Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Saturday 25 December 2010

Rob C & Minyak Masak Dalam Kenangan

"Aduh... terlupa la pulak. Minyak masak tak dibeli," rungut Liza. Itulah penangannya bila dah pergi membeli barang tanpa ada perancangan dan senarai barangan yang nak dibeli. Dahlah menumpang orang pi beli, sekarang apa nak buat... jalan nak ke kedai pun tak tahu. Catherine yang membantu sebentar tadi pun dah balik. Makanya perut kami empat beranak pada hari pertama 'makan tengahari' di Bendigo diisi dengan nasi berlaukkan telur digoreng tanpa minyak dan kari ayam Brahim (dibawa dari Malaysia) tepat jam 4 petang. Alhamdulillah

Selepas makan tengahari yang ala kadar tu dan solat, saya merancang untuk berjalan kaki sahaja untuk mencari kedai yang berhampiran untuk membeli minyak. Liza dan anak-anak ingin turut serta, saya langsung tidak membantah walaupun saya sendiri pun tak tahu kedai yang kami nak tuju itu dekat atau jauh.

Atas dasar susah senang biar kita satu keluarga, kami memulakan perjalanan untuk mencari kedai berhampiran. Memang tak ada kedai berhampiran!!! Dengan cuaca yang semakin dingin, kami bernasib baik kerana dipertemukan dengan Rob C yang sedang mengayuh basikalnya. Beliau berhenti dan bertanya kami dari mana dan hendak ke mana (mungkin beliau selalu menggunakan laluan tersebut untuk berbasikal dan tidak pernah bertembung dengan kami, tambahan pula Liza bertudung dan ianya agak janggal di kalangan penduduk Bendigo). Kami memaklumkan kepadanya tentang niat kami untuk mencari kedai untuk membeli minyak masak.

Melalui perbualan dengan Rob C yang merupakan seorang guru, barulah saya tahu jauhnya lagi kalau nak ke pusat bandar dan sebenarnya tiada kedai berhampiran. Sekiranya adapun kedai yang berhampiran ianya sudah ditutup kerana waktu tersebut dah hampir pukul 5 dan lebih-lebih lagi ianya hari Sabtu (di sini pasaraya dibuka lebih masa hanya pada hari Jumaat malam Sabtu dan hanya pasaraya Coles sahaja dibuka 24 jam).

Rob meminta kami sekeluarga supaya bersabar menunggu beliau untuk pulang ke rumahnya dan mengambil kenderaan untuk membawa kami ke pusat bandar Bendigo untuk membeli barang keperluan yang masih belum dibeli. Kami berasa sungguh bersalah kerana telah menyusahkan dan mengganggu Rob yang sedang beriadah. Dari riak wajah beliau menunjukkan kesungguhannya untuk membantu (hingga kini saya masih merasakan tuah budak-budak berdua tulah yang menyebabkan segala kerja buat saya dipermudahkan, -hanya Allah yang lebih mengetahui).

Rob datang dengan keretanya dan apabila turun saya lihat di tangannya sebotol minyak masak yang dikatakannya dibekalkan oleh isteri beliau untuk diberikan kepada kami, sekiranya kedai telah tutup. Begitu mulianya hati warga Australia ini hingga menyebabkan hati saya berasa begitu tersentuh dengan niat ikhlasnya itu.

Alhamdulillah terdapat sebuah pasaraya yang masih dibuka dan kami dapat membeli minyak masak yang diinginkan (itulah pengajaran kepada kami, supaya sentiasa membuat perancangan sebelum melakukan kerja terutama di dalam membeli belah).

Begitulah pengalaman hari pertama saya sekeluarga di bumi Bendigo dengan seribu satu pengalaman. Terima kasih Cikgu Rob C.

No comments: