Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday 11 July 2015

Jelajah Pulau Selatan New Zealand: Hari Ketiga di Aoraki Mt Cook Village

Hari yang segar. Usai solat Subuh saya tidak kembali ke tilam yang empuk. Hajat di hati ingin menyaksikan sendiri detik-detik matahari terbit. Kebetulan pula bilik yang kami inap ini menghadap ke arah matahari terbit, maka ianya jadi lebih mudah. 

Saya jengok keluar, rupanya saya bukan keseorangan. Beberapa penghuni lain yang menginap di resort terbabit juga sudah bersedia dengan kamera dslr masing-masing. Siap ada yang berpayung lagi. Kami sama-sama setia menunggu. Sayangnya gerimis pagi menutup pemandangan kami. Kabus yang tebal di awal pagi juga menghalang detik-detik munculnya matahari di ufuk timur. Pemandangan gunung-ganang sekitarnya juga agar suram pagi ini dek kerana kabus yang agak tebal. 


Saya capai kamera dan ajak Kamilia untuk turut sama meneroka suasana keindahan dan kedinginan pagi di sekitar perkampungan Aoraki Mount Cook. Kamilia tanpa banyak bicara seakan faham mengekor sahaja. Kamil dan Kaisara buat tak tahu sahaja. Depa dua beradik tak mahu turut serta. Ipad jadi keutamaan dan kedinginan pagi jadi alasan dan halangannya. 


Aoraki Mount Cook Village memang cantik. Rasa rugi pulak menginap hanya satu malam di sini. Kami terjah ke denai-denai yang singkat laluannya, kami jengah sungai-sungai  yang deras airnya dan kami seberangi jambatan yang di bawahnya air sungai mengalir laju. Udara di sini memang nyaman dan amat menyegarkan.


Untung kami dua beranak kerana menjadi antara individu yang terawal di pagi tersebut yang menghidup udara yang segar dalam suasana yang mendamaikan. Tiada langsung kenderaan yang lalu lalang di kawasan yang kami tujui. Sejam lebih jugak la kami dua beranak meneroka segenap pelusuk Aoraki Mount Cook Village dan sekitarnya sebelum balik semula ke bilik.


Liza sudah siap menyediakan sarapan dan makanan tengahari juga telah siap dibungkus untuk dibawa bersama menjejak denai Hooker Valley. Selesai bersarapan, berkemas dan masukkan barang-barang ke dalam kereta kami check-out.

Kami check-out awal kerana kami punya misi yang cukup besar di hari ketiga ini. Kami ingin merentas denai di Hooker Valley. Khabarnya Hooker Valley ini punya keindahannya yang tersendiri. Maklumat ini semuanya saya perolehi dari pembacaan blog-blog pengembara dan foto-foto yang dipamerkan di blog-blog tersebut.


Saya akan coretkan kenangan manis kami anak beranak menjejak denai Hooker Valley dalam posting akan datang. 



No comments: