Buku Seteguh Tekad ini entah macam mana boleh saya terfikir untuk dimasukkan ke dalam bagasi dan dibawa bersama sewaktu berhijrah ke Melbourne pada Mac 2012. Tentu sekali ada banyak yang tersirat di sebalik buku yang telah saya beli pada 27hb Jun 2008 ketika berkunjung ke Pesta Buku yang dianjurkan oleh Alaf 21. Pada mulanya, apabila saya melihat kulit buku yang dipamerkan di rak, terlintas sejenak tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri. Di kulit buku tersebut menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua. Apa relevannya basikal tua dengan penulis yang siap bersut lengkap itu. Oleh kerana ingin mengetahui akan isinya, saya melabur wang sebanyak RM13.00 bagi memiliki naskah buku yang dimaksudkan. Setelah membelek helaian demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui penulis, timbul pula kesedaran yang kehidupan ini tidak akan terlepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya adalah keutamaan.
Menyelak helaian demi helaian, pembaca bagaikan turut dibawa bersama merasai kesusahan dan penderitaan yang dialami seorang anak yang berjiwa besar tapi hidup dalam serba kekurangan. Buku ini sebenarnya adalah sebuah rentetan pengalaman hidup yang menekankan aspek motivasi dan berupaya merangsang jiwa agar sentiasa bersemangat kental.
Seteguh
Tekad adalah sebuah buku nukilan anak kelahiran negeri Melaka, Prof. Dr. Sidek
Baba di mana pembaca akan dapat menyelami liku-liku kehidupan yang dialami oleh
beliau untuk menuju puncak kejayaan. Pendakian tangga kejayaan akan dapat
diselami melalui rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi
dan merangsang jiwa supaya pembaca sentiasa bersemangat kental di dalam
menempuh dugaan dalam kehidupan.
Buku ini telah ditulis sendiri oleh yang empunya diri. Buku autobiografi ini dapat memberi peluang kepada pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Dr. Sidek yang telah dilahirkan ke dunia ini dalam serba kekurangan tetapi kini telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.
Ini adalah bukti melalui kata-kata beliau di mana tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau adalah sebenarnya pendorong kuat yang akhirnya mampu menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.
Buku ini telah ditulis sendiri oleh yang empunya diri. Buku autobiografi ini dapat memberi peluang kepada pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Dr. Sidek yang telah dilahirkan ke dunia ini dalam serba kekurangan tetapi kini telah berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang.
Ini adalah bukti melalui kata-kata beliau di mana tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau adalah sebenarnya pendorong kuat yang akhirnya mampu menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.
Profesor
Dr. Sidek Baba merupakan seorang tokoh pendidik dan pejuang pendidikan Islam
yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan jemu di dalam kamus
kehidupannya. Tokoh berjiwa besar ini mengajak pembaca melalui bukunya agar
menilai tentang erti sebuah kehidupan yang amat memerlukan ilmu sebagai
pengisiannya.
Salah
satu faktor penting yang turut ditekankan di dalam buku ini adalah pengalaman
yang dilalui selalunya akan mendekatkan lagi manusia dengan Penciptanya,
merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran. Ciri ini
tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di
samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa
beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.
Sesuai
untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik
semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka
yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat
kita bersedia merubah nasib diri. Buku ini juga mampu memotivasikan
pendidik-pendidik agar ikhlas di dalam mendidik anak bangsa dan seterusnya
tidak lupa mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh pelajar.
Buku
nukilan Dr. Sidek ini penuh dengan semangat dan emosi. Di suatu peringkat, saya
hampir menitiskan air mata dek penceritaannya yang memilukan. Sampai di suatu
peringkat yang lain pula, semangat saya untuk berusaha marak menyala kerana
didorong oleh kejayaan penulis buku tersebut atas hasil usahanya yang tidak
pernah mengenal erti penat dan jemu.
Begitulah hebatnya buku ini. Banyak pengajaran dan nilai-nilai positif yang boleh pembaca ambil iktibar dari buku ini.
Saya membahagikan
pengajaran yang boleh diperolehi daripada buku ini kepada beberapa bahagian
iaitu:
1. Pengorbanan untuk perubahan
2. Kecekalan dan keazaman
\ 3. Kasih sayang
PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN
Dr.
Sidek telah melakukan satu pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya iaitu
berhijrah. Jelas dapat disaksikan bagaimana pelajar miskin yang dahagakan ilmu
ini yang bermula dari sekolah rendah telah sanggup berhijrah ke Bandar Melaka
untuk menyambung pelajarannya di peringkat sekolah menengah. Seterusnya beliau
berhijrah ke Maktab Perguruan Sultan Idris dan Universiti Malaya untuk
peringkat sijil dan ijazahnya. Kemudian diberi peluang pula untuk menuntut di
universiti di Amerika Syarikat. Pengorbanannya di dalam melakukan hijrah amat
berbaloi dan telah berjaya mengubah kehidupan beliau.
Sesungguhnya
tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan pula adalah
suatu tuntutan hidup. Setiap umat Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk
berubah. Berubah dari sesuatu yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik
kepada yang terbaik adalah tuntutan agama (Noor,
2004).
Di
dalam Seteguh Tekad, Prof. Dr. Sidek menggarap liku-liku kehidupan yang
ditempuhinya dengan tenang dan teratur dan disulami dengan emosi dan doa.
Beliau mengisahkan hidupnya sebagai insan biasa yang berjiwa besar, mengait
impian demi impian dan berpijak di alam nyata. Pengorbanan keluarga
beliau adalah amat bernilai dan tidak dapat disangkal di dalam kehidupannya.
Dr. Sidek sering mengungkapkan pesanan ayahanda yang tersayang:
“Kalau takdir kau jadi orang yang dikenali, jangan lupa ALLAH. Selalu tolong orang yang susah. Selalu kaitkan rezeki dengan berkat. Kalau kau jujur dengan ALLAH, pertolongan ALLAH akan datang”.
Selain
daripada itu pengorbanan yang amat luar biasa juga telah dipamerkan oleh isteri
Dr. Sidek. Isterinya sanggup meninggalkan jawatan semata untuk memberi tumpuan
mendidik anak-anak dan menjadi pendorong utama kejayaan hidupnya. Semasa di
luar negara pula isteri bertindak sebagai pemberi inspirasi dan penguat
semangat. Benarlah kata bijak pandai bahawa tangan yang menghayun buaian boleh
menggoncang dunia. Melalui pengorbanan daripada si-isterilah menyebabkan Dr.
Sidek lebih tenang menempuh dugaan bagi mengecapi kejayaan.
KECEKALAN DAN KEAZAMAN
Pengalaman
Sidek yang mengayuh basikal sejauh 45 batu pergi balik setiap hari dari
rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana
kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya telah melahirkan
insan yang menjadi contoh kepada umat Islam pada hari ini. Inilah antara salah
satu contoh kecekalan beliau di dalam menuntut ilmu. Beliau faham bahawa ibubapanya
tidak mampu untuk membayar tambang bas untuk berulangalik ke sekolah. Maka
untuk mengelakkan dirinya tercicir daripada meneruskan pengajian sekolah
menengah, beliau sanggup mengorbankan tenaga dan masanya untuk mengayuh basikal
untuk destinasi yang sebegitu jauh pada setiap hari persekolahan. Akibatnya
pelajaran beliau merosot dan tercorot.
Dr.
Sidek juga tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk beliau tidak boleh
berjaya. Selain daripada itu Dr. Sidek tidak pernah sekalipun bersungut akibat
kegagalannya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti
Higher School Certificate (HSC). Beliau tidak jemu-jemu mencuba berulangkali
menduduki peperiksaan untuk HSC sehinggalah mendapat keputusan yang cemerlang dan
melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dr. Sidek telah membuktikan bahawa gagal
sekali bukan bermakna dia akan gagal untuk selamanya. Sesungguhnya belajar dari
masa lalu dapat membantu membentuk masa hadapan agar menjadi lebih berkesan (Syed
Zakaria, 2005).
Kecekalan
beliau dan isterinya telah dengan izin Allah berjaya mendidik kesemua
lapan-lapan anak mereka melepasi pendidikan di universiti juga boleh diambil
iktibar. Di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, bukanlah suatu tugas
yang mudah sebenarnya untuk mendidik anak sekiranya ibubapa tidak memberikan
tumpuan yang sewajarnya berkaitan perkembangan anak-anak. Peranan ibubapa sama
penting di dalam mendidik anak-anak (Redzuan
& Munji, 1990).
Sesungguhnya
Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNYA yang tidak pernah
berputus asa, bersabar mendepani kerenah hidup dan cekal dalam keazaman. Allah
amat mengerti akan tangisan dan doa, airmata dan keringat hambaNYA.
KASIH SAYANG
Sesungguhnya
kasih sayang sukar untuk dijual beli. Prof. Dr. Sidek Baba sangat beruntung
kerana dikurniakan dengan ahli keluarga yang saling sayang menyayangi. Beliau
juga sungguh bertuah kerana dikelilingi oleh guru-guru yang telah memberi
sumbangan yang amat besar dalam hidupnya.
