Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Thursday 16 December 2010

Buka Jalan

Dia datang jumpa aku. Dikhabarkan kepada aku yang dia dalam kesusahan. Dia tak dapat pinjaman untuk meneruskan pengajian. Biasiswa apatah lagi, jauh dari genggaman. Aku tenang mendengar cerita dia yang selanjutnya. Ku tanya mana ayah dan mak dia. Terus dia lancar bercerita. Keduanya masih ada tapi dah macam tak mampu membelanya. Banyak lagi tanggungan yang terpaksa dipikul dek keduanya. Dia dah seperti putus harap. Aku tanya apa perancangan seterusnya. Kononnya dia dah fikir masak-masak, bercuti belajar atau seterusnya berhenti belajar jalan penamatnya.

Aduh... begitu singkat pemikiran anak muda ini. Baru diuji sedikit dah mengalah. Dah putus harap dan seperti tak ada tempat lagi yang nak dituju untuk mengadu. Aku tanya keputusan peperiksaannya untuk beberapa semester yang lalu. Fuh... tak sangka aku, dia insan cemerlang. Keputusannya di hujung semester amat hebat. Subjek yang ramai orang lain gagal, itu yang dia dapat A+. Wah...hebat budak ni. Tapi kenapa dia tak dapat melihat dirinya sebagai permata berharga. Dia cepat mengalah. Ada ka patut dia nak bercuti dan mungkin berhenti belajar dan cuma jadi tukang cuci. Bukan nak menghina pekerjaan tukang cuci, tetapi budak ini sepatutnya mendapat peluang yang lebih dari itu.

Aku dah melalui apa yang budak ni alami kira-kira 16 tahun yang lalu. Anak yatim piatu ini tak dapat pinjaman atau biasiswa untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama. JPA menolak permohonan aku dan MARA pun 'tak berkenan' nak meminjamkan dana di dalam kantung mereka. Aduh... bagaimana aku nak belajar. Aku pun dah mati kutu. Duit pencen abah cuma RM100 sebulan. Aku jumpa Dr Wan Sabri Wan Mansor, pensyarah yang sememangnya aku kagumi dan sifu rekreasi. Untung-untung dia boleh bantu.

Malangnya jawapan yang diberikan cukup mendukacitakan aku. "Bukannya nak membantu!", kata aku dalam hati. Ditambah lagi pening di kepala. Dia ceritakan yang dia sendiripun awalnya tak ada dana yang nak membantunya. Dipohon dari kerajaan negeri Kedah dia bukannya menetap di Kedah lagi. Permohonan ditolak. Lalu dipohon dengan kerajaan negeri Pahang ditolak juga kerana bukan anak jati Pahang walaupun membesar di Pahang. Namun usahanya yang tak jemu-jemu akhirnya berhasil apabila dia berjaya mendapat Biasiswa Komanwel. Fuh.. dia memang hebat.

Habis apa usaha aku seterusnya. Aku panjat tangga JPA dengan bantuan saudara yang mengenali staf di sana. Aku tetap gagal. Kuota da. Panjang ceritanya. Aku daki tangga MARA... berulangkali tanpa jemu. Rayuan demi rayuan dibuat dan akhirnya MARA sudi meminjamkan aku dananya. Alhamdulillah. Pinjaman itu pula akhirnya diubah menjadi Biasiswa. Alhamdulillah lagi. Bonus berganda.

Aku ceritakan pengalaman aku kepada pelajar tadi. Dia mengaku dia tak cukup berusaha. Aku capai gagang telefon. Aku telefon pengarah Pusat Zakat. Aku tanyakan samada budak ini layak untuk mendapat zakat. Pengarah berjanji akan lihat pendapatan keluarganya samada layak dan pelajar itu diminta berjumpanya terus.

Sebelum pelajar itu keluar aku beri satu cadangan. Alhamdulillah aku dapat tahu yang dia menuruti cadangan aku dan beberapa semester lagi insya-Allah pelajar ini akan bergraduat. Sebentar tadi aku semak keputusan dia untuk peperiksaan lepas. Dia cemerlang lagi.

Aku yakin dia dan ramai lagi yang di luar sana mampu lakukan. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan.Genggam bara api biar sampai jadi arang dan berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Rezeki tidak akan datang bergolek. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Macam-macam lagi peribahasa yang nak menunjukkan usaha tangga kejayaan.

1 comment:

Jose' Patrick said...

sya fhm perasaan "dia"..btol kena byk bersabar dan berusaha..hya fikir semuanya berlaku untuk mgajar kita erti pahit manisnya kehidupan. Sya sendiri mgalami benda pgalaman yg serupa. Satu cara yg sya amalkan meminta ibu mendoakan sebaiknya utk diri sya. Lakukan ap yg kita bole lakukan...doa sya mengiringi anda..