Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 20 January 2014

Kembara Tasmania: Cradle Mountain Kami Datang!

Berat sungguh kaki ini untuk melangkah meninggalkan Cradle Mountain di hari kedua tanpa sempat menyaksikan keindahannya. Namun kalau sudah begitulah perancangan dari-Nya, kami terima dengan redha.Tentu ada hikmahnya...

Coretan hari kedua ada di sini.

Walaupun jasad kami berada nun jauh di Hobart di hari ketiga dan Hastings Caves di hari keempat, namun 'panggilan Cradle Mountain' tetap kuat di sanubari. Cradle Mountain seolah-olah melambai-lambai memanggil kami sekeluarga untuk datang menyaksikan sendiri keindahannya.

Saya tidak mahu menunggu lebih lama. Saya pun tidak tahu bilakah kaki ini akan kembali ke bumi Tasmania. Peluang yang terhidang ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Saya bertekad untuk ke Cradle Mountain sebelum kami berangkat pulang ke Melbourne.

Saya kembali merujuk kepada ramalan keadaan cuaca di Cradle Mountain. Mendung pula katanya dan kemungkinan hujan sekejap-sekejap bakal berlaku di samping angin yang agak kencang. Aduhai... ada peluangkah untuk kami sekeluarga untuk trekking dan melihat sendiri ciptaan Illahi ini dengan lebih dekat pada kunjungan kedua ini.

Saya bertekad di awal pagi di Hobart. Kami perlu bangun awal dan terus bertolak ke Cradle Mountain. Saya tidak kisah lagi dengan perjalanan selama empat jam yang bakal ditempuhi untuk sampai ke sana. Saya tak kisah juga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti yang dilaporkan. Ketika di dalam perjalanan saya membuat panggilan ke pejabat Cradle Mountain National Park (CMNP). Berita gembira yang diterima mengatakan semua laluan dan denai di CMNP dibuka untuk pengunjung. Itulah berita gembira yang cukup bermakna dan memberikan motivasi dan menghilangkan kepenatan pemanduan yang perlu ditempuhi. Alhamdulillah...

Kami tiba di CMNP betul-betul ketika waktu Zohor. Selepas solat dan makan tengahari kami menaiki shuttle bus yang disediakan pihak taman kepada pengunjung. Bas ini membawa kami hinggalah ke Dove Lakes. Subhanallah.... itulah ucapan yang terbit dari bibir sebaik turun dari bas dan melihat sendiri keindahan Dove Lakes yang berlatarbelakangkan Cradle Mountain. Syukur kehadrat Illahi kerana impian dari tahun 2007 untuk menjejakkan kaki ke sini akhirnya tercapai jua walaupun di awalnya terdapat halangan hampir-hampir membantutkan impian enam tahun lepas. Alhamdulillah...

Cradle Mountain dan Dove Lakes memang tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua saling memerlukan dan saling melengkapi untuk menambahkan lagi keindahan dan nilai estetika. Minda menjadi tenang tak kala menyaksikannya. Kagum dengan keindahan alam ciptaan Allah ini.

Kami sepakat untuk mengelilingi Dove Lakes. Kami ingin menyaksikan sendiri Cradle Mountain dengan lebih dekat lagi. Kalau diikutkan pihak taman, dua jam diperlukan untuk mengelilingi tasik ini. Oleh kerana Kaisara turut nak berjalan... kami mengambil masa sehingga lebih 3 jam untuk menyempurnakan satu pusingan Dove Lakes. Di pertengahan jelajah kami, salji dan hujan mula turun, Anak-anak mula kedinginan. Dengan pakaian yang tidak lengkap, pastinya ia agak tidak selesa. Syukur anak-anak tidak meragam. Sarung kaki ekstra yang memang kami bawa menjadi ganti buat sarung tangan yang tidak dibawa. Kamilia dan Kamil cukup kuat untuk menghabiskan satu pusingan Dove Lakes tanpa merungut. Kaisara terpaksa saya kendong di akhir sepertiga pusingan. Kalau nak tunggu Kaisara berjalan sendiri hingga menamatkan pusingan... mahu sampai ke malam la jawabnya kami di lokasi penamat pusingan Dove Lakes.

Alhamdulillah kami sekeluarga selamat sampai lokasi permulaan dan kembali ke pejabat taman CMNP. Seterusnya saya perlu memandu lebih kurang 2 jam 30 minit lagi untuk ke lokasi penginapan kami di Hadspen sebelum berangkat pulang ke Melbourne keesokan harinya.

No comments: