Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Tuesday 13 November 2012

Sembang Hadith Desa Bundoora

Alhamdulillah...Segala puji dan puja hanyalah dipanjatkan kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam kerana dengan izinkan hati kembali berbisik untuk jari mula berdansa di papan kekunci bagi mengisi semula ruangan di blog yang sekian lama bersawang. Selawat dan salam juga tidak saya lupakan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan seluruh sahabat baginda SAW.


Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman kami pelajar-pelajar dan ahli keluarga Malaysia di dalam mencari ilmu ukhrawi  di sepanjang kami 'bertandang' di bumi asing Australia ini. Tidak sama seperti di Malaysia di mana rumah-rumah Allah sentiasa mengadakan majlis-majlis ilmu hampir setiap hari dan makmur sentiasa, di sini peluang untuk kami berkumpul dan mengadakan majlis-majlis ilmu agak terhad dek kerana kesibukan dengan agenda dan matlamat kami ke sini.

Di sebalik kesibukan bergelumang dengan pengajian atau penyelidikan masing-masing kaum bapa cuba untuk memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua minggu sekali sebelum atau selepas waktu Maghrib untuk berkumpul bersolat berjemaah bersama-sama mendengar sembang Hadith 40 karya Imam An-Nawawi yang disampaikan oleh Ustaz Azizee yang juga penghulu Desa Bundoora.

Setiap hari Jumaat dua minggu sekali warga Desa Bundoora akan bergilir-gilir secara sukarela untuk menjadi tuan rumah untuk majlis tersebut. Tuan rumah hanya perlu menyediakan ruang untuk bersolat dan sembang hadith berlangsung sahaja. Di akhir setiap majlis, tetamu akan menjamu selera berbekalkan makanan secara potluck agar tidak menyulitkan tuan rumah.

Syukur kehadrat Illahi kerana dengan majlis sebegini ukhwah sesama muslim dari tanahair dapat terus dijalinkan dan kekal utuh di sebalik kesibukan tugas seharian.

Tuesday 2 October 2012

Mengimbas Kenangan Bersama Abah


1 Oktober tahun nie genap 21 tahun abah pergi menyambut panggilan Illahi. Walau bagaimanapun kenangan bersama abah walaupun sekejap namun terus kekal tersemat di ingatan.Insya-Allah


Tak akan saya lupakan di suatu petang abah berpesan, "Syam, belajaq rajin-rajin, kalau abah dah takdak nanti...abah takdak apa harta nak tinggaikan kat hang pa dua beradik. Cuma pelajaran saja boleh tolong hang". Abah memang jenis yang tak suka bercakap banyak. Bila dia memberi nasihat pasti akan saya dengar dan insya-Allah tak akan lekang di ingatan selagi hayat dikandung badan.

Abah kerja dengan gomen. Abah pernah bawa saya ke tempat kerja dia. Tepi jalan saja 'pejabat' abah. Kerja potong rumput. "Nak kerja macam abah ka", ringkas soalan abah. Saya hanya mampu menggeleng kepala.

Abah kebiasaannya berulang-alik naik basikal ke tempat kerja sebelum Cik Dan 'hadiahkan' motosikal untuk memudahkan pergerakan abah.

Abah memang kuat semangat. Abah banyak berkorban. Abah juga kuat bekerja. Siang malam cari duit untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Mencari rezeki halal untuk 'dijamu' anak dan isteri.

Saya menghabiskan zaman kanak-kanak di rumah atuk sebelah abah. Kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah pusaka peninggalan Tok Leha.

Awal-awal pagi sebelum abah ke 'pejabat' dia akan keluar mengadap pokok getah. Kebun getah pusaka Tok Leha. Saya turut serta. Tolong abah. Nak masuk tengahari, tugas mak pula kutip susu getah yang dah beku buat getah sekerap. Abah balik tengahari jemur.

Bila abah dapat tawaran duduk di rumah pangsa (flat) kos rendah, kami semua suka hati. Bersyukur. Tidaklah kami menumpang lagi. Berubah angin ke pekan pula. Suasana baru. Kawan-kawan pun baru.

Dulu di kampung keliling rumah ada tanah. Rumah baru sesak. Tak ada laman. Semua berkongsi. Rumah bertingkat macam rumah merpati.

Abah kena kuat bekerja. Cari pendapatan sampingan. Gaji tetap RM400 sebulan perlu ditambah.

Mula-mula abah tolong Pakcik Azmi, jiran dekat rumah berniaga jagung rebus lepas waktu kerja. Abah dapat upah. Saya pun tolong.

Bila dah maju Pakcik Azmi tukar ke bisnes barangan runcit pula. Habis semua pasar malam dan pasar tani sekitar Kulim dia bawa barang-barang runcit untuk dijual. Abah tolong. Dapat upah. Saya cuma bantu.

Pernah sekali tu abah naik angin. Menyinga. Abah malu. Saya tumpahkan minyak masak masa isi dalam botol pelanggan di gerai Pakcik Azmi. Bukannya apa, saya jadi seronok bila kawan-kawan sekelas menegur saya semasa membantu abah meniaga di pasar tani. "Oiit Che Mat [nama timangan saya di sekolah] hang bisnes noo...", kata salah seorang kawan sekelas saya. Seterusnya saya leka berbual kosong dengan kawan-kawan dan terlupa paip tangki minyak masak yang tengah dibuka untuk diisi ke botol pelanggan. Habis melimpah minyak masak.

Saya panik. Abah pun saya tengok panik. Muka dia pun dah lain macam. Saya dapat 'hasilnya' di situ juga. Pakcik Azmi cuba mengawal keadaan. Dia berkata, "Takpa takpa... budak-budak, jangan marah dia". Saya rasa itu cuma di mulut, di dalam hanya Allah sahaja yang tahu. Dia dah rugi banyak. Kawan-kawan yang tadinya ada dah hilang entah ke mana.

Abah bagi duit untuk beli tiket bas. Abah 'halau' saya balik rumah. Selepas daripada kejadian tersebut, abah dah tak bagi saya ikut dia tolong Pakcik Azmi meniaga.

Abah dah cukup modal. Dia buka warung jual ais kacang [ABC] dan rojak buah. Laku. Saya jadi tukang pusing mesin ais kacang. Abah tak mampu beli mesin elektrik.

Kali ini saya tak nak buat silap lagi. Abah happy tengok perubahan saya.

Mak pula jenis tak boleh duduk diam. Awal-awal pagi lagi dah bangun. Goreng cucur udang dan cucur karia yang bahannya dah disiapkan malam sebelumnya. Semua kuih tersebut diletakkan di warung Tok Nah dan Mak Tam. Mak pun cari pendapatan sampingan. Saya tolong hantarkan ke warung-warung tersebut sebelum ke sekolah.
Mak juga buat kerepek ubi kayu. Abah tanam pokok ubi kayu belakang rumah flat. Tanah sekangkang kera. Balik tengahari saya hantar kerepek ubi kayu mak kat warung laksa Pak Desa. Laku dan selalunya habis. Rezeki.

Semuanya saya lakukan kerana nak tolong mak dan abah. Tak pandai dan terfikir pun nak dapatkan komisen atau upah daripada mereka.

Sekarang mak dan abah dah 'tak ada' lagi. Cucu-cucu mak dan abah mungkin tak dapat merasa buat apa yang anak mak dan abah dah buat dulu. Semuanya kerana anak abah ini sentiasa ingat pesan abah.

Semoga Allah subhanahuwataala mencucuri Rahmat ke atas roh mak dan abah. Al-Fatihah untuk kedua-duanya dan seluruh umat Islam yang terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Kita juga akan mengikuti jejak langkah mereka suatu hari nanti.

Wednesday 18 July 2012

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh 


Ahlan wa sahlan ya Ramadhan! Selamat datang wahai Ramadhan! 


Ramadhan kembali menjengah kita. Inilah bulannya yang dijanjikan oleh Allah  subhanahu wata'ala dengan bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang mana pada tahun sebelumnya kita tangisi pemergiaannya. Moga-moga kita semua dipanjangkan umur untuk sama-sama dapat menyempurnakan  ibadah di sepanjang Ramadhan kali ini.


Saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Mulia Ramadhan Al Mubarak. Dengan rasa rendah dirinya, bersama-samalah kita menginsafi dan memohon ampun di atas dosa-dosa kita serta melebihkan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Semoga Allah swt membuka pintu hati kita dan menjadikan kita manusia yang lebih patuh dan taat kepada-Nya, insya-Allah.



Di kesempatan ini juga saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kepada semua penjenguk-penjenguk sekalian, ampunilah segala dosa saya terhadap anda semua jika ada yang memendam di dalam hati. Marilah kita sama-sama mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.



Sekiranya penjengok-penjengok sekalian pula ada membuat kesalahan dengan saya dan keluarga, kami dengan rendah diri dan rela hati ingin memberikan kemaafan. Semoga kita semua dapat menjalani ibadah puasa ini dengan penuh ketenangan serta mendapat taufik dan hidayah daripada Allah subhanahu wata'ala. 


Sama-samalah kita doakan agar Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik daripada Ramadhan yang sebelum. Semoga kita juga dipertemukan dengan malam Lailatulqadar. Insya-Allah.


Salam Ramadhan daripada kami sekeluarga yang jauh di perantauan,


Hisyam Che Mat
Norliza Ali Wee
Kamilia Afiqah Hisyam
Kamil Afiq Hisyam
Kaisara Afiqah Hisyam




Wassalaamu’alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh

Thursday 12 July 2012

Usah Membazir!

Kalau diikutkan kepada pengalaman sebagai pelajar berkeluarga di negara asing ini, membawa ahli keluarga untuk makan di luar adalah suatu aktiviti yang jarang sekali dapat kami lakukan. Kebanyakan kami sebaik mungkin akan cuba berjimat dengan membeli barang mentah, memasak dan seterusnya makan di rumah sendiri sahaja.

Kalau di Malaysia dengan kesibukan ibubapa mencari rezeki kebiasaannya hujung minggu sahajalah dapur akan 'berasap'. Selainnya... order dari restoran sahaja la. Dibungkus tomyam ayam dibawa pulang dan ditanak nasi... jadilah juadah makan malam anak beranak.

Namun adakalanya di Melbourne keinginan untuk 'melayan' anak-anak berubah selera dengan makan di restoran turut tidak dapat dihindari. Tak boleh la dok syok sendiri belajar sahaja sehingga lupakan anak dan isteri yang menjadi sumber motivasi dan inspirasi. Kenalah layan bawa makan di luar jugak. Tambahan pula di kawasan sekitar luar bandaraya Melbourne ini banyak restoran yang menyajikan makanan halal kalau nak dibandingkan dengan Bendigo dahulu. Maka tercari-carilah kami kedai-kedai makan yang agak kena dengan selera dan kemampuan. Restoran kebab menjadi pilihan.


Dalam tiga kunjungan saya ke sebuah restoran kebab berhampiran Illim College, Dallas (pinggir bandaraya Melbourne)saya sekeluarga kerapkali dapat melihat situasi di mana muslim yang susur galurnya dari Timur Tengah makan di situ. Kebanyakan daripada pelanggan di situ adalah muslim yang saya rasakan telah mendapat taraf penduduk tetap Australia. 'Pak Arab' dan 'Mak Arab' ini saya lihat akan membuat pesanan makanan seperti kebab kambing/ayam, roti, sup, kentang goreng dan lain-lain lagi yang penuh satu meja. Kebiasaannya mereka tidak akan melepak lama di restoran. Usai makan mereka ke kaunter membuat bayaran dan meninggalkan sisa makanan yang seperti belum disentuh orang. Aduhai sayangnya rezeki. Mereka ini terlalu kufur nikmat. Memanglah bagi mereka makanan yang dipesan itu murah kalau diikutkan matawang mereka berbanding kita nie 'pendatang'. Tapi janganlah sampai 'semeja' makanan ditinggalkan tak disentuh. Menangis rezeki Allah tu. Saudara SYAITAN namanya tu! Tak mampu menuturkan di mulut... dalam hati sahajalah. Kitakan 'pendatang' tak boleh lebih-lebih.

Saudara syaitan! Kasar bunyinya kan, tapi itulah kenyataannya. Amalan suka membazir ini sememangnya dilarang di dalam Islam sehinggakan orang yang suka membazir ini diibaratkan sebagai saudara syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Isra' ayat 27 yang bermaksud,"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada TUHAN."

Rentetan daripada pengalaman di atas marilah kita bermuhasabah diri. Jauhilah pembaziran kalau kita mengaku beriman kepada Allah SWT. Jangan jadi saudara syaitan. Tambahan pula bulan Ramadhan yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi, marilah kita berpesan-pesan supaya menjauhi pembaziran dan memperbanyakkan sedekah.

Tuesday 10 July 2012

Bahagian 4: Hutan Terbakar

Kawasan yang saya lalui untuk ke Mount Buller ini rupa-rupanya pernah mengalami satu kebakaran yang besar dalam sejarah Australia. Dianggarkan 173 orang telah kehilangan nyawa disebabkan daripada bushfires yang berlaku pada musim panas 7hb Februari 2009.


Kemusnahan akibat kebakaran ini dianggap seperti Armageddon bagi penduduk setempat dan pasukan penyelamat yang berusaha memadamkan kebakaran yang maha besar ini.

Kebakaran ini merupakan yang 'terburuk' direkodkan di Australia. Black Saturday ini telah memusnahkan hutan-hutan, rumah-rumah dan harta benda penduduk setempat, haiwan peliharaan dan hidupan liar di sekitar kawasan kebakaran. 5000 orang telah dilaporkan mengalami kecederaan, 2029 rumah musnah dan tidak terkira hidupan liar dan haiwan peliharaan yang terbunuh.


Saya berkesempatan merakamkan semula kesan-kesan kebakaran yang berlaku di sepanjang perjalanan berhampiran Kinglake dan Taman Negara Kinglake. Batang pokok masih ada kesan kehitaman dan tinggalan rumah dan kenderaan terbakar juga jelas kelihatan.




Melihat kembali kawasan kebakaran telah mengingatkan saya kepada suatu peristiwa. Saya teringatkan peristiwa di mana seekor koala yang terperangkap di kawasan kebakaran telah berjaya diselamatkan yang ditayangkan di warta berita suatu ketika dahulu. rupa-rupanya di sinilah lokasi kejadian tersebut. Sesungguhnya haiwan ini sangat bertuah berbanding beribu-ribu haiwan yang yang mati dek kebakaran yang maha dahsyat di habitat mereka itu. Ia juga menjadi terkenal ke serata dunia.

Klip video di mana seorang penyelamat Country Fire Authority (CFA), Dave Tree telah memberikan air kepada koala yang digelar 'Sam' yang dahaga akibat kebakaran dan cedera di habitatnya itu. Haiwan yang pada mulanya ketakutan dan cuba untuk melarikan diri dalam ketakutan dan dahaga akhirnya berjaya dipujuk dan kemudiannya diberi minum air. 'Sam' kemudiannya ditempatkan di pusat hidupan liar.

Klip video ini telah tersebar di seluruh dunia dan kalau tak silap saya pernah menontonnya di Berita Dunia TV1. Selamat menonton klip video ini dan sama-sama kita ambil iktibar di sebalik peristiwa tersebut.




Moralnya:

Kehidupan di dunia yang fana ini akan menjadi lebih harmoni, aman dan damai apabila kita sesama makhluk Allah bersifat ehsan, ikhlas dan saling berkasih sayang.

Friday 6 July 2012

Bahagian 3: Adakah Pemergiaannya Ditangisi?

Bahagian 1

Bahagian 2

Kejadian ini berlaku ketika kami di dalam perjalanan pulang ke Mill Park dari 'bermain' salji di Mt Buller. Ianya berlaku berhampiran Valley Seeds Pty Ltd, Maroondah Highway.


Memandangkan jalan yang dilalui agak lurus, makanya dari jauh saya dapat melihat seperti ada sebuah objek yang 'terletak' cantik betul-betul di tengah garisan laluan kami.


Semakin kenderaan kami hampiri, maka dapatlah kami lihat rupa-rupanya objek tadi sebenarnya adalah sejenis haiwan. Alahai... haiwan itu sudah seperti tidak bernyawa lagi. Dek kerana perasaan ingin tahu kami sekeluarga yang meluap-luap, saya perlahankan kenderaan dan seterusnya memberhentikannya di bahu jalan berhampiran haiwan tersebut.


Tertanya-tanya juga kami anak beranak haiwan apakah yang terbongkang di tengah jalan ini. Maka sibuklah Kamil dan Kamilia meneka. Seorang kata Koala dan seorangnya mengatakan itu adalah Wombat. Oleh kerana inginkan kepastian dan jawapan sebenar saya gagahkan diri untuk keluar dari kenderaan dan melihat sendiri dengan lebih dekat lagi haiwan yang sedang terlentang membujur itu.


Memang sah 'mangsa' sudah keras dan tidak bernyawa. Kasihan... mungkin 'mangsa' telah dilanggar awal pagi tadi ketika cuba melintas 'lebuh raya' ini. Adakah ada kaum kerabat 'mangsa' yang secara sembunyi-sembunyi sedang memerhatikan gelagat saya dan keluarga yang sedang cuba melihat keadaan parah yang dialami oleh 'mangsa'. Saya perhatikan sekeliling hutan itu untuk kepastian. Nampaknya tiada yang lain melainkan kami lima beranak sahaja di situ.


Setahu saya melalui pembacaan sebelumnya haiwan yang sejenis dengan 'mangsa' ini kebiasaannya hidup di dalam lubang-lubang yang mereka gali. Walaupun haiwan ini seakan-akan irasnya koala yang banyak tinggal di dahan pokok, tetapi kaum sejenis 'mangsa' ini akan menetap dua pertiga daripada kehidupan mereka di dalam lubang di bawah tanah. Jarang sangat ia muncul di permukaan kecuali untuk mencari makan dan 'berjemur'.

Alahai la nasib badan 'mangsa'. Mungkin hari ini, di kala matahari pagi terbit di musim sejuk ini makanya 'mangsa' cuba untuk menikmati kepanasan cahaya pagi di samping mencari dedaun dan akar kayu yang segar sebagai 'sarapan' paginya. Tidak disangka pula ketika 'mangsa' ingin melintas 'lebuh raya' yang biasanya menjadi territory'nya, dia telah dilanggar lari. 'Mangsa' telah menjadi mangsa langgar lari!

Pastinya kejadian ini akan menjadi lebih dramatik sekiranya 'mangsa' adalah ketua keluarga yang sedang keluar untuk mencari juadah untuk dibuat santapan pagi buat anak beranaknya. Tentu pasangannya dan anak-anaknya sedang menunggu 'rezeki' yang akan dibawa pulang oleh 'mangsa'. Sudah tentulah ianya menjadi penantian yang sia-sia sahaja.

Saya tinggalkan mangsa untuk meneruskan perjalanan pulang selepas mengambil beberapa keping foto sebagai 'bukti' saya telah terserempak dengan sebuah kemalangan ngeri. Ya! kemalangan ngeri langgar lari yang sangat menyedihkan.

Rupa-rupanya kenangan di kemalangan langgar lari di Maroondah Highway kembali menghantui saya sesampai di rumah. Saya merasakan diri ini zalim! Rasa bersalah yang amat sangat menyelubungi diri. Saya tidak dapat tidur lena dan tidak tenang juga kehidupan selepas kejadian yang saya lihat tempohari. Rasa sangat bersalah kerana tidak berusaha membantu menarik/mengangkat 'mangsa' ke tepi laluan.

Aduhai... saya memikirkan sendirian bagaimanakah keadaan mangsa setelah saya sekeluarga meninggalkannya sendirian di lokasi kejadian. Adakah 'mangsa' mempunyai saudara mara yang akan datang mengheretnya ke tepi 'lebuh raya' dari terus dilenyek kenderaan lain.

Apalah nasib yang bakal menimpa 'mangsa' seterusnya jika sekiranya pengguna lebuh raya yang lalu lalang ataupun yang berhenti sekejap seperti saya ini yang hanya tahu mengambil gambar dan meneruskan perjalanan tanpa membantu.

Tak dapat saya bayangkan bagaimana terburainya isi perut tubuh yang kaku itu dek kerana dilenyek oleh trailer beroda 24 yang sememangnya kerap melalui laluan itu. Pasti selepas lenyekkan trailer 24 roda itu tidak siapa lagi yang akan memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat objek yang telah hancur lebur di tengah-tengah lebuh raya itu. Tinggallah sisa-sisa isi, bulu dan tulang temulang hancur menunggu dimakan haiwan pemangsa ataupun ianya terus hanyut ke tanah berhampiran apabila hujan lebat menyimbahi permukaan 'lebuh raya'.

Maka tamatlah riwayat seekor Wombat yang menjadi penghuni tetap hutan di pinggir Lebuhraya Maroondah.

Di lain kali saya berjanji akan berusaha membantu sekadar mampu untuk mengangkat/mengheret 'mangsa-mangsa' ke tepi laluan sekiranya saya temui lagi di sepanjang kembara saya. Moga-moga nasib mangsa kemalangan yang seterusnya tidak menjadi seperti Wombat yang malang tadi.

Thursday 5 July 2012

Mampukah Rekreasi Terangkum/Inklusif 'Dihidupkan' di Malaysia!

Wahai rakan-rakan rekreasi yang disayangi sekalian,

Alangkah indahnya 'dunia rekreasi' jika sekiranya Rekreasi Terangkum/Inklusif mampu kita laksanakan dan semarakkan di Malaysia.

Seronok jadinya apabila kita dapat lihat masyarakat berbilang bangsa, tanpa mengira latarbelakang dan keupayaan diri dapat bersama-sama mendayung kayak, mendaki gunung, merentas hutan, memanjat tembok, berbasikal bukit, berkhemah, menyelam skuba dan melakukan pelbagai lagi aktiviti rekreasi bersama-sama.


Bukan susah sangat pun, pokoknya bila ada kemahuan untuk melaksanakannya di semua pihak yang terlibat, pasti ada kejayaan akan muncul. Janganlah kita hanya 'melayan' kelompok kita sahaja atau bahasa mudahnya syok sendiri hingga melupakan ada golongan yang terpinggir daripada melakukan aktiviti yang kita minati dek kerana kekurangan yang mereka alami. Sesungguhnya mereka pun tidak mahu dilahirkan sedemikian. Mereka yang mengalami kekurangan ini juga inginkan kehidupan dan kepuasan serta 'kenikmatan' berekreasi seperti yang kita perolehi.


Bagaimana caranya bagi membolehkan Rekreasi Terangkum dalam dilaksanakan di negara kita? Caranya mudah sahaja, pastikan aktiviti yang kita rancang atau laksanakan berada dalam suasana/keadaan di mana sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti rekreasi yang dianjurkan tanpa ada penyisihan. Mudahnya... kita bersedia menerima mereka seadanya dan mereka sedia menerima kita. Oleh yang demikian halangan-halangan atau sekatan yang terdapat di kawasan untuk aktiviti dijalankan perlu dibebaskan terlebih dahulu. Barrier free zone!


Selain daripada itu juga penganjur perlu memastikan masyarakat tanpa mengira latarbelakang dan keupayaan dapat mengetahui tentang program yang dianjurkan dan menggalakkan penyertaan seluruh masyarakat. Perlu promosi lah...

Tidak ketinggalan juga bagi merancak dan mensahihkan lagi kejayaan program Rekreasi Terangkum ini adalah khidmat kakitangan dan sukarelawan yang terlatih. Penganjur perlulah 'menyediakan' kakitangan dan sukarelawan yang tidak kekok apabila berdepan dengan peserta dari berbeza latarbelakang dan keupayaan.


Bagi memberikan peluang yang saksama kepada golongan kelainan upaya (OKU) pula, khidmat sokongan khusus seperti keperluan perubatan dan kepakaran perlulah disediakan juga bagi memastikan penglibatan mereka tidak terhalang dek masalah kesihatan dan kepakaran.



Melalui coretan ringkas saya di atas adakah ianya telah menyedarkan penjengok sekalian tentang perlunya kita hidup berkongsi. Kita perlu sedar dunia ibarat roda, tidak semestinya kita sentiasa di atas. Sementara kita di atas, marilah sama-sama kita membantu mereka yang sentiasa menagih peluang untuk turut sama berekreasi.

Wednesday 4 July 2012

Bahagian 2: Bermain Salji Di Mount Buller

Kalau diikutkan anak-anak, memanglah mereka masih mahu bermain dan bermandi salji. Mereka masih tidak mahu turun. Mereka mahu berterusan berbaring, berguling, mengelungsor dan meluncur dengan tobonggan. Namun yang dimulakan perlu diajar mereka untuk diakhiri. Untuk 'menarik' kesemua mereka untuk pulang bukanlah mudah. Iyalah budak-budak tengah berseronok mana mungkin ditarik hand-brake untuk memberhentikannya terus. Kerja yang tak semudah dijangka. Saya 'tarik' perlahan-lahan hinggalah kesemua mereka sampai ke tempat menunggu free shuttle.



Menjelang Maghrib kami mula beratur untuk menaiki free shuttle untuk kembali ke medan meletak kenderaan Horse Hill. Salji makin menebal. Subhanallah... kenderaan yang kami sewa telah sepenuhnya diseliputi salji. Tu dia... jenuh nak menyapu. Nampak gayanya kenalah pasang snow chains. Saya mula berbincang dengan Ustaz Hamidi, samada perlu atau tidak kami memasang snow chains untuk turun. Dek kerana kedua kami tak pernah memasang snow chains, jadi jalan mudahnya adalah redah ajalah, tak perlu memasang snow chains. Menyusahkan aja!


Namun baru 20 meter bergerak, kenderaan yang kami naiki telah ditahan oleh pengawal trafik. Dia mahukan kenderaan yang kami naiki dipasang snow chains. "Ah sudah... macamanalah nak pasang snow chains nie. Tadi petang masa staf SCM mengajar cara pasang taknak tengok betul betul. Hah sekarang rasakan...", membebel saya seorang diri.

Hah itulah... takdak kerja nak cari kerja. Kalau turun awal tadikan dah tentu tak kena pasang snow chains. hehehe padan muka aku!.Sekarang bila dah lewat petang, dengan salji yang tak berhenti-henti turun dah tentulah jalan jadi licin. 

Barulah saya faham keperluan memasang snow chains nie sebagai langkah keselamatan agar tayar tidak licin hingga mengakibatkan kenderaan menggelungsor ke gaung.

Semua yang berlaku ada hikmahnya. Inilah dinamakan pengalaman. Saya kuatkan semangat dalam kesejukan (sebelum tu tak pula rasa sejuk) untuk 'mencuba' memasang snow chains.

Macam dah dijangka pulak nak turun malam... rezeki saya tak bergelap semasa memasang dek kerana lampu suluh tersedia dalam pouch bag.

Apa boleh buat dah nasib badan... bila saya bertanyakan cara pemasangan daripada 'orang putih' yang sama-sama tengah memasang snow chains di keretanya, rupa-rupanya dia pun macam saya dan Ustaz Hamidi, first time pasang snow chains. 2 X 5 ja, kikiki... sama la kita Labu...

Alhamdulillah sambil memasang dan mengingati kembali teknik pemasangan yang diajar oleh 'guru' di Mansfield petang tadi, akhirnya saya berjaya memasang kedua-dua snow chains pada tayar kereta. Siap sempat membantu orang putih tu pulak pasang selepas selesai membantu Ustaz Hamidi pasangkan snow chains di kenderaannya.





Perjalanan menuruni Mt Buller pada malam tersebut sangat menakutkan. Kenderaan beratur panjang dan pergerakan sangat perlahan. Kesemua kenderaan memandu di bawah 20km/j dek kerana snow chains dan laluan yang licin dan dilitupi salji.

