai. Khabarnya lebih dari 10 kaunter. Banyak lagilah yang mereka bincangkan. Saya hanya menjadi pendengar setia dan sekali sekala sahaja menyampuk.

Setelah beratur lebih sejam maka dapatlah saya dan keluarga akan 'gelang' yang perlu dipakai untuk di sepanjang kami berada di dalam taman tema tersebut. Masuklah kami ke dalam dengan hati berbunga-bunga. Semangat sungguh anak-anak nak terjun kolam, main air dan menyelusuri 'lazy river'.

Alamak kena sewa pelampung la pulak. Pergilah saya ke kaunter untuk sewaan pelampung. Tu dia.... panjangnya barisan. Selepas beratur sejam lebih di tengah panas terik dapatlah saya menyewa akan dua buah pelampung berkembar. Fuh! berpeluh sakan dibuatnya.

Pengunjung tersangatlah ramainya pada hari yang kami pergi tu. Kalau nak diibaratkan ramainya orang, bolehlah kiranya saya ibaratkan selak orang baru nampak air huhuhu... nak bagitau punyalah ramai manusia.

Puas mandi di bahagian kanak-kanak dan menyelusuri lazy river, depa ajak pula saya cuba waterslides untuk orang dewasa. Saya layankan aja. Kaisara jadi buddy saya. Dah tak ingat pulak saya berapa kali dok panjat anak tangga dan mengelungsur turun 'crystal slide' (slide yang terang) dengan dia. Sampai saja di bawah, dia ajak buat sekali lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak naik lagi. Sampai saja di bawah, dia ajak panjat anak tangga lagi.

Berulangkali kami buat slide yang sama sampai lifeguard tu pun dah kenal. Siap lifeguard tu boleh cakap kat Kaisara, 'Dah tak nampak dah perut ayah dia!'. Itulah penangan dok melayan Kaisara.


Tak puas turun 'crystal slide' dan layan 'galaxy slide' (slide yang terowongnya gelap) kami berempat try satu lagi slide yang saya pun tak ingat namanya. Kali nie pelampung berkembar yang kami sewa terpaksa kami tinggalkan di bawah. Kami tinggalkan kedua-dua pelampung yang disewa di suatu sudut di bawah. Slide yang akan kami naik tu dah ada sediakan pelampungnya yang tersendiri. Cukup untuk kami semua.

Punya la panjang beratur. Sejam lebih jugak la kena beratur baru nak sampai giliran. Dalam dok seronok nak sampai giliran, muncul pula seorang pengunjung lain masuk betul-betul depan kami. Saya tanya dia, "Adik dengan siapa?". Dia jawab sambil tunjukkan, "Saya dengan family depan nie". Terus saya selamba tanya dengan family depan saya. Depa kata bukan. Aik! dia sudah tipu saya da. Saya tanya lagi, "Adik sebenarnya dengan siapa?". Dia diam dan berdiri selamba depan saya sambil berkata, "Dia nie lorat la!". Alamak, dia yang potong barisan, kita pulak dikata banyak songel. Orang lain hanya memerhati. Ada juga yang suruh budak perempuan ini ikut barisan dan kembali ke tempat asalnya. Dia buat don'no saja. Foto saya pula yang nak diambilnya untuk diviralkan gamaknya.

Rupa-rupanya si-dia ini datang bersama-sama ramai lagi geng. Lelaki dan perempuan muda. Yang lainnya hanya pandang dari jauh sahaja. Ini gadis terlebih berani da.

Apabila dah pengunjung lain pun turut sama mendesak, akhirnya dia mengalah. Dengan muncung panjang sejengkal dia kembali kepada geng dia. Aduhai memang spoilt betul la. Alhamdulillah saya dan pengunjung lain boleh tahan sabar dengan karenah dia seorang.

Sampai giliran kami. Menggelungsor la kami anak beranak di atas pelampung gergasi yang disediakan. Semua happy!

Sampai di bawah lain pulak ceritanya. Dua buah pelampung kami 'lesap'! Aduhai... terpaksa agih tugas dengan anak-anak. Kami berpecah dua. Semua kena ingat nombor pelampung dan warnanya dan tunggu di penghujung terowong slides. Tunggu punya tunggu punya tunggu pelampung yang hilang tak jugak muncul-muncul. Saya katakan pada anak-anak, " Kalau ada rezeki kita, pelampung tu kita akan dapat balik dan dapatlah balik duit deposit tu, jangan risau... Kalau dah bukan rezeki kita, redha aja la... Semua baca doa minta Allah permudahkan bagi jumpa!".

Hampir setengah jam jugalah kami menunggu dan membelek nombor pada setiap pelampung warna biru dan hijau yang keluar dari terowong slide. Akhirnya muncul juga pelampung biru berkembar dengan nombor E067. Sepasang uda dan dara sambil berselfie sudah pakai da. Seronok sungguh depa berdua merakam saat-saat gembira menggelungsor bersama.

Terus saya tanyakan depa di hadapan lifeguard yang memerhatikan saya anak beranak dari tadi adakah pelampung ini depa sewa. Kedua-dua tak mengaku dan menuduh sesama sendiri. Katanya kawan perempuan depa yang ambil. Siap disebut nama lagi. Kedua-duanya minta maaf dan tak henti-henti menyalahkan rakan lain. Saya tanyakan baik-baik, 'Kawan-kawan adik ada terambil satu lagi pelampung warna hijau!". Serentak kedua-dua menjawab, "Tak ada!".

Aduhai... satu pelampung sudah dapat, tinggal lagi satu. Tunggu lah kami lagi kat bawah tu. Selepas hampir setengah jam, pelampung yang ditunggu tak muncul-muncul dari lubang terowong slide. Saya ambil keputusan untuk panjat anak tanga, tengok-tengok kot-kot pelampung tu ada di atas. Saya tinggalkan tiga beradik di bawah untuk ushar kot-kot pelampung 'milik kami' tu ada orang lain pakai. Saya tinggalkan pesanan pada Kamilia jangan tegur si-pengambil, cuma beritahu lifeguard bertugas bahawa pelampung yang orang pakai itu kami yang sewa. Kemudian saya panjat tangga sambil mulut terus berdoa agar dipermudahkan urusan pencarian.

Akhirnya dah rezeki anak-anak... pelampung yang kami cari 'terlekat' di atas rupanya. Ada orang 'pinjam' dan tinggalkan di atas. Jumpa juga akhirnya pelampung hijau E1072. Alhamdulillah...alhamdulillah...alhamdulillah...

Anak-anak seronok bukan kepalang apabila melihat papa depa 'pulang' dengan pelampung yang dicari.

Saya ingatkan... semua depa dah hilang mood nak main dan bersedia untuk pulang. Rupanya wajah yang sebelumnya monyok kembali ceria dan mahu terus panjat lagi anak tangga dan ulang menggelungsor lagi, Aduhai.... Jenuh!

Semua yang berlaku ada hikmahnya. Hebat sekali perancangan Allah swt. Dalam dok nak bergembira pun diujinya sebentar untuk saya berkongsi pengajaran daripada setiap yang berlaku dengan anak-anak. Saya ringkaskan sedikit pengajarannya dari pengalaman libur kami sekeluarga : Pertamanya BERSABAR, keduanya JANGAN POTONG BARISAN, ketiganya JANGAN DIAMBIL BARANG YANG BUKAN HAK KITA dan yang terakhirnya ALLAH KAN ADA!... sentiasa bermohon kepadanya. Ingat DIA di saat senang dan susah!

No comments: