Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Wednesday, 7 September 2011

Sedekad Bahtera Dilayari

Sudah tentu saya dan isteri tak akan melupakan peristiwa penting yang pernah menjadi sejarah kira-kira 10 tahun yang lalu. Peristiwa di mana saya dan Liza telah diijabkabulkan di Masjid Kg Gelam dengan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai. Ustaz Johan, Imam masjid tersebut telah bertindak sebagai jurunikah kepada pernikahan kami.

Gementar sungguh saya rasa takala tangan digenggam oleh Ustaz Johan ketika majlis akad nikah. Mulut terkumat-kamit tak henti-henti membaca al-Fatihah dan Ayatul Kursi.

Sedih sungguh rasanya di ketika itu kerana mak dan abah tidak dapat sama-sama menyaksikan hari paling bahagia bagi anakanda mereka. Nasib baik Baba (bapa saudara yang menjaga dan mendidik saya selepas ketiadaan emak & abah) sentiasa di samping di sepanjang majlis berlangsung. Hilang jugalah gugup dan takut.

Ustaz Johan menduga saya dengan meminta saya membaca surah al-Fatihah, alhamdulillah saya lulus dengan cemerlang.

Seterusnya majlis akad nikah bermula. Saya bertekad tak mahu mengulang dan buat silap. Ini bukan perkara main-main. Saya kena buat bersungguh-sungguh. Akhirnya dengan sekali lafaz, Norliza Ali Wee sah menjadi milik saya. Alhamdulillah.

Satu lagi peristiwa besar yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya turut berlaku. Imam meminta saya membaca lafaz taklik dalam tulisan jawi. Aduh... malunya aku. Kali terakhir saya membaca buku atau tulisan Jawi adalah ketika darjah 4. Ingat lagi, masa tu abah yang ajar. Terus saya mengaku, "Maaf Ustaz, dah lama saya tak baca tulisan Jawi, bacaan saya dah tak lancar". Nasib baik Ustaz Johan jenis yang sporting habis. Dibantunya saya melafazkan taklik sampailah habis. Malu saya sampai kesudah.

Saya pun tak pasti apa yang patut saya ucapkan bagi meraikan Ulangtahun Perkahwinan yang ke-10 ini. Namun di sudut hati yang ikhlas saya bermohon agar Allah SWT merahmati dan memberkati perkongsian hidup di antara saya dan isteri. Semoga Allah mengurniakan kami rasa cinta, kasih sayang dan saling menghormati sehingga ke akhir hayat dan seterusnya dapat dikumpul dan dipertemukan di syurga yang paling istimewa bersama Rasulullah SAW. Syurga Allah yang paling istimewa untuk hambaNYA.

Thursday, 4 August 2011

Beku Lagi Tepu

Dah 4 hari aku 'bebas'. Sekarang dah kembali 'bertapa' di Aras 4. 3 tahun lamanya bertugas di bilik bawah begitu mengekang masa [mungkin ianya alasan]. Namun jari jemari masih kaku dek kerana dah terlalu lama minda tak diasah untuk mencoretkan sesuatu di ruangan blog ini. Laman sesawang ini dah semakin bersawang. Semuanya gara-gara kurang daya kemampuan aku untuk beristiqamah di dalam meneruskan penulisan. Aku gagal...

Aduhai... 'bakat' kalau dah ada [kalaupun ada la], kalau tak diasah akan hilang jua akhirnya. Mahu tidak mahu aku kena meneruskan penulisan bagi mendapat momentum ketika di zaman kegemilangan blog [di kala rajin la] ini sekitar tahun 2008 dan 2009. Aku perlu melakukan sesuatu agar jari jemari ini tidak terus kematu dan otak tidak lesu. Aku perlukan motivasi. Aku perlukan momentum untuk terus bergerak laju. Aku mampu lakukan, Insya-Allah.

Monday, 1 August 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah sekali lagi aku diberi kesempatan untuk menikmati ganjaran bulan yang cukup mulia. Sukar untuk digambarkan kegembiraan apabila diketemukan sekali lagi oleh Allah dengan bulan yang penuh barakah ini. Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan menjiwai sepenuhnya keistimewaan bulan ini.

Selamat datang wahai Ramadhan, Salam Ramadhan kepada penjengok-penjengok blog sekalian. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Sama-samalah kita semua berdoa akan diberi kekuatan agar dapat beribadat bagai ini Ramadhan kita yang terakhir.


Salam Ramadhan daripada kami sekeluarga,

Hisyam Che Mat
Norliza Ali Wee
Kamilia Afiqah Hisyam
Kamil Afiq Hisyam
Kaisara Afiqah Hisyam

Monday, 4 July 2011

e-PJJ Rekreasi Luar Hebat!

Alhamdulillah... untuk kesekian kalinya saya mendapat pelajar-pelajar e-PJJ yang cukup aktif menggunakan sistem i-class untuk berhubung sesama mereka dan pensyarah. Dek keaktifan mereka itu maka segala maklumat berkaitan kuliah dan amali kursus Rekreasi Luar berjalan dengan lancarnya.

Diharapkan pelajar-pelajar ini akan terus aktif menggunakan sistem ini kerana pertemuan untuk kursus e-PJJ hanyalah 5 kali sahaja untuk satu semester. Maka interaksi begini sangat diperlukan agar tiada pelajar yang akan tertinggal apabila ada isu-isu berkaitan rekreasi dibincangkan di dalam forum-forum di dalam i-class.

Wednesday, 11 May 2011

Tak Cukup... 'aku mahu tambah'

Saya pun tak tahu kenapa begitu kerap saya menggunakan contoh ini untuk hamba Allah yang terlupa bersyukur. Saya memberi contoh bagaimana ada seorang hamba Allah ini (sihat tubuh badan) sering mengeluh mengenangkan nasibnya yang sudah lama tidak bertukar kasut. Dia mengeluh kerana menyedari dirinya tak mampu untuk membeli dan melaram dengan kasut baru. Kasut yang dipakainya juga sudah lusuh terkoyak dan patut dihukum buang dan sepatutnya dah sampai masa ditukar kepada yang baru.

Namun hamba Allah ini kembali bermuhasabah diri dan bersyukur apabila menyaksikan sendiri bagaimana 'peritnya' seorang hamba Allah lain yang langsung tidak mempunyai kaki melintasinya. Iyalah... pandangan mata hatinya telah menyaksikan bagaimana dirinya yang berkaki masih belum mahu bersyukur hanya kerana tak punya wang untuk membeli kasut baru sedangkan hamba Allah (OKU) yang baru melintasinya tadi langsung tak punya kaki untuk disarungkan kasut (itupun kalau dia mampu membelinya). Namun dia dapat menyaksikan seakan-akan hamba Allah ini ceria menjalani kehidupannya biarpun terpaksa mengengsot dek kerana kedua kakinya yang kudung hingga ke paras paha.

Ketabahan dan tidak lupa bersyukur sebeginilah menjadikan seseorang itu lebih kuat dan sentiasa berfikiran positif serta melihat sesuatu itu dengan pandangan mata hati.

Thursday, 28 April 2011

Pejamkan Mata

Ya! Cuba pejamkan mata anda sebentar [Nota: Cuba selepas membaca keseluruhan artikel da]. Kini bayangkan anda di tepi pantai yang tidak dapat anda lihat keindahan secara nyata. Anda cuma dapat merasakan angin yang sentiasa meniup pipi anda dan kedengaran juga ombak yang menghempas manja ke pantai yang kini 'sedang' anda jejaki. Terasa pasir yang sedang anda pijak [bayangkan berkaki ayam]halus mulus tanpa anda dapat lihat keputihannya. Hanya keputihan pasir pantai melalui pengalaman dan cerita orang atau kawan yang mampu anda bayangkan.

Mata anda masih ditutup dan kini ada bayangkan anda mencapai dan memakai jaket keselamatan. Setelah diklipkan dan dikemaskan kesemua buckle anda mencapai pula mask dan snorkel untuk dipakaikan. Aduh... sudah tentu perasaan kurang selesa menyelubungi anda. Kenapa perlu mata aku ditutup. Aku mahu melihat keindahan alam yang Allah anugerahkan ini. Kenapa perlu mata aku 'direhatkan'di kala aku boleh melihat. Alangkah indahnya peluang berada di pantai ini digunakan sebaiknya untuk mencuci mata namun nikmat melihat pula ditarik sementara. Takpa sekejap ja... cuba bayangkan sahaja.


Sekarang anda dipimpin ke gigi air di tepi pantai. Anda bersama buddy anda yang 'celik' sudah bersedia untuk melakukan aktiviti snorkeling. Sekarang masanya pula untuk memakai fin/kaki itik. Duduk dahulu ya baru mudah dipakai fin itu. Selesai segalanya anda bersama buddy anda yang 'celik' berjalan berpimpinan tangan sehinggalah ke kawasan yang anda dan buddy boleh terapung dan seterusnya 'menyaksikan' keindahan ciptaan Allah.


"Subhanallah... cantiknya coral di sini",kata buddy anda ketika kedua anda terapung selepas penat bersnorkeling. Anda hanya mampu teruja dan 'ghairah' dek keindahan yang disaksikan dan diceritakan oleh buddy anda tanpa anda dapat mengesahkan kebenaran kata buddy anda itu kerana mata anda tadi masih 'dibutakan'. Anda juga hanya mampu membayangkan air laut yang jernih kebiruan berdasarkan pengalaman kawan dan pembacaan lalu. Kesemua itu anda tak dapat lihat tetapi anda tetap puas.


Sekarang buka mata anda dan kita boleh bincangkan pengalaman dibutakan sebentar tadi.

Aduhai beginilah nasib badan apabila nikmat ditarik. Namun mereka tetap bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk melakukan aktiviti ini. Itulah kata si-buta sebenar kepada saya.

Ini kisahnya 'si-buta' yang saya minta pembaca bayangkan apabila diberi peluang untuk menjalankan aktiviti yang dahulunya mustahil untuk dilakukan tetapi kini seperti mimpi jadi kenyataan. Saranan saya... berilah mereka PELUANG YANG SAMA! Mereka pasti ingin, akan dan menunggu untuk melakukannya.

Wednesday, 27 April 2011

Obesiti Dek Nasi Lemak

Dah ada isu baru la pulak. Khabarnya budak-budak sekolah sekarang makin obes dek penangan nasi lemak. Aik... ya ka sampai begitu. Takkan nasi lemak sahaja penyumbang kepada obesiti. Bagaimana pulak dengan nugget, aiskrim, hotdog dan macam-macam lagi serba mak nenek yang budak-budak sekolah ni makan. Adakan yang lain tu tak menyumbang kepada kegemukan.

Saya sangat bersimpati dengan 'fenomena' ini kerana yang terkena tempiasnya bukan sahaja tukang-tukang kantin tetapi juga peniaga-peniaga warung tepi jalan yang kebanyakannya orang Melayu Bumiputera. Kasihan depa semua. Mungkin sehari dua ni collection mereka akan berkurang. Biar sesedap manapun nasi lemak mereka, tentu mak bapak dan pelajar trauma sebentar untuk menikmati nasi lemak yang begitu sinonim sebagai hidangan di waktu pagi. Nasi lemak yang telah menjadi rutin orang Melayu dan rakyat Malaysia dari sebelum merdeka lagi pasti akan jatuh merudum jualannya.

Bagi saya nasi lemak tu ok ja... takdala saya gemuk masa kecik-kecik dulu walaupun hampir setiap hari melantak nasi lemak sebelum dan semasa di sekolah. Maintain...

Wahai kementerian yang terbabit, kaji dahulu adakah pelajar-pelajar ini membakar semula 'lemak' dari nasi yang mereka dah makan tu. Jangan dibakar kelambu dek kerana nyamuk.

Cikgu-cikgu Pendidikan Jasmani... hah tunggu lagi! Pastikan anak didik anda bersenam setiap hari. Gunakan sepenuhnya masa PJ tu. Jangan biarkan terlupa membawa baju menjadi alasan untuk tak bersenam. Jangan hanya mengangguk ja bila masa untuk subjek anda dicuri subjek lain. Lawan tetap lawan (takut jugakla kalau itu arahan gurubesar @ pengetua).

Mustahil jugak no! Apa boleh buat kadang-kadang (mungkin selalu) subjek PJ pun cikgu lain dah 'curi' demi nak menggantikan subjek yang ada peperiksaan besar (arahan bos da). Makanya PJ pun makin dipinggirkan. Adakah janji kementerian terbabit "Seorang pelajar satu sukan" menjadi kenyataan. Harap-harap jadilah. Maka ini salah satu penyelesaiannya. Obesiti akan dapat dikurangkan dan nasi lemak akan boleh dijual kembali di kantin-kantin sekolah. Tokey-tokey warung kecil-kecilan di tepi jalan pun akan kembali tersenyum kerana peminat-peminat cilik nasi lemak akan kembali membanjiri warung mereka.

Nota: Saya sepenuhnya tidak bersetuju dengan pengharaman penjualan nasi lemak di kantin-kantin sekolah. Poco-poco boleh dihalalkan, nasi lemak pula 'diharamkan'. Fikir beb fikir.

Aduhai HiCMat

Tu dia, lama betul tak berblogging. Hampir terlupa password blog dibuatnya dek kerana sibuk yang entah apa-apa. Di pejabat dengan cara kerjanya, di rumah pula dengan rutin bersama keluarganya hinggakan masa untuk diri sendiri makin diabaikan. Aku perlukan masa senggang seperti dahulu untuk terus mengarang. Idea yang banyak kalau tak dicoretkan akan sebabkan aku terlupa dan otak makin 'beku'.

Dek tak mahu terlupa dan takut idea tak sempat dicambahkan aku mengambil inisiatif membeli sebuah Sony MP3 dan sebuah MP4. Syukur, alhamdulillah... Moga-moga bergunalah kedua-dua gajet baru ni untuk memastikan idea yang muncul di mana sahaja aku berada tak 'hanyut' dek kesibukan yang tak pernah berkurang.


Pembelian gajet terbaru ini juga akan menjadi titik tolak kepada alam baru yang akan aku tempoh tak lama lagi. Sebentar tadi aku dah berkongsi tentang sesuatu dengan beberapa orang. Aku yakin perkongsian itu akan menambah makna kepada kehidupan kami dan moga perkongsian ini akan dapat dikongsi dengan yang lain secara bersemuka.

Selain daripada itu, insya-Allah aku mengharapkan agar kemunculan 4 lagi gajet yang telah lama aku idamkan akan menjadi realiti. Agak-agaknya bilalah gajet yang aku idam dan nantikan tu menjadi milik aku. Alahai terpaksalah sabar menanti.

Wednesday, 9 February 2011

Chenderoh Dalam Kenangan

Agak menarik juga kem kali ini. Macam-macam gelagat dapat disaksikan melalui beberapa aktiviti yang telah dirancangkan. Pada kali ini istimewanya digabungkan Amali Perkhemahan Asas dan Amali Perkhemahan Akhir. Apa boleh buat, cuti Pertengahan Semester pula pada kali ini diawalkan dek Perayaan Tahun Baru Cina. Makanya berkampunglah para peserta, fasilitator dan staf yang terlibat di Tanjung Harapan, Tasik Chenderoh, Perak.

Hari pertama hujan... maka ramai menjangkakan hari-hari yang seterusnya akan terus 'lembap' dek hujan yang membasahi bumi. Telahan kebanyakan yang berada di kem tidak tepat. Hujan hanya turun di hari pertama sahaja. Hari-hari seterusnya kami dipanahi dengan terik mentari. Waduh-waduh... hingga ada peserta yang terpaksa 'menyedut' inhaler dek kerana keletihan mendaki Puncak Mandi Angin ditambah pula dengan kepanasan yang amat memeritkan.

Saya sendiri berpeluang mendaki puncak Mandi Angin yang terletak berhampiran Gunung Biong (1218 meter). Sebelum membenarkan peserta menjalankan aktiviti pendakian Puncak Mandi Angin, saya bersama-sama beberapa orang alumni dan fasilitor telah menjalankan tinjauan dan penandaan bagi laluan pendakian pada hari sebelum bermula rotation aktiviti. Dek kerana tiada laluan atau lebih tepat lagi laluan yang telah lama tidak dilalui, maka kami terpaksa 'memecah' masuk ke dalam semak samun yang mula menutup laluan yang tidak serupa laluan itu. Selepas berhempas pulas akhirnya sampailah kami ke Puncak Mandi Angin. Namun kepuasan di hati tidak dapat bertahan kerana ada lagi puncak di hadapan laluan yang belum kami teroka. apa lagi terus kami spakat untuk meneruskan pendakian untuk mencari puncak seterusnya. Berbekalkan GPS kami redahi laluan yang semakin mencabar. Makin banyak kubang-kubang babi yang kami jumpai. Terlalu banyak. Hidung mula terbau sesuatu yang menusuk... bau hancing. Wah! dia berada hampir dengan kami. Ini wilayah 'dia'. Kami dah masuk territory Sang Belang. Kami terjumpa tapak kaki. saya jangkakan, itu tapak kaki 'dia', si kucing besar... tapi mulut tak berani berkata. Saya katakan kepada yang lain untuk teruskan. Kita nak tengok sampai mana puncak seterusnya... baru nak puas hati kot. Daki punya daki... makin banyak kubang ditemui... namun puncak yang dicari tak juga dijumpai.

Tiba-tiba Azizi aka Ann yang berada di hadapan sekali seperti terkejut. Dia nampak sesuatu. Aduh... babi tiba-tiba meuncul di depan dia dan babi tu dah makin tersekat da. Laluan si babi semakin mengecil. Babi dah tak ada tempat nak main lari-lari atau mungkin kerana 'spa' nya diganggu. Akhirnya keputusan dibuat untuk kami berpatah balik selepas hampir sejam mendaki dari Puncak Mandi Angin untuk mencari puncak yang tak berpuncak tadi. Munkin itu juga tandanya pendakian kami cukuplah hingga ke satakat itu sahaja. Saya jangkankan di hadapan kami 'banyak yang menanti'. Tidak juga saya beritahu kepada semua yang mendaki bersama-sama saya itu bahawa saya terjumpa taik 'si-gagah' di sepanjang pendakian sejam dari Puncak Mandi Angin. Bagus juga babi tu tonjolkan diri agar pendakian kami ditamatkan. Kalau tak...

Wednesday, 12 January 2011

Apa Yang Boleh Dijangka Dari Foto-Foto Ini










Lokasi Kem Seterusnya: Tasik Chenderoh

Hanya menghitung hari sahaja untuk berkampung di sana. Saya dan Zainal baru sahaja sampai ke Shah Alam dari Tasik Chenderoh. Saja jalan-jalan melawat kawasan. Menarik juga tempat tu rupanya. Kalau diikutkan banyak sangat aktiviti yang boleh dibuat di sana. Kem selama seminggu tu sebenarnya tak cukup kalau betul-betul nak menjelajah ke kebanyakan tempat menarik sekitar kawasan tapak perkhemahan tu. Ada 2 gunung yang boleh didaki. Tasik Chenderoh yang sememangnya besar tu pun makan berhari-hari juga kalau nak dibuat expedisi berkayak. Trekking usah cakaplah memang keliling kawasan tasik tu hutan. Namun atas nama asas dan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar Rekreasi Luar makanya seminggu pun memadailah dahulu. Kalau mereka minat lagi untuk meneroka kawasan tu, bolehlah datang semula ke tasik tu.

Kem Rekreasi Luar untuk pelajar-pelajar FSR (Shah Alam, Jengka, Shahputra, INSTEDT) yang akan berlangsung dari 29 Jan hingga 5 Februari 2011 ni agak unik sedikit. Ianya kerana kem kali ini akan menggabungkan Amali Perkhemahan Asas dan Amali Perkhemahan Akhir dalam satu kem. Apa boleh buat kali ini cuti semester diawalkan da... sempena Tahun Baru Cina. Apa boleh buat, terpaksalah peserta-peserta dari keempat-keempat kampus ni berhempas pulas mempersiapkan diri dan peralatan untuk dibawa ke kem. Dengan masa yang terhad ini mereka perlu bersatu dan bersama-sama bekerja bagi menjayakan dan seterusnya melancarkan perjalanan kem kali ini.

Semoga kem kali ini berlangsung dalam suasana harmoni dan dipermudahkan segala kerja buat para pelajar, fasilitator dan staf yang terlibat.

Tuesday, 4 January 2011

Permulaan Yang Menarik di Tahun Baru Masehi

Alhamdulillah dapat geran untuk research da. Banyak tu... Terima kasih kepada rakan-rakan yang dari awal-awal lagi mengucapkan tahniah tanpa aku tahu hujung pangkalnya. Akhirnya bila aku buka email selepas 4 hari bercuti tanpa internet, barulah aku tahu jalan ceritanya.

Fuh... selepas beberapa kali mencuba memohon geran, akhirnya di awal tahun 2011 ni geran dicuba beberapa kali dipohon berjaya diperolehi. Terima kasih kepada rakan-rakan yang turut sama membantu memberi cadangan untuk aku menyiapkan proposal. Terima kasih Dr Kwame, Nagoor dan Pn Rezian-na di atas bantuan kalian. Tak lupa juga kepada jawatankuasa tapisan di peringkat fakulti, universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Saya berjanji akan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan menyumbang ke arah pembangunan rekreasi luar di Malaysia. Doakan aku dan team penyelidik berjaya menyiapkan research ini mengikut jadual yang telah aku janjikan pada KPT.