Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 6 December 2010

Kisah Teladan: Berkat Bismillah

Dikisahkan tentang seorang perempuan yang taat beragama, tetapi suaminya pula seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama serta tidak mahu berbuat kebaikan.

Perempuan itu sentiasa membacakan Bismillah setiap kali hendak bercakap. Setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa dia dahului dengan bacaan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya berkata sambil mengejek, “Asyik-asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah. Entah apa yang Bismillah tu boleh tolong tak tahulah!"

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. agar suaminya diberikan hidayah. Suaminya juga berkata, “Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu!”

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan sejumlah wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, “Simpan duit di dalam beg ini!” Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil beg berisi duit tersebut dan mencampakkannya ke dalam perigi di belakang rumah mereka.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, “Berikan padaku wang yang telah aku amanahkan kepada engkau dahulu untuk disimpan.”

Kemudian isterinya pergi semula ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya. Dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan beg berisi duit itu dan dia membuka dengan membaca, “Bismillahirrahmanirrahiim.” Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg berisi duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya. Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya. Ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah. Bermula dari itu dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Nota HiCMat: Sama-samalah kita amalkan bacaan Bismillah sebelum perbuatan, Insya-Allah kita tidak akan rugi.

1 comment:

hijau bumi Tuhan... said...

trima ksih diatas pengajaran ini...sama2lah kita cuba mengamalkannya, insyallah...