Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 27 July 2009

Jawatan Kosong di Institusi Pendidikan MARA

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua,

Pihak Fakulti telah mendapat makluman daripada Bahagian Sumber Manusia MARA berhubung rancangan pengambilan pegawai-pegawai baru untuk berkhidmat dengan MARA sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah Gred DG41/DC41 (bertanggungjawab mengajar di Institusi Pendidikan MARA). Digalakkan untuk pemohon yang telah menamatkan pengajian dari tahun 2008 sehingga 2009 sahaja.

Sekiranya anda berminat dan layak, sila emailkan kepada saya butiran yang diperlukan seperti berikut:
Nama Pemohon
No. Kad Pengenalan
No Telefon
Alamat
Jurusan/Pengkhususan
CGPA
Tahun Tamat

Permohonan anda perlu sampai kepada saya sebelum jam 12.00 tengahari esok (28hb Julai 2009). Sekian, harap maklum

Friday 24 July 2009

Penangan Selsema Babi H1N1 di UiTM

Akhirnya cuti sampai 2hb Ogos 2009. Kita semakin sukar untuk mengawal merebaknya wabak selsema yang paling ditakuti oleh seluruh masyarakat dunia.

Cuti... apalagi balik kampung la! Jangan dok berlegar di UiTM lagi. Kuarantinkan diri di rumah. Kalau demam pergi klinik/hospital.

Tuesday 21 July 2009

Kemunculan Bloggers Baru

Blogawan-blogawan baru dari kelas Outdoor Recreation telah muncul. Untuk kali ini blogawan-blogawan terdiri daripada pelajar-pelajar matang yang mendaftar pengajian secara separuh masa. Untuk kelas PLK seramai 18 orang dan ePJJ seramai 6 orang.

Saya menjangkakan bahawa pelajar-pelajar matang ini akan berkongsi pengalaman mereka semasa menjalani aktiviti luar ketika di zaman muda remaja untuk dibaca oleh penjengok sekalian. Sesungguhnya pengalaman orang-orang dulu ini seronok untuk dikongsi bersama generasi baru kini.

Kita nantikan coretan siapakah di kalangan mereka yang paling menarik untuk dibaca!

Thursday 16 July 2009

Kasi Tambah Sikit!

Alahai 'dia' duduk bertenggek la pulak kat dalam tandas tu. Siap rambut panjang lagi. Jam 10.00 pagi pun dia dah muncul. Kalau dulu waktu tengahari atau malam saja. Sekarang ni dah 'kerja' overtime la pulak.

Ada staf yang jumpa 'dia' tengah usap bulu kucing dekat depan Makmal Komputer. Terkejut sakan staf tu. Pakai 'kebaya' putih labuh lagi. Baju rasmi la katakan. Kalau kes ketuk pintu tu usah cakap la. Ramai sangatlah staf yang terkena. Ada juga yang datang awal pagi dan terdengar bunyi bising seperti orang sedang berkenduri tetapi tak nampak apa-apa pun.

Itulah sebahagian daripada kisah misteri yang saya dengar dari rakan-rakan staf dan pelajar di Fakulti. Ada cerita tu siap ditokok tambah lagi untuk disedapkan ceritanya [selalunya begitulah]. Mungkin nak bagi orang lebih gerun kot.

Untuk pengetahuan semua, 'makhluk' tu memang wujud tapi janganlah sampai kita terlalu taksub dan takut sampai tak jadi apa kerja pun. kalau 'dia' muncul pun depan kita apa nak buat, layan ajalah. Dah 'dia' berkenan dengan kita.

Jadi apa-apa pun dugaannya, banyak-banyaklah bersabar wahai warga fakulti. Jangan sampai masuk tandas pun pejam mata. Iyalah takut ternampak apa yang sepatutnya taknak dinampak.

Tuesday 14 July 2009

Beban Dikongsi

Pada semester ini saya tidak mengajar pelajar sepenuh masa untuk kursus Rekreasi Luar di peringkat Diploma. Alhamdulillah saudara Azizul sudi menggantikan saya.

Sesungguhnya mengajar kursus ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana pelajar perlu diajar bermula dari erti rekreasi luar sehinggalah mereka boleh menjalani perkhemahan selama 5 malam di akhirnya. Saya telah merasai pengalaman ini bersama banyak kumpulan. Sekarang biarlah Azizul pula merasai nikmatnya.

Sebenarnya, untuk semester ini saya memerlukan masa yang lebih untuk pelajar di peringkat sarjana muda. Kali ini terdapat dua kumpulan pelajar yang telah mendaftar untuk kursus Pengurusan Rekreasi dan Aktiviti Luar. Selalunya satu kumpulan sahaja. Disebabkan kurikulum FSR baru disemak semula maka berlakulah pertindihan di semester 3 di antara pelajar Kohort baru dan lama.

Mereka yang mendaftar kursus ini majoritinya adalah bekas-bekas pelajar SR113. Datang dari 3 kampus yang berbeza. Mereka pernah mengambil kursus Rekreasi Luar di peringkat Diploma. Pengalaman mereka berbeza walaupun dari produk silibus yang sama. Guru mereka juga berbeza biarpun mereka dari Fakulti yang sama. Saya yakin ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama kumpulan ini. Kumpulan ini akan menjadi kumpulan pertama yang akan menggunakan silibus baru Pengurusan Rekreasi dan Aktiviti Luar.

Daripada perbincangan awal, Amali Perkhemahan selama 5 malam akan diadakan di Pulau Kapas, Terengganu. Tarikh yang dicadangkan adalah daripada 14 hingga 19 Ogos 2009. Saya telah lontarkan sedikit idea tentang aktiviti yang akan dijalankan sepanjang di sana. Namun, saya telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada kumpulan ini untuk merancang sendiri aktiviti rekreasi yang ingin mereka jalankan. Akan saya ceritakan hasilnya nanti.

Di samping pelajar sarjana muda ini, saya turut membawa pelajar-pelajar matang dari mod Pengajian Luar Kampus (PLK) dan Pengajian Jarak Jauh (ePJJ). Mereka juga nampak gayanya begitu teruja untuk menyertai perkhemahan ini setelah lama tidak beraksi. Semoga kem ini berjaya dilaksanakan dan mencapai matlamat yang digarapkan.

Wednesday 8 July 2009

Tak Sedar Diuntung!

Balajarlah bersyukur Pakcik... Anak pakcik dah dapat masuk universiti yang terbesar di Malaysia. Dah dapat, nak tukar-tukar tempat pulak. Biarlah anak tu duduk di cawangan. Kat sana pun bagus juga. Pakcik tak bolehlah cakap yang pensyarah dan kemudahan di cawangan tak membantu perkembangan akademik dan sukan anak Pakcik.

Pakcik zalim bila mengatakan pensyarah di cawangan tak layak untuk mengajar anak Pakcik. Kalau depa tak layak, universiti kami tak ambil depa bekerja. Sememangnya depa layak. Pakcik yang tak layak menuduh depa begitu. Saya bangkang habis-habisan.

Kalau anak Pakcik tak layak diajar oleh pensyarah kami di cawangan jangan mimpilah nak ke induk. Kami tak rela kawan-kawan kami diperlekeh samapai macam tu sekali. Saya dah cakap semalam kan... kalau saya sendiri pun tak setuju anak Pakcik berubah kampus... apakan lagi Boss saya. Dah tentu dia tanya saya, "Kenapalah kamu tawarkan calon ni tempat ke program kita".

Saya pun dah cadangkan kat Pakcik. Hantar anak Pakcik belajar di akademi di luar negara. Ke Amerika ka. Baru ada kelas. Biar dia belajar jadi professional @$%#*@. Kami kat sini tak melatih anak Pakcik menjadi professional @$%#*@ tapi sekurang-kurangnya dia ada ilmu sains sukan dan pengurusan sukan yang boleh digunakan untuk mengembangkan bakatnya di bidang sukan dan seterusnya digunakan sekiranya dia terlibat di dalam industri sukan.

Alahai, Pakcik... biar la anak kat situ. Lima semester saja. Itupun kalau dia habis ikut tempoh. Jangan dilayan sangat budak-budak. Dah lama sangat dia bernaung di bawah ketiak Makcik. Sekarang sampailah masanya untuk dia berdikari.

Untuk pengetahuan Pakcik, saya pun tak pernah tengok anak Pakcik beraksi di kaca TV. Saya pun sebelum ini tak pernah mendengar namanya di mana-mana. Kat suratkhabar pun saya tak pernah saya terbaca tentang kejayaan dan kecemerlangan anak Pakcik dalam bidang sukan. Jadi lepaskanlah dia untuk beraksi di cawangan pulak. Tak kurang aih skil yang dia ada tu. Silap-silap lagi hebat dia jadi.

Ok lah Pakcik kalau masih tak puas hati bolehlah mengirim surat rayuan kepada boss saya. Mana tahu dia dilembutkan hati untuk menerima anak Pakcik di induk. Saya cuma boleh ucapkan Selamat Maju Jaya.

Tuesday 7 July 2009

Cerewet

Sepatutnya semalam saya ada taklimat untuk pelajar-pelajar yang akan menjalani latihan praktik. Bersemangatlah saya menyiapkan segala dokumen dan slide untuk dibentangkan di hadapan pelajar-pelajar ini.

Apa yang dirancang tidak berlaku seperti yang sepatutnya. Kebanyakan mereka datang dengan berpakaian yang tidak mengikut sahsiah rupadiri yang sepatutnya untuk hari Isnin [Nota: warga UiTM sepatutnya telah sedia maklum bahawa hari Isnin merupakan hari Korporat di UiTM di mana pelajar lelaki perlu memakai kemeja dan bertali leher dan wanitanya berbaju kurung].

Saya 'halau' semua yang tidak berpakaian seperti yang sepatutnya. Zalimnya saya. Segala alasan yang diberi tidak saya layan. Kesudahannya daripada 28 yang akan berpraktikal, tinggallah hanya enam orang sahaja yang mengikut sahsiah rupadiri sebenar dan dibenarnya untuk berada di dalam sesi taklimat yang akan saya sampaikan.

Aduhai budak-budak ni... belum lagi ke lokasi praktikal dah buat perangai. Susah sangatka nak ikut peraturan tu. Kenapa nak cari pasal. Takkan mereka dah lupa bahawa mereka masih lagi pelajar UiTM dan perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Maka terpaksalah saya pindahkan lokasi taklimat tersebut dari bilik kuliah ke bilik pejabat saya. Habis... dah enam orang sahaja. Buang tenaga sahaja berdiri depan kelas bagi taklimat.

Budak-budak ni pun panjang akal. Sebaik sahaja saya selesai bagi taklimat kepada enam orang yang pertama, maka masukkan kumpulan yang kedua pelajar yang akan berpraktikal untuk mendengar taklimat. Semua buat muka seposen. Pakaian yang dipakai lebih kurang sama sahaja dengan kumpulan yang pertama. Rupa-rupanya mereka meminjam pakaian dari pelajar kumpulan pertama tadi. Begitulah juga untuk kumpulan berikutnya. Pakaian yang sama, tetapi dipakai oleh individu yang berbeza.

Saya sebenarnya bukan nak menganiayai atau menyusahkan pelajar-pelajar ini. Sepatutnya mereka perlu sedar bahawa hari Isnin adalah hari Korporat. Ikut sajalah. Semua senang kan. Saya pun tak perlulah bersusah payah buat taklimat sampai empat kali. Banyak kerja lain lagi boleh diselesaikan.

Semoga pengalaman yang sedikit ini akan menjadi pengajaran berguna kepada kumpulan pelajar-pelajar ini.