Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 18 October 2013

Jinaknya Kanggaru di Phillip Island



Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang suatu lokasi yang ramai orang jarang lawati sekiranya ke Melbourne. Lokasi tempat ini terletak di Phillip Island yang terkenal dengan Penguin Parade di waktu senjanya. Ianya adalah Phillip Island Wildlife Park (PIWP). Taman ini terletak di suatu kawasan berkeluasan hampir 60 ekar. Ianya menjadi ‘teduhan’ buat lebih daripada 100 jenis haiwan yang menjadi ikon dan cukup terkenal di Australia. Di sini pengunjung bukan sahaja boleh melihat, tetapi boleh menghulurkan makanan di tangan dan merasai sendiri pengalaman merapati dan bermesra dengan hidupan liar. 

Kebiasaannya di habitat semulajadi, haiwan-haiwan ini akan cuba menjauhi apabila dirapati. Di sini tidak! Selepas ‘yakin’ kita tidak merbahaya dan ada ‘sesuatu’ dibawa sama, haiwan-haiwan ini seperti faham-faham sahaja akan merapati. Kalau tak biasa mau bertempiaran juga larinya, risaukan haiwan ini mengganas 

Tersangat menariknya di PIWP adalah di mana kanggaru-kanggaru dan walabi dibiarkan berkeliaran dan lepas bebas di seluruh kawasan, jinak makan di tangan dan ‘mesra’ bila diusap dan ditepuk haiwan-baiwan ini. Bertuah lagi apabila dapat melihat joey, si-bayi kanggaru yang kelibat sekejap ada dan sekejapnya ‘hilang’ di kantung ibu kanggaru.


Selain kanggaru dan wallaby, banyak juga spesis burung yang boleh ditemui di dalam PIWP. Burung yang bersaiz besar dan tidak boleh terbang Emu and Kasawari (burung unta) pasti menggerunkan pengunjung. Bila diberi hulur tangan untuk diberi makan kanggaru, pasti burung unta akan mencelah untuk memagut sama. Memang burung-burung besar ini akan bikin kacau dan mengganggu bila pengunjung ingin bergambar bersama kanggaru-kanggaru yang jiran. Kena berhati-hati lah jawabnya bila emu dan burung unta ini merapati.  Selain itu di dalam sangkar terdapat beberapa sepsis burung hantu dan juga burung kakaktua selain terdapat juga burung pemangsa besar dan kecil.

Memang cepat rasanya masa berlalu apabila berada bersama-sama haiwan-haiwan di sini. Alhamdulillah saya sekeluarga berpeluang mengunjungi PIWP ini di dunia musim yang berbeza dan dapat melihat suasana yang berbeza. Suatu ketika ladangnya seperti padang jarak dan suatu musimnya ladangnya menghijau. Kalau anda ke Phillip Island, pastikan lokasi ini termasuk dalam senarai tempat yang ingin dilawati. Memang saya rekomen kerana ianya berbaloi-baloi bukan sahaja kepada orang dewasa, tetapi pasti anak-anak juga akan jadi teruja apabila menghampiri dan dihampiri haiwan-haiwan ini di alam liar.




No comments: