Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 26 January 2009

Pelanduk Dua Serupa

Seorang lelaki Tionghua tiba-tiba menyoal saya, "Lampu ini dah out of stock ka... Encik?". Saya yang pada masa itu sedang melihat lampu di rak sebelah terkedu sebentar. Dalam hati bertanya,"Kenapalah aku pulak yang ditanyanya". Untuk tidak menghampakan pertanyaan tadi, saya menjawab, "Sorrylah Encik... saya bukannya pekerja kat sini... saya pun kurang pasti". Kebetulan pula berhampiran saya ada seorang pekerja pasaraya tersebut. Terus saya panggilkan pekerja tu untuk membantu lelaki Tionghua tadi. Sekali lagi dalam hati bertanya, "Muka aku ni ada rupa salesman ka?". Namun tiada jawapan.

Ketika sedang mengujilari mentol yang nak dibeli muncul pula seorang lelaki Melayu. Ditanya saya tentang mentol yang dia ingini samada ada stok atau tak. "Maaflah bang... saya bukannya pekerja kat sini... saya pun kurang pasti. Nanti saya panggilkan staf yang bantu saya tadi", jawapan yang lebih kurang sama saya berikan kepada lelaki Melayu itu. Sambil tersipu-sipu malu lelaki Melayu itu berkata, "Maaf bang... saya ingatkan abang staf kat sini... baju sama warna".

Aduh silap pakai baju da hari ni. Sama la pulak baju saya dengan staf kat IKEA ni. Lain kali tak boleh pakai warna kuning lagilah kalau ke IKEA. Aduh...nasib nasib. Nak membeli pun tak tenang.

Friday 23 January 2009

Makin Berisi Makin Tunduk

Teringat semasa menuntut di UPM dahulu. Saya ditempatkan di Kolej Kediaman Keempat (kini ditukar ke Kolej Canselor). Pada awalnya kolej ini dikenali sebagai Kolej Jelapang kerana keempat-empat blok diberi nama sempena nama padi iaitu Blok Murni, Mahsuri, Masria dan Malinja. Saya di Blok Murni.

Banyak cerita suka dan duka sepanjang saya mendiami kolej ini. Namun saya menganggap semua pengalaman yang saya alami sepanjang mendiami Kolej Jelapang sebagai asam garam kehidupan yang paling menarik dalam lipatan kehidupan saya. Saya tidak akan melupakan semuanya.

Warga kolej ini sering diingatkan agar mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk! Itu yang sering berkumandang di telinga kami sejak minggu orientasi lagi. Sehinggalah peribahasa ini menjadi cukup sinonim dengan kami semua warga kolej. Saya rasakan itulah di antara pesan orang tua dulu dulu yang masih lagi relevan untuk digunapakai oleh generasi masa kini. Peribahasa tersebut kemudiannya disambung pula dengan menasihatkan kita supaya janganlah ikut resmi lalang, makin tinggi makin tiada berisi. Ditiup ke kanan ia ke kanan, di tiup ke kiri ia ke kiri. Bila dah panjang hanya dipotong dijadikan makanan haiwan ternakan sahaja. Padi pula sudah tentu kita semua sedia maklum gunanya.

Harap-harap janganlah di antara kita yang mengikut resmi lalang. Lagi tinggi pangkat dan ilmu lagi mendabik dada, bongkak dan sombong. Ingatlah... takkan ke mana pangkat (ilmu) tu kalau tak digunakan dengan cara yang betul.

Semoga surah Al-Asr ini boleh kita jadikan sebagai prinsip hidup kita. “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran .”

Tuesday 20 January 2009

RECCERS II 1997


Ya inilah gambar kenangan RECCERS II yang diabadikan di hadapan Perpustakaan UPM. Vest hijau yang dipakai oleh setiap ahli kelas ini begitu dicemburui oleh rakan-rakan lain samada di fakulti mahupun di kolej kediaman. Vest ini sering kami pakai bagi membuktikan kesepakatan kami sebagai ahli RECCERS II. Kini RECCERS II telah menjangkau lebih dari 10 tahun. Mungkin suatu hari nanti kami akan dapat bersama-sama berkumpul semula bagi mengimbau kenangan semasa di UPM. Hidup RECCERS II!

Monday 19 January 2009

Setia Sang Ibu

Dia masih setia di situ. Sejak awal pagi tadi anaknya masih belum mahu bangun-bangun lagi. Dia dah puas menolak-nolak badan anaknya tetapi tiada respon. Walaupun dia berulangkali menjerit di telinga anaknya tetapi tetap tiada tanda anaknya mahu bangun. Matahari semakin meninggi tetapi anaknya masih tidak bangun-bangun. Sehingga bila dia akan setia menunggu dia sendiri pun tidak tahu.

Begitulah peristiwa yang dapat saya saksikan di awal pagi hujung minggu yang lalu. Seekor anjing dewasa (mungkin ibu) berada di sisi seekor anak anjing (mungkin anaknya) di tengah jalan di pinggir bandar Shah Alam. Anak anjing tersebut terbaring di tengah jalan dan tidak bergerak manakala si dewasa menolak-nolak anak anjing tersebut dengan mulutnya. Saya jangkakan mungkin ianya untuk mengejutkan anak anjing yang sedang 'tidur' tadi.

Setelah beberapa kali saya melalui jalan tadi di pagi yang sama, namun saya masih dapat melihat anjing yang sama masih tetap berada di situ. Maka saya membuat kesimpulan bahawa Allah telah menunjukkan kebesaranNYA kepada saya dan rakan-rakan yang melalui jalan tersebut. Naluri keibuan anjing dewasa itu sukar dicari galang gantinya. Anjing dewasa tersebut sanggup menunggu 'anaknya' yang masih belum bangun-bangun. Mungkin dia terlalu sayangkan anaknya. Kalau tak tentu dah lama dia tinggalkan sahaja anak anjing yang 'degil' dan tak mahu bangun-bangun itu.

Moral cerita di atas tentu para penjengok sekalian telah sedia maklum. Kita boleh mengaitkannya dengan kejadian-kejadian yang berlaku di negara kita dan juga nun jauh di Gaza. Sedangkan haiwan sayang menyayangi, inikan pula kita yang dikurniakan akal untuk berfikir.

Nak Ke Tak Nak

Ini merupakan isu lapuk. Tapi isu yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Sanggupkah kita memboikot produk Yahudi dan Amerika Syarikat? Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita semua masyarakat tidak kira apa jua agama sepakat untuk memboikot produk mereka. Yahudi yang sudah semestinya bersama sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat sudah lebih dari melampau. PBB langsung tidak dihormati. Seruan masyarakat dunia melalui usaha memprotes melalui demonstrasi dan perarakan jalanan gagal menghentikan usaha penyembelihan masyarakat di Gaza. Saban hari kita terus dipertontonkan dengan wajah-wajah ngeri anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa pengeboman membuta tuli askar Zionis. Seperti biasa apa yang mampu umat Islam lakukan hanyalah merintih dan menangis ketika satu per satu babak menyayat hati muncul di kaca-kaca televisyen dan di dada-dada akhbar.

Sudah ribuan nyawa masyarakat Palestin yang tidak berdosa jatuh ke tangan perosak keamanan dunia ini. Maka mulai saat ini kita cubalah sebaik mungkin untuk mengurangkan atau menghentikan terus produk penggunaan dari dua negara tersebut. Semoga dengan usaha kecil kita boleh melumpuhkan ekonomi negara penjenayah tersebut.

Semalam saya sebuah pasaraya perabut terkemuka di Bandar Utama. Saya masih menyaksikan terlalu ramai masyarakat kita yang masih tidak peka dengan isu ini. Mereka masih bangga makan dan minum di sebuah restoran segera yang sememangnya semua orang tahu asal usulnya. Kenapa ini terjadi? Sudah pastilah kerana kita terlalu jauh untuk merasai penderitaan masyarakat di Palestin. Jadi mulai sekarang sekali lagi saya menyeru agar rakan-rakan blogawan semua beralih ke produk tempatan. Kerajaan juga perlu terus mempromosikan alternatif kepada produk-produk yang nak kita boikot ini. Baru saya rasa kesannya akan lebih menjadi. Media cetak dan elektronik pula janganlah hanya menunjukkan foto-foto dan berita sedih dari Gaza hanya untuk melariskan akhbar mereka. Mereka perlu lebih tegas dan sepakat memboikot iklan-iklan yang sememangnya telah sedia maklum menyumbang ke arah peningkatan ekonomi negara Uncle Sam dan Zionis ini.

Sedarilah wahai rakan-rakan blogawan bahawa cabaran terbesar umat kini adalah keperluan untuk kita untuk bersatu dan bersepakat bagi menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang senantiasa mencari jalan untuk menghancur dan membinasakan kita. Selagi kesatuan umat tidak mampu dicapai selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah akan ditangguhkan.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat ke-11: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan yang berlaku dalam diri mereka sendiri.

Wednesday 14 January 2009

Dia Berjaya

Di awal semester lepas dia datang ke pejabat saya. Diminta saya membantu menyusun semula pelan pengajiannya yang dah berterabur dek kerana asyik mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dan gagal di dalam subjek tertentu. Saya tengok keputusan dia. Keputusan dia memang kurang memuaskan. Saya bertanya kenapa dia gagal menyinar di semester-semester sebelumnya. Dia tunduk dan seterusnya bersuara, "Saya tak salahkan orang lain. Diri saya sendiri yang patut dipersalahkan. Saya tak pandai membahagikan masa di antara sukan dan belajar. Saya banyak main". Saya tanya samada dia gembira dengan keputusan yang dia perolehi di dalam peperiksaan sebelumnya. Saya pasti penjengok-penjengok sekalian pun boleh menjangkakan jawapannya. Sudah tentulah dia tak puashati.

Maka penyelesaiannya mudah sahaja. Saya katakan pada pelajar tersebut bahawa saya boleh menyusun semula pelan pengajiannya. Saya boleh membantu menyusun jadualnya. Saya boleh membantu memberi kata-kata semangat. Namun pokok pangkalnya dirinya sendiri juga yang perlu berusaha untuk mendapat keputusan yang terbaik. Dia sendiri yang perlu berubah. Saya ceritakan bagaimana mudahnya untuk mendapat keputusan cemerlang di universiti berbanding semasa di sekolah dahulu terutama di peringkat SPM. Semasa menduduki peperiksaan SPM, guru hanya mengajar tetapi penyemak transkrip jawapannya pula tidak kita ketahui sesiapa. Manakala di universiti pula kita tahu siapa penilai kita. Kita tahu siapa pemberi markah untuk kerja kursus kita dan seterusnya penyemak transkrip jawapan Peperiksaan Akhir. Maka bertemulah pensyarah berkenaan. Jadikanlah pensyarah sebagai rakan bukan musuh.

Sebelum keluar dari bilik saya, dia berjanji untuk belajar bersunggguh-sungguh pada semester tersebut dan mendapat keputusan yang akan membolehkan dia menyambung pengajian di peringkat seterusnya. Saya katakan pada dia bahawa tiada yang mustahil. Yang penting berusaha, berdoa dan bertawakal.

Semester ini di awal semester, dia sekali lagi berkunjung ke pejabat saya. Dia tunjukkan keputusan dia pada semester lepas. Dia mendapat keputusan yang cemerlang. Banyak keputusan A yang dia kumpulkan untuk semester lepas. Dia gembira. Saya bangga. Dia dah membuktikan bahawa tiada yang mustahil. Yang penting keinginan untuk berjaya. Di semester ini dia akan mengambil subjek yang masih tinggal berdasarkan kepada pelan yang saya atur dan dipersetujui olehnya pada semester lepas. Saya doakan dia terus berjaya dan dapat menyambung pengajiannya ke peringkat yang seterusnya.

Thursday 8 January 2009

Hancur Hancur Regim Zionis Laknatullah!

Regim Yahudi laknatullah semakin menganas. Semenjak operasi ketenteraan regim Zionis itu dilancarkan 27 Disember lalu, kita dapat menyaksikan samada di kaca televisyen melalui berita dan di internet bagaimana sekolah-sekolah, masjid dan kawasan awam dibom. Kematian di pihak rakyat Palestin kini telah meningkat ke angka 600 orang berbanding hanya 10 askar Israel yang terbunuh akibat asakan serangan dari pihak Brigade Qassam , sayap ketenteraan Hamas dua malam lepas.

Semalam akhbar utama tanahair memaparkan seorang bapa menangisi kematian tiga orang anaknya. Hari ini pula kita dapat melihat foto kanak-kanak yang mati akibat tertimbus di bawah bangunan di muka hadapan akhbar akibat kezaliman Yahudi. Foto-foto yang yang terpampang di media cetak dan media elektronik sejak 11 hari lepas sudah cukup untuk menceritakan penderitaan rakyat Palestin. Setiap hati insan yang menyaksikan foto-foto sebegini sewajarnya merasa simpati yang amat sangat. Sesungguhnhnya, orang awam Palestin yang tidak berdosa ini telah menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman Yahudi.

Kita sewajarnyalah bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah subhanahu wata'ala sebuah negara yang aman damai. Kita dapat tidur dengan nyenyak sepanjang malam sedangkan saudara-saudara kita yang kini berada di Gaza terpaksa hidup di dalam ketakutan. Sukar untuk kita bayangkan bagaimana mereka menghadapi waktu malam yang amat mengerunkan. Sudah tentulah mereka tidak dapat tidur nyenyak dek ledakan demi ledakan bom bom Regim Zionis laknatullah dan cuaca sejuk yang mencengkam. Saya sangat-sangat bersimpati dengan nasib mereka ini!

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)[Oooo I See] sememangnya telah kita sedia maklum tiada taringnya. Selain mengadakan persidangan dan mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan Regim Yahudi, tiada apa yang kita boleh harapkan daripada pertubuhan terbesar umat Islam ini. Kita juga tidak boleh harapkan dengan Liga Arab yang kong kali kong sahaja dengan OIC. Mesir yang sememangnya mengiktiraf kewujudan negara haram Israel langsung tidak boleh diharapkan untuk membantu umat Palestin. Sempadannya sendiri (Mesir-Gaza)sejak awal-awal lagi telah ditutup daripada dimasuki oleh rakyat Palestin. Maka bantuan kemanusiaan dari PBB juga turut tersekat sehingga berlakunya krisis kemanusiaan paling teruk di dalam sejarah perabadan manusia.

Bolehkah PBB pula kita harapkan untuk mengembalikan hak rakyat Palestin. Saya rasa sudah tentu ianya sukar. Kenapa agaknya? Sudah tentulah PBB tidak akan dapat berpendirian tegas selagi ianya terus bersandiwara dan berada di bawah telunjuk AS. Kita tunggu sahajalah sehingga kucing bertanduk [mustahil!].

Kalau dahulu sudah tentulah kita bersyukur kerana Hamas dan Fatah berjuang bersama untuk mempertahankan bumi Palestin. Tetapi sedihnya kini apabila keduanya bermusuh sesama sendiri.

Nak boikot barangan Yahudi dan AS. Itu hanyalah 'hangat-hangat taik ayam' atau 'semangat #%@#'. Sebab itulah kita masih dapat melihat banyak produk-produk dan perkhidmatan dari pelbagai jenama dan syarikat AS masih kelihatan di negara-negara majoriti umat Islam.

Apa yang mampu saya dan penjengok-penjengok sekalian lakukan kini hanyalah berdoa.

Ya Allah Ya Tuhan ku, malam ini hamba-Mu ini terkenangkan saudara seagamaku dan mereka yang berada nun jauh di bumi Gaza. Ya Allah, sesungguhnya aku amat bersimpati dengan mereka. Sekiranya mereka ada melakukan dosa dan aniaya, Maka aku memohon agar Engkau ampunilah mereka. Sesungguhnya saudaraku kini lebih malang daripada kami di sini. Tanah air yang mereka sayangi telah dirampas oleh Regim Zionis yang kejam. Derita mereka selama berdekad dekad tiada siapa pun yang peduli. Ya Allah Ya Tuhan ku... Bantulah saudara-saudara ku itu berjuang dan mengangkat senjata dengan ikhlas kerana-Mu. Sekiranya mereka menembak musuh mereka itu maka Engkau jadikanlah tembakan saudara-saudaraku itu tepat mengenai sasaran dan membawa kemusnahan yang besar kepada musuh mereka yang juga musuh umat Islam. Engkau jadikanlah kekeliruan dan kebingungan berlaku di kalangan musuh rakyat Palestin ini. Ya Allah Ya Tuhan ku... Engkau kurniakanlah keberkatan kepada saudara-saudara ku yang berjuang dan mengangkat senjata. Turunkanlah bantuan dari langit-Mu agar mereka yang berkenaan beroleh kemenangan dan kejayaan. Amin Ya Rabbal 'alamin.

Tuesday 6 January 2009

Kereta I Power

Saya rasa penjengok-penjengok sekalian juga pernah melihat situasi yang saya saksikan ini. Semalam ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Seksyen 19, saya dapat mendengar bunyi siren ambulan dari jauh. Sudah tentulah ada kecemasan. Takkanlah pemandu ambulan hanya nak test bunyi pulak kan.

Yang kurang menariknya pula, saya turut dapat menyaksikan sebuah kereta Kenari warna merah memecut dengan laju sekali di hadapan ambulan yang saya dapat dengar tadi. Saya turut mendengar dengan jelas bagaimana pemandu ambulan tersebut membunyikan hon ambulannya 'merayu' pemandu kereta Kenari merah di hadapannya supaya memberi laluan kepada ambulannya. Namun sehingga kesudahannya pemandu Kenari tadi tetap tidak berganjak tetapi terus memecut keretanya.

Inilah sebahagian daripada kisah benar yang kisah boleh lihat di sekitar kehidupan kita. Masih ada insan yang tidak prihatin dan boleh kita katakan sebagai tiada kesedaran sivik. Katakanlah orang yang dibawa atau yang hendak diambil oleh ambulan tadi adalah keluarganya tentu dia akan kecewa kan. Mungkin orang sebegini tidak berfikir seperti kita berfikir. Sama-samalah kita doakan pemandu Kenari merah tadi beroleh hidayahnya. Kita pohon kepada Allah juga agar kita dijauhkan daripada sikap sebegini.

Terkebelakang La Pulak

Alahai pengalaman kurang menarik la pulak hari ini. Kamilia gagal duduk di depan dalam kelasnya.Berulangkali saya dan Liza dah katakan pada Kamilia supaya duduk paling hadapan di dalam kelas, baru boleh tumpu perhatian. Rupa-rupanya saya dah salah strategi.

Kami sampai ke sekolah tepat jam 7.30 pagi. Sesak teruk di sekitar Seksyen 19 kerana terdapat 3 sekolah di sekitar kawasan itu. Perhimpunan pagi baru nak dimulakan, jadi kami berdua pun kelam kabut jugalah nak mencari barisan kelas Kamilia. Mana taknya ada lebih kurang 2000 orang murid pagi tadi. Tak masuk lagi dengan ibubapa dan penjaga yang turut memeriahkan suasana pagi tadi. Macam-macam gelagat yang boleh dilihat pagi. Kalau menangis dan pegang kaki makbapak tu kira adat la, hari pertama. Alhamdulillah Kamilia OK.

Saya tawarkan diri untuk memegang beg sekolah Kamilia sementara mendengar ucapan pagi yang disampaikan oleh guru bertugas dan Guru Besar. Dia tak mau. Nak bawa sendiri katanya. OK saya cuma takut dia yang tak larat nak pikul beg. Saya juga perhatikan kebanyakan budak-budak lain tak pikul beg. Saya fikir mungkin mak bapak mereka tolong bawakan. Bagus juga Kamilia nak berdikari,fikir saya.

Tiba masa untuk masuk ke kelas masig-masing. Saya terus berbisik pada Kamilia supaya dia tak lupa duduk paling hadapan di dalam kelas. Sampai saja di kelas terkejut juga saya dibuatnya. Semua tempat di hadapan dah dipenuhi dengan beg-beg. Rupa-rupanya ada makbapak yang dah tempah tempat untuk anak mereka. Ketika orang lain sibuk beratur, ada makbapak yang dah menyelinap masuk ke kelas dan letakkan beg anak mereka di tempat paling hadapan. Kamilia tercari-cari lagi tempat di depan. Saya cuma perhatikan dari luar sahaja. Apabila dia tengok semua tempat dah ada penghuninya, dia terus berdiri depan meja guru. Mungkin pohon simpati untuk ditempatkan di tempat paling hadapan. namun guru kelasnya buat tak layan sahaja. Jadi saya pun masuk ikut pintu belakang [tanpa kebenaran] dan panggil Kamilia untuk duduk di tempat yang paling belakang yang masih kosong. Alahai salah strategi la pulak. Maklumlah takda pengalaman. Jadi lepas ni, saya perlu rancang lebih banyak strategi untuk Kamilia dan seterusnya untuk Kamil dan Kaisara.