Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Sunday 22 April 2012

Banyak Bezanya

Ya memang banyak bezanya antara dua tempat ini.Mill Park dan Bendigo berbeza dalam banyak hal.Kalau dikira dari segi bahan mentah halal, Mill Park boleh saya anggap sebagai 'pemenangnya'. Begitu mudah rupanya untuk mendapatkan daging kambing, lembu & ayam sembelihan yang halal. Tak perlu pergi jauh jauh untuk bahan halal. Banyak sangat. Bawa duit saja dan semua yang kita hajati akan berubah milik.

Di Bendigo dulu (kira-kira dua jam perjalanan dengan kereta & keretapi) memang sukar betul mendapatkan ayam halal. Kalau adapun mahal. Itupun ada sebuah kedai sahaja yang boleh dipercayai. Kalau inginkan yang murah saya perlu membuat tempahan dengan Brother Mamoun yang bekerja di Ladang Ayam Hezeldene yang terletak satu jam perjalanan dari Bendigo. Bekalan murah itu akan sampai antara 2-3 minggu bergantung kepada kehadiran Mamoun untuk solat Jumaat. Jadi telur dan ikan bilis atau 'ikan segar' akan menjadi juadah.

Kesannya saya kehilangan berat badan mencecah 10kg bila pulang ke Malaysia pada ketika itu. Badan memang ringan. Namun berat badan hanya sempat bertahan untuk beberapa bulan sahaja. Selepas beberapa bulan.... naik kembali.

Kini di Mill Park, kami punya rakan senegara yang 'agak ramai'. Dengan bahan mentah halal dan rempah ratus yang mudah diperolehi dan murah ( itupun kalau tahu tempatnya), maka keraplah ada acara makan makan. Alhamdulillah... Murah rezeki.

Makanya kalau nafsu makan gagal dikawal...saya yakin sekejap ja akan jadi 'ikan buntal'. Control control.. memang kena cuba control mana yang patut. Tapi tak tau la sampai bila.

Namun saya puas kerana masih boleh mengikut rutin makan tengahari seperti di Bendigo dulu. Makan tengahari saya di uni hanyalah berbekalkan dua keping roti bakar dan sebiji buah epal. Tiada kari dan peria goreng kedai mamak yang jadi juadah tengahari. Tiada masa untuk lepak lepak di Restoran Syed atau Khulafa untuk teh tarik & roti canai.

Saya punya rutin baru sebagai pelajar, bapa di samping sebagai suami. Namun saya juga tidak melupakan kehidupan sebagai masyarakat di sini.

Friday 13 April 2012

Habis Madu...

Tak terkejut saya membaca perkhabaran yang Rexy Mainaky akan meletak jawatan sebagai Jurulatih beregu wanita kebangsaan. Dari riak wajahnya di sini dapatlah dibayangkan bagaimana kecewanya dia dengan sesuatu yang hanya dia sahaja ketahui. Kalau difikirkan tentang gaji tentu lebih dari cukup. Kalau difikirkan tentang persekitaran kehidupan di sini tentu tak kurang 'meriahnya' seperti di negara asal beliau. Tentu ada sesuatu yang bermain di fikiran beliau sehingga mengambil tindakan meninggalkan negara yang pernah memberikan taraf permastautin tetap (PR) kepadanya sekeluarga walaupun baru hanya dua tahun ketika itu menyumbang bakti sebagai jurulatih pasangan beregu bertaraf antarabangsa untuk negara kita.


Rexy betul-betul baru saya kenali (sebelumnya hanya di kaca televisyen) adalah ketika bersama-sama TEAM TACT mengendalikan program Pembinaan Pasukan dan Bina Semangat untuk atlet-atlet Piala Thomas dan Uber pada tahun 2008 di Port Dickson. Walaupun beliau merupakan seorang bekas jaguh badminton dunia dalam acara beregu, namun Rexy langsung tidak menunjukkan egonya. Rajin berseloroh, keikhlasannya kita tersenyum dan jelas keramahannya melayan peminat-peminat yang ingin bergambar jauh sekali berbeza dengan kegarangnya ketika di gelanggang.

Ketika aktiviti yang melibatkan pasukan dijalankan, Rexy akan menunjukkan kesungguhannya dan seperti kebiasaannya semangat beliau mengalahkan atlet-atlet badminton kita yang akan berjuang di Piala Thomas dan Uber pada ketika itu. Saya takjub melihat kesungguhannya untuk menyiapkan tugasan dalam permainan individu dan berpasukan yang dirancang oleh penganjur. Memang layak sangatlah beliau bergelar JUARA DUNIA yang disukai ramai samada di dalam mahupun luar gelangggang.

Saya juga menulis tentang kehebatan Rexy di sini dan pengalaman Semangat Sepasukan di sini.

Pasti negara akan kehilangan seorang jurulatih yang hebat selepas sebelum Misbun pergi membawa diri. Adakah selepas ketiadaan kedua-dua jurulatih berwibawa ini pasukan badminton kita akan terus gah di persada dunia, kita tunggu dan lihat sahajalah hasilnya. Semoga Rexy akan terus berjaya melatih pemain-pemain baru di Filipina menjadi juara dunia dan menghasilkan pemain yang tak lupakan 'gurunya' apabila mereka telah berada di puncak dunia. Sememangnya tiada apa yang dirugikan oleh Rexy, namun yang ruginya adalah......

Thursday 12 April 2012

Kembali Mencoret

Aduhai dah lama betul saya meninggalkan blog nie. Dulu-dulu rajin menegur orang agar laman sesawang agar tak bersawang. Bila dah kena dengan diri sendiri baru padan dengan muka.

Diam tak diam dah sebulan lebih saya sekeluarga berada di negara yang menjadikan kanggaru sebagai ikon negara mereka. Kalau pada tahun 2007 selama setahun saya di Bendigo, kali ini Melbourne pula menjadi lokasi untuk pencarian ilmu dan pengalaman selama 3 tahun, Insya-Allah.

Syukur, Alhamdulillah detik 2210 pada tanggal 6 Mac 2012 saya sekeluarga selamat berangkat dengan pesawat MH149 dari KLIA ke Melbourne. Terima kasih kepada saudara mara, jiran-jiran dan rakan taulan yang sudi mengiringi kami sekeluarga sehingga ke KLIA.

Di Tullamarine Airport, Melbourne kami disambut oleh saudara Syed Ashrene dan Puan Nazura serta suami. Terima kasih kepada Syed Ashrene sekeluarga kerana sudi menumpangkan kami selama seminggu sementara saya berusaha mendapatkan rumah sewa. Syed Ashrene jugalah membantu saya ke hulu ke hilir untuk pendaftaran di uni,membuka akaun bank, mendapatkan talian telefon dan macam-macam lagi. Maklumlah ketika ini saya masih belum berkenderaan. Jasa Nurul (isteri Syed) juga tidak saya lupakan kerana terpaksa sibuk di dapur memasak dan menjamu 'ahli keluarga tambahan' selama seminggu. Jasa Syed Ashrene sekeluarga sudah tentu tak akan saya sekeluarga lupakan hingga bila-bila.

Genap seminggu saya sekeluarga mendapat perkhabaran menggembirakan. Azure, agen rumah menelefon dan memaklumkan permohonan saya untuk menyewa sebuah rumah di Mill Park telah berjaya.