Dapat juga saya saksikan di hadapan saya kenderaan yang 'degil' dan tidak memakai snow chains terbabas ke parit di sebelah kiri laluan. Nasib penumpang dan pemandu kenderaan terbabit sangat baik kerana kalau terbabas ke kanan maka jawabnya adalah gaung!


Kesemua kenderaan yang menuruni Mt Buller pada malam itu terpaksa dipakaikan snow chains sehinggalah ke Mirimbah iaitu lokasi di mana kami berhenti untuk membayar entry fee pada sebelah petang tadi. Kalau mendaki petang tadi dari Mirimbah ke HHCP tidak sampai 20 minit, kali ini menurun pula mengambil masa hampir satu jam untuk jarak yang sama. Perlahan... sangat perlahan.

Alhamdulillah sebaik sampai di Mirimbah, snow chains saya buka dan kenderaan dipacu mengikut kelajuan sebenar yang dibenarkan sehinggalah kami semua sampai ke lokasi penginapan di Mansfield Holiday Park.

Sate dan nasi impit dijadikan sajian makan malam kami dua keluarga. Terima kasih kepada Liza dan Suhaily dengan penyediaan juadah yang menyelerakan. Dalam keletihan kami nikmati juadah yang disediakan. Macam hari raya la pulak. Makan sate, nasi impit dan kuah kacang. Tak dibuat orang rasanya, makan sate di high country. Layan aja la.

Keesokannya perjalanan diteruskan untuk pulang ke destinasi asal di Mill Park. Kali ini saya berikan peluang kepada Liza untuk mendapat pengalaman pemanduan jarak jauh yang pertama untuk dirinya di bumi Australia. Dalam hujan Liza memandu dengan tenang walaupun sebelumnya dia pening dan muntah-muntah. Rupa-rupanya ubat untuk Liza tidak muntah dan pening senang sahaja. Biarkan dia memandu!


Alhamdulillah selamat sampai ke rumah dengan seribu satu pengalaman yang sukar dibeli dengan wang ringgit mahupun dollar. Terima kasih kepada-Mu Ya Allah dengan peluang dan ruang yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba-Mu yang jahil lagi hina ini.


Coretan Bermain Salji di Mount Buller: Bahagian 1


Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.

Monday 2 July 2012

Bahagian 1: Bermain Salji Di Mount Buller

Dek kerana tak pernah merasai sendiri kesejukan salji asli maka untuk kali ini di Australia saya sekeluarga mengambil kesempatan di musim dingin untuk 'bermandi' salji. Lokasi yang dipilih adalah Mount Buller yang terletak di Victoria. Kalau diikutkan perkiraan awal GPS dan google map, perjalanan ke sana dari rumah di Mill Park hanyalah mengambil masa sekitar 3 jam 10 min. Bersama-sama kami untuk perjalanan musim sejuk kali ini adalah keluarga Ustaz Hamidi.

Alhamdulillah pengisian di sepanjang perjalanan kami pada kali penuh terisi dengan sama-sama mengalunkan bacaan Yassin, doa, zikir dan selawat. Semuanya agar kami semua tidak terleka dan menjadikan 'kembara' ini sebagai ibadah untuk melihat kebesaran dan keindahan Allah dan bukannya untuk berseronok semata-mata. Allahuakbar!

Untuk sampai ke sana kami melalui beberapa pekan kecil. Kami berhenti untuk makan tengahari di Mansfield dan seterusnya menyewa tobonggan dan snow chains dari SCM Discount Ski Hire, Mansfield. Kadar sewa untuk tobonggan adalah $10 manakala snow chains pula $15. Kepada yang berminat untuk mencuba bermain ski, sewaan lengkap peralatan ski hanyalah $39. Peralatan ini kalau nak disewa di Mt Buller agak mahal (lengkap peralatan ski $55), maka Mansfield adalah lokasi yang terbaik untuk menyewa peralatan.

Seterusnya kami berhenti solat dan meletakkan barangan di Mansfield Holiday Park iaitu lokasi high country resort untuk kami menginap untuk satu malam.

Perjalanan diteruskan lagi dengan laluan mendaki (tidaklah terlalu curam) sebelum kami sampai di pintu masuk sebelum ke Mount Buller iaitu di Mirimbah. Di pintu masuk itu kami dikehendaki berhenti dan ditanya samada ada membawa snow chains bersama. Seterusnya di situ juga kami perlu membayar $37 sebagai entry fee untuk sebuah kereta.

Hanya beberapa kilometer selepas pendakian, salji keputihan sudah mula kelihatan di dedaunan pohon Eucalyptus yang menambahkan lagi keterujaan anak-anak untuk segera sampai ke puncak. Tak sabar nak bermain...

Pendakian dengan jalan yang berliku-liku hanya mengambil masa 20 minit sebelum sampai di Horse Hill Carpark (parking percuma). Di situ kenderaan ditinggalkan dan seterusnya kami perlu menaiki perkhidmatan bas percuma untuk ke 'perkampungan' di puncak Mt Buller. Hanya kenderaan 4WD sahaja dibenarkan 'mendaki' hingga ke puncak di musim salji 'lebat'.



Dalam kesibukan semua bergambar sementara menanti bas percuma, tak sedar pula Kaisara masih lagi belum menyarungkan sarung tangan. Dalam diam-diam Kaisara sudah mula mengepal salji yang membeku dan dicampak-campaknya. Menjerit Liza melihat aksi Kaisara. Aduhai sejuk tu sayang oiii... Teruja punya pasal hingga dia sendiri pun tidak sedar tentang sejuknya salji tu. 
Lokasi untuk bermain salji yang hanya berjarak 1.5 km dari tapak letak kenderaan di Horse Hill dirasakan begitu jauh dek pergerakan bas yang terlalu perlahan. Semuanya kerana salji yang menebal di laluan dan bas yang dinaiki telah dipasang dengan snow chains dan melambatkan pergerakan.


Bas yang dinaiki sampai di 'perkampungan' bersalji. Orang sudah berduyun-duyun beratur untuk pulang di sebaliknya kami pula baru sampai. Sebaik turun sahaja daripada bas, anak-anak sudah tidak keruan. Tobonggan dicampakkan ke atas salji lalu ditarik di atas kawasan yang landai dan digelungsor pula menuruni kawasan yang bercerun.


Hah, main main... main puas puas... ini semua tak ada di Malaysia. Saya 'bebaskan' anak-anak untuk bermain sepuasnya. Iyalah nak sampai ke sini pun bukannya senang. Perjalanan yang jauh dari Mill Park di samping beberapa kali dihentikan samada secara dirancang atau sebaliknya membuatkan saya rasakan anak-anak ini perlu diberikan 'bonus' dek kerana 'baiknya' kelakuan mereka tadi di sepanjang perjalanan.

Ganjarannya mereka boleh bermain sepuashati!



Dalam sibuk bermain saya ingatkan juga kepada anak-anak agar jangan lupa bersyukur dengan nikmat yang telah Allah swt kurniakan kepada kami sekeluarga. Bersyukur kerana dikurniakan keselamatan di sepanjang perjalanan. Bersyukur kerana dapat sama-sama sekeluarga melihat dan menikmati satu lagi keunikan dan keindahan alam yang Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya. Begitulah hebatnya kebesaran Allah swt. Syukurnya Ya Allah...


Coretan Bermain Salji di Mount Buller: Bahagian 2


Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.

Tuesday 26 June 2012

Sindrom Jangan: Ruginya Kalau Pendidikan Luar Terus Dipinggirkan



Keratan akhbar The Australian di atas ditampalkan oleh Jeff, di hadapan pintu pejabat saya. Beliau mahu saya 'bertindak' selepas membaca artikel akhbar tersebut.

Sebaik membaca bait-bait ayat dari akhbar terbabit, maka dapatlah saya simpulkan bahawa bukan senang sebenarnya untuk menjadikan Pendidikan Luar (PL) sebagai subjek wajib di sekolah. Banyak tentangan yang terpaksa dihadapi bagi memastikan PL sebagai sebuah subjek di sekolah menjadi kenyataan. Mana taknya, mak bapak dan guru termasuklah pentadbir di kementerian yang terbabit begitu risaukan risiko yang ada di 'luar'.

Semuanya dah terkena 'Sindrom Jangan'. Ini adalah sindrom yang menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu perkara tanpa memberi peluang kepada individu yang nak melakukan sesuatu perkara tersebut peluang dan ruang.

Rupa-rupanya bukan di negara kita sahaja, Di Australia pun ibu bapa dan guru semakin risaukan tentang penglibatan anak-anak dalam Pendidikan Luar (PL). Menurut Kurikulum Kebangsaan Australia yang akan dilaksanakan di beberapa sekolah pada semester hadapan, PL hanya menjadi topik picisan sahaja di dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Namun persatuan yang terlibat dengan Pendidikan/Rekreasi Luar terus menerus berusaha dan mendesar agar PL berada sebaris dengan subjek-subjek lain di sekolah. Ini kerana telah terbukti bahawa terlalu banyak faedahnya PL kalau hendak disenaraikan kepada anak-anak di sekolah. Kepada penjengok-penjengok yang masih belum pasti tentang faedah PL bolehlah google sahaja kajian sebelumnya berkaitan benefits of outdoor education. Maka akan keluarlah dapatan carian sehingga 33,300,000. Tu dia banyak betul.

Nampak gayanya kita di Malaysia nampaknya tidaklah terlalu tertinggal sekiranya mahu bertindak dari sekarang. Wallahu'aklam.

Wednesday 20 June 2012

Keindahan Tunggul Laut (The Twelve Apostles) di Taman Negara Port Campbell

Perjalanan dari pusat bandar Melbourne hanya mengambil masa keseluruhannya 3 jam 30 minit sahaja untuk sampai ke Taman Negara Port Campbell. Pemanduan saya dari Melbourne dengan menggunakan Princess Highway membawa saya melalui pekan Colac iaitu kira-kira 2 jam dari lokasi permulaan. Perjalanan diteruskan lagi dengan melalui pekan/perkampungan kecil Pirron Yallock dan Simpson sebelum menggunakan laluan Princetown Road untuk sampai ke lokasi menarik iaitu Taman Negara Port Campbell. Sambungan masa yang digunakan untuk laluan ini hanyalah 1 jam 20 minit sahaja dengan mengikut kelajuan yang dibenarkan, sambil mata begitu asyik melihat saujana keindahan dan kehijauan ladang ternakan lembu dan biri-biri di kiri dan kanan jalan.


Laluan yang digunakan ini sangat menjimatkan masa bagi pengunjung seperti kami yang hanya mempunyai masa seharian sahaja untuk ke Taman Negara Port Campbell. Perjalanan persisiran pantai pula yang menggunakan laluan dari pusat bandar Melbourne-Torquay-Anglesea-Lorne-Appolo Bay-Taman Negara Port Campbell boleh memakan masa sehingga 4 jam 30 minit. Maka satu jam dapat dijimatkan dengan laluan yang telah kami gunakan.


Persisiran pantai di Taman Negara Port Campbell sememangnya sungguh mengasyikkan dengan pemandangan yang cukup indah dan mengkagumkan. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata tentang indahnya satu lagi 'keajaiban' ciptaan Allah ini.


Di sebalik landskap yang mendamaikan di bumi Australia ini, namun di Port Campbell ianya berbeza pula. 'Ngauman' ombak dan deruan anginnya sungguh menakutkan dan penuh dramatik. Kesan gabungan angin, ombak dan hujan maka terbentuklah ciri-ciri pantai dengan cenuram yang berketinggian sehingga 150 meter. 'Hentaman' ombak yang mengganas juga telah menyebabkan terbentuknya percikan-percikan besar, gua-gua dan lubuk-lubuk pusar. 'Ngauman' ombak yang kedengaran sungguh menakutkan sehinggakan gelombangnya dikhabarkan boleh mencecah sehingga 30 meter.

Pada hari kembara kami juga kebetulannya hujan turun sekejap-sekejap dan kami juga disambut dengan deruan angin yang sungguh kencang. Kedinginan musim sejuk ini terus menerus dirasai dengan 'adunan' hujan dan angin kuat tersebut. Dari jauh lagi pengunjung boleh mendengar bunyi deruan ombak yang menghentam pantai dan dinding batu kapur yang berira halus itu.

Indah sungguh permukaan perbatuan ini yang asal sejarahnya merupakan dasar laut kira-kira 20 juta tahun lalu dan kemudian 'meninggi' hingga ke atas paras laut. Dek kerana batuan ini mempunyai pelbagai kekerasan, maka proses luluhawa dan hakisan yang tidak henti-henti telah menghasilkan 'ukiran' semulajadi dan seascape yang sungguh unik lagi menarik untuk dipertontonkan kepada pengunjung.



Tunggul Laut! Memang itulah antara tarikan utama pengunjung untuk ke Taman Negara Port Campbell. Tidak sah rasanya kalau seseorang pengunjung ke sini tidak bergambar dengan berlatarbelakangkan tunggul-tunggul laut itu. Di antara tunggul-tunggul laut yang paling popular di Taman Negara Port Campbell adalah The Twelve Apostles.


Tunggul-tunggul yang berdiri teguh menghadap percikan ombak, hujan dan angin laut ini sesetengahnya berketinggian sehingga 100 meter. Daripada 12 tunggul-tunggul laut ini, hanya lapan sahaja yang tinggal. Kelapan-lapan tunggul yang tinggal inipun lama-kelamaannya akan 'mati', patah sebelum kesemuanya akan rebah menyembah bumi dan tenggelam ke laut menjadi butiran pepasir dan hanyut ke pantai berhampiran dek kerana 'keganasan' ombak-ombak, angin dan hujan. Namun akan muncul pula terowong, 'jambatan', pulau kecil dan tunggul baru yang mungkin mengambil masa beribu-ribu tahun mendatang.


Banyak peristiwa bersejarah berlaku di persisiran pantai Port Campbell. Ianya pernah menjadi lokasi tenggelamnya hampir 30 buah kapal-kapal besar yang melalui kawasan ini. Dek kerana ombak besar dan ribut, kapal-kapal yang melalui kawasan ini telah hilang pedoman, gagal dikawal dan akhirnya terlanggar tunggul-tunggul laut yang tidak nakhodanya nampak. Kapal-kapal ini kemudiannya karam dan terus 'berkubur' di situ sehingga ke hari ini. Loch Ard, antara sebuah kapal yang membawa 54 orang isi kapal bertolak dari Glasgow telah karam di sini. Tiada siapa yang mengetahui kenapa Lord Ard belayar terlalu hampir dengan daratan. Hanya dua orang sahaja yang terselamat di dalam kedinginan awal pagi yang sungguh mengerunkan di musim sejuk pada 1 June 1878. Kesan sejarah seperti gua dan lokasi kejadian ini masih terdapat dan boleh dikunjungi di Loch Ard Gorge di Port Campbell. Pengunjung juga boleh menuruni tangga yang curam untuk ke pantai dan 'merasai' sendiri detik-detik cemas bagaimana Tom Pearce (pemuda yang terselamat) berenang semula ke laut selepas mendengar jeritan seorang gadis lagi yang terselamat iaitu Eva Carmicheal yang hanya berpaut pada serpihan kayu daripada kapal.


'London Bridge' merupakan salah satu lagi mercu tanda Taman Negara Port Campbell di laluan yang mendapat gelaran The Great Ocean Road ini. Suatu ketika dahulu pengunjung boleh berjalan sehingga ke penghujung 'London Bridge' untuk menyaksikan keindahan sekitarnya. Bahagian 'terowong' London Bridge ini telah runtuh pada 15 January 1990. Pengunjung yang terperangkap di bahagian penghujung London Bridge yang tidak runtuh telah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. Walaupun kini lokasi ini dipanggil 'The London Arch' pula, namun ianya masih kekal popular dengan nama asalnya lagi 'London Bridge'. Sedapnya dilagukan lagi sebagai London Bridge has fallen down!





Sesungguhnya keindahan alam di serata ceruk rantau adalah untuk dikongsi bersama. Niat saya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai tanda mensyukuri kurniaan nikmat oleh-Nya. Alhamdulillah dikurniakan pancaindera untuk merasai dan menikmati sendiri kebesaran dan keindahan ciptaan-Nya yang sungguh memukau. Diharapkan perkongsiaan kali ini akan dapat menarik lebih ramai penjengok sekalian untuk bersama mengembara sambil 'merasai' dan 'menikmati' keindahan alam ciptaan Illahi. Subhanallah...

Klik JOM JELAJAH AUSTRALIA untuk coretan sebahagian daripada pengalaman kembara saya di Australia.