Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday 20 August 2014

Sedekah Bukan Sekadar Dengan Harta Sahaja

Saya sekeluarga berkesempatan meladeni seorang bekas anak murid di UiTM dan keluarganya ketika beliau berkunjung ke Melbourne. Ketika menyelusuri laluan di sepanjang Swanston Street, saya dapat menyaksikan bagaimana beliau tak henti-henti memasukkan wang ke tabung-tabung si-pengemis dan gelandangan yang sememangnya menjadikan laluan di sepanjang Swanston Street dan Bourke Street yang sentiasa penuh dengan manusia sebagai 'port' untuk mereka 'mencari rezeki. Hebat sahabat ini, moga Allah swt rahmati dia dan keluarganya. 

Namun tak semua di antara kita faham akan konsep rezeki dan bersedekah. Sesungguhnya kita perlu tahu bahawa bukan semua rezeki yang dikurniakan Allah swt itu milik kita kesemuanya. Kita perlu berkongsi. Sedekah bukan hanya perlu dengan wang ringgit, dollar Amerika, emas, intan ataupun permata. Kalau dah tidak mampu memberi sedekah dalam bentuk kewangan, boleh sedekah melalui sumbangan tenaga pada jalan Allah. Jika tidak mampu juga, cukuplah sekadar senyuman ketika menemui insan di sekeliling kita. Banyak lagi kaedah sedekah sebenarnya.

Teringat juga saya akan Kuliah Hadith yang disampaikan oleh Ustaz Azizee (mantan penghulu kami di Desa Bundoora, Melbourne) suatu ketika dahulu. Saya sering mencatatkan intisari hadith2 yang disampaikan beliau. Semoga Allah rahmati guru kami ini. 


Ustaz Azizee membincangkan tentang Hadis ke-26 dalam Arba'in an-Nawawiah hasil karya agung Imam al-Nawawi r.hm yang berkaitan dengan sedekah dan mendamaikan pertikaian dengan adil. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik di atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ayuh jangan bertangguh lagi. Jom bersedekah. Perbanyakkan sedekah, kurangkan memberi alasan
.

Monday 18 August 2014

Indahnya Ukhwah: Bertemu & Berpisah kerana Allah

1. Kami raikan kedua-dua imam lepasan Maahad Tahfiz Pahang di penghujung tugasan mereka sebagai imam sepanjang Ramadhan di Melbourne. 

2.Sengaja kami pilih kawasan bersalji kerana kedua mereka belum pernah bermain salji. Harapan kami agar aktiviti 'penutup' ini akan jadi momen yang tak akan mereka lupakan selagi hayat dikandung badan.



3. Terima kasih kepada saudara Wan Faizal sekeluarga kerana turut sama meluangkan masa meraikan dua imam ini di Lake Mountain.



4. Di pagi Aidilfitri, mereka dijemput untuk mengimamkan solat sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah di Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne. Majlis pada pagi tersebut turut dihadiri oleh Mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri serta hampir 800 orang rakyat Malaysia yang berada di bumi Melbourne.


 
 

5. Di Hari Raya Aidilfitri yang pertama juga kedua imam ini yang kami anggap seperti darah daging sendiri walaupun baru sebulan kami kenali dibawa menginap di teratak kami agar mereka tidak kesunyian beraya di perantauan. Sebelumnya mereka menginap dan bertugas selama sebulan di Dewan Malaysia Melbourne.

 
5. Mereka bertuah apabila turut berkongsi kemeriahan dan kegembiraan rumah terbuka sebahagian daripada rakan-rakan di Melbourne. Terima kasih rakan2 dan jiran2 kami...Muhammad Ashraf Rostam, Hafizah Dzulkifli, Mohd Kamarul Azlin, Ija Anuar, Wan Faizal & Roslinda Yop Othman yang sudi menerima kehadiran kedua tetamu istimewa ini ke rumah terbuka mereka. 

6. Semoga berjumpa lagi wahai saudaraku Ustaz Abrar Al Chenori & Ustaz Saufi Misran


7. Sama-sama kita doakan agar ukhuwah yang baru terbina ini sentiasa berada dalam redha dan rahmat Ilahi. InsyaAllah

Thursday 7 August 2014

Kisah Arya

Arya rakan sekelas Kaisara di Findon Primary School. Pada penggal persekolahan yang ketiga, Arya telah dilantik sebagai ketua kelas yang baru bersama Chloe.


Minggu lepas Arya ke kelas dengan jam di tangan. Jam tangan warna biru. Saya dapat saksikan gelagat Arya dari luar pagar sekolah. Pergelangan tangan sengaja diangkat ke atas. Ke sana ke mari dia tayangkan jam tangan barunya. Entah apa la yang dicakapkan dengan kawan-kawannya. Kesian, tak ada yang melayan sebab yang lain dok sibuk bermain bola di awal pagi sebelum loceng permulaan waktu persekolahan berbunyi.


Sampai ke kelas Kaisara, saya ketemu lagi dengan Arya. Kali ini Arya maklumkan yang dia pakai jam tangan baru. Jam tangan yang dipakainya itu cukup istimewa katanya. Hadiah dari ibunya sebab dia jadi ketua kelas. Saya  ucapkan tahniah. Dia seronok... senyum bangga sampai ke telinga.


Awal minggu ini, sementara menunggu waktu persekolahan tamat saya terdengar Niina (guru kelas) dok 'membebel' kat Arya. Niina bagi amaran pada Arya di hadapan bapa Arya. Jawatan ketua kelas yang disandangnya untuk penggal ini bakal dilucutkan kalau dia masih tak berubah sikap. Rupanya Arya sudah tumbuk seorang rakan sekelas da. Alasannya kerana budak tu terlalu bising ketika guru tak ada dalam kelas. Dia dah suruh rakannya senyap, tapi rakan tu masih degil. Akhirnya dia guna 'kuasa' terakhir yang dia ada. Ditumbuknya budak tu. Aduh... sudah guna kekerasan da!

Lencana ketua kelas yang baru Arya dapat dari Pengetua semasa perhimpunan mingguan terpaksa Niina simpan sebagai amaran bahawa Niina  serius dengan tindakannya itu. Kesian pulak tengok Arya. Sedih saja menunduk. Terima saja hukuman. Kecik-kecik lagi dah belajar sesuatu yang berguna. Ianya mungkin jadi pengalaman yang cukup berguna kepada Arya sepertimana saya juga pernah dilantik dan dilucut dan letak jawatan Ketua Kelas dan Pengawas ketika di bangku sekolah dahulu.

Saya juga punya coretan pengalaman ke sekolah dengan jam tangan baru dan dilucutkan jawatan. Ianya ada di sini dan coretan letak jawatan ada di sini.