Selain
daripada itu Dr. Sidek juga dikurniakan sahabat-sahabat perjuangan yang
sentiasa membantu ketika diperlukan. Ini dibuktikan apabila rumah beliau
dipenuhi dengan sahabat-sahabatnya yang menanti setelah beliau dilepaskan
daripada tahanan ISA.
Sudah tentulah
isteri menjadi pendamping yang paling setia di dalam kehidupan beliau.
Anak-anak pula adalah harta yang tidak ternilai harga yang menjadi kurniaan
Illahi. Kesemua anak-anaknya dibawa bersama sewaktu melanjutkan pelajaran di
Amerika. Beliau tidak sanggup meninggalkan walau seorangpun anaknya di
Malaysia. Biarlah sama-sama susah. Itulah yang menjadi pendirian beliau.
Anak-anak
memerlukan kasih sayang. Sekira kasih sayang tidak diberikan, contoh teladan
tidak ditunjukkan maka mereka akan belajar dari contoh-contoh yang melintas di
hadapan mereka. Sudah tentu bukan itu yang kita mahukan.
Betapa
indahnya dunia sekiranya manusia saling berkasih sayang, saling bantu membantu
dan bekerjasama. Orang kaya tolong orang miskin dengan kekayaannya, orang sihat
tolong orang sakit mengikut kemampuannya, kerana takutkan Allah semata-mata dan
bukannya kerana mahukan sesuatu selain Allah. Pesan Tuk Hitam kepada Dr. Sidek
sememangnya ada kebenarannya. Pesan Tuk Hitam:
“Kalau berjaya nanti, ramai orang boleh tumpang senang. Tapi bila berjaya cu, jangan sombong dan jangan tinggi diri. Ingat asal-usul kita. Kita orang susah. Bila kita ada ilmu dan senang sikit, mesti tolong orang. Ilmu ni cu… jangan kedekut. Kedekut ilmu, berkat hidup hilang. Ilmu itu penyuluh. Ilmu itu penunjuk jalan. Tak berilmu kita lalu jalan gelap. Berilmu kita ada arah tuju. Kita kena murah hati. Orang susah kita tolong. Orang miskin jangan dihina”.
Pesanan di
atas kalau kita semua ambil iktibar sudah tentulah dunia ini akan aman dan
tiada kemusnahan.
*****************************************************************************
Yang pasti, setelah menutup helaian terakhir ini saya terus terdorong untuk
membaiki diri bagi menuju redha Allah SWT. Walaupun kehidupan saya tidaklah
sesusah beliau, ada ruang-ruang ujian dan dugaan hidup yang memerlukan sifat
sabar dan cekal untuk menanggung dan menghadapinya. Saya suka membaca
kisah-kisah tokoh-tokoh yang telah berjaya, kerana terselit seribu pengajaran
untuk pembangunan diri saya.
Pada hemat
saya kehidupan yang berlaku pada setiap manusia terdapat hikmah dan pengajaran
yang boleh kita jadikan pengajaran dan dorongan untuk bangkit membina diri. Melalui
pengalaman Dr. Sidek ini telah saya pecahkan perbincangan kepada pentingnya
pengorbanan untuk mengecapi perubahan; kecekalan dan keazaman untuk mencapai
kejayaan dan kasih sayang sesama insan.
Di sini saya
ingin mencadangkan pendidik-pendidik, bakal pendidik, dan mereka yang terlibat
secara langsung dan tidak langsung dalam pendidikan agar membaca buku ini.
Pengalaman Dr. Sidek sedikit sebanyak menyedarkan bahawa pendidik bukan
berfungsi untuk mengajar pelajar yang telah pandai. Sebaliknya, pendidik
berperanan mengajar setiap pelajar yang ada di dalam kelas. Pelajar yang sedikit terkebelakang di dalam
memahami pelajaran tidak harus ditinggalkan begitu sahaja. Adalah menjadi
tanggungjawab seorang pendidik untuk membimbing pelajar itu mengikut tahap
pelajar tersebut. Itulah sebenarnya dikatakan seseorang pendidik itu merupakan
pendidik yang baik, bukan sekadar mengajar tetapi membimbing.
Hisyam Che Mat
Mill Park, Vic
Rujukan:
Baba,
S. (2007). Seteguh tekad. Shah Alam:
Alaf 21 Sendirian Berhad.
Noor, I. (2004). Kepimpinan
nabi Muhammad s.a.w: Model ikutan sepanjang
masa pengurusan altruistik: Perbandingan-silang dengan kepimpinan dan
pengurusan semasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors
Redzuan, M., & Munji, S. H. (1990). Pengantar psikologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Syed Zakaria, S. A. (2005). Panduan dan strategi motivasi diri. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors