Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Friday 26 November 2010

Tahniah dan Selamat Bergraduat!

Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Mereka ini banyak mengorbankan banyak masa, wang ringgit dan tenaga. Semuanya hanyalah dengan mengharapkan kejayaan di pengakhirannya.

Akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Mereka ini akan menaiki pentas di dewan yang serba indah untuk menerima skrol masing-masing. Oh! alangkah seronoknya hari yang berbahagia ini sekiranya dapat dikongsi bersama-sama orang yang tersayang. Sudah tentulah ayah dan bondalah orangnya yang senantiasa mendoakan segala yang terbaik untuk anakanda yang tercinta. Walaupun anakanda ini seringkali alpa dan leka akan tanggungjawab sebagai anak, namun inilah salah satu caranya yang anakanda boleh berikan bagi menceriakan sisa-sisa hari tua ayah dan bonda.

Alangkah hibanya apabila melihat ayah dan bonda menitiskan air mata kegembiraan apabila melihat anakanda tercinta berdiri gagah sementara menunggu nama dipanggil dan tangan dihulurkan skrol di atas pentas. Aku bangga sebagai anak ayah dan bonda. Aku bangga kerana berjaya membahagiakan mereka berdua. Aku berjanji bahawa dengan skrol yang aku miliki ini tidak akan aku sia-siakan pengorbanan mereka sebelumnya. Akan aku pastikan ayah dan bonda tidak perlu bekerja keras lagi. Akan aku pastikan kehidupan mereka di hari tua ini lebih ceria tanpa perlu berduka lagi. Akan ku sempurnakan seikhlas hati. Aku berjanji.

Tahniah dan selamat bergraduat kepada semua graduan-graduan FSR yang akan menaiki pentas di Dewan Seri Budiman pada hari Ahad nanti. Sesungguhnya tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Bergembiralah di hari yang bersejarah di dalam hidup anda nanti.

1 comment:

Jose' Patrick said...

Tahniah kpda graduasi..sesungguhnya menjejakan diri ke alam pendidikan sememangnya mencabar. Tetapi menjejakan kaki di atas pentas sambil memegang segulung ijazah/diploma memberi jawapan kpd usaha yg telah di cuarahkan sepenuhnya. Tahniah...