Selawat dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW

Monday 30 June 2008

Jiran Baru

Esok kemungkinan besar saya akan mendapat jiran baru. Anak-anak teruna rasa-rasanya. Petang tadi saya mendengar mereka sedang berbincang tentang harga sewa rumah.

Saya sangat bersyukur kerana doa saya diperkenankan oleh Allah swt. Moga-moga jiran kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Bukan niat saya untuk memburukkan jiran sebelumnya, tetapi hanya sebagai pengajaran.

Jiran sebelah rumah saya yang sebelum ini anak-anak dara. Daring-daring belaka. Pakaian...ermm berani habis. Saya pula naik malu bila mereka berpakaian. Siap bawa 'jantan' masuk rumah. Itulah realitinya (Ya Allah ampunkanlah dosa hamba mu ini).

Ada juga rakan-rakan yang berkunjung ke rumah saya bertanyakan tentang gelagat anak-anak dara ini. "Kenapa tidak ditegur?, Rumah kelamin ka sebelah tu? Student UiTM ka?". Itu antara soalan-soalan wajib rakan-rakan saya. Saya terdiam.

Pernah sehari tu, awal pagi hari minggu, saya dah tak tahan lagi. Lalu saya menegur salah seorang daripada anak dara sebelah rumah tu, "Adik... adik ni student UiTM ka?". Budak perempuan itu hanya mengangguk. "Adik saya rasa tak eloklah bawak masuk orang lelaki dalam rumah...tambah pula malam-malam", sambung saya. Budak itu hanya tersenyum dan masuk ke dalam rumah.

Itulah kali terakhir jiran kami senyum kepada kami sekeluarga.

Saya teringat sebuah hadis yang berbunyi: "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan sesiapa yang tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman."

Jadi saya rasa menasihati dulu adalah jalan yang terbaik yang mampu saya lakukan.

Saya sering mendoakan agar Allah menjauhi kawasan perumahan kami daripada kemungkaran.

Makan Besar

Semalam kami sekeluarga bersama-sama beberapa orang alumni PERLU UiTM berkumpul di Kem Impian Rimba, Ulu Langat. Tujuan utamanya adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin alumni untuk membincangkan halatuju alumni PERLU. Program diadakan secara santai dan program makannya ditaja oleh PERLU Selangor.

Di sinilah saya berpeluang 'makan besar'. Malin & the gang telah berjaya membeli buah-buahan tempatan yang terdapat di gerai-gerai sekitar Batu 18. Jadi berpesta sakanlah kami semua. Buah durian yang memang menjadi kegemaran saya dan Kamilia memang antara yang dijamu. Burgh... alhamdulillah.

Cerita selanjutnya ada di blog Rembang Waktu

Friday 27 June 2008

Rayuan

Hari ini seharian saya menguruskan rayuan kemasukan calon-calon ke program Diploma Pengajian Sukan (SR113). Saya ke Bahagian Pengambilan Pelajar (BPP)untuk menghantar senarai nama calon yang berjaya dalam rayuan mereka ke SR113.

Sesampai di BPP saya tertarik dengan kenyataan yang dipamerkan di pintu hadapan pejabat tersebut. Kenyataan Ketua BPP tersebut berbunyi:

"INGIN TUKAR PROGRAM?
INGIN TUKAR KAMPUS?


... mungkin program/kampus yang ditawarkan tidak seperti diharapkan

NAMUN BERSYUKURLAH

... kerana berjaya ditawarkan melanjutkan pengajian di UiTM

TAHUKAH ANDA???
... puluhan ribu calon lagi masih belum mendapat tempat... dan mereka sedang beradu nasib, merayu dan menunggu kekosongan tempat pengajian. Berilah ruang kepada kami untuk memberi tumpuan dan keutamaan untuk menguruskan permohonan mereka terlebih dahulu!!!"

Jadi kepada yang telah mendapat tempat pengajian, bersyukurlah. Janganlah pula merayu-rayu untuk bertukar tempat atau program. Berilah peluang kepada orang lain pula. Apa salahnya merantau untuk menuntut ilmu.

Thursday 26 June 2008

Habis Madu Sepah Dibuang

"Mengaku sajalah, kamu yang potong rantai motor tu", cabar Dr Ghiz (bukan nama sebenar). "Betul doc, bukan saya yang potong rantai tu", ujar saya membela diri. " Habis, kalau bukan kamu siapa lagi... kenapa susah sangat nak mengaku. Kalau kamu anak saya dah lama saya tampar kamu. Dah buat, tak nak mengaku pula. Kalau ikut sayalah... kamulah orang pertama yang akan saya tendang dari kolej", Dr Ghiz mencabar.

Saya tetap tidak mengaku sehinggalah perbicaraan selesai. Memang saya tak buat. Buat apa saya nak jadi kambing hitam. Selepas perbicaraan selesai, saya nekad memohon borang dan terus disi untuk keluar kolej berkuatkuasa semester seterusnya.

Itulah pengalaman saya ketika menginap di Kolej Kediaman Keempat (KK-4) UPM ketika di tahun pertama ijazah sarjana muda. Saya telah dipanggil oleh pihak pentadbiran KK-4 kerana disyaki terlibat memotong rantai yang digunakan untuk mengunci kesemua motosikal yang diletakkan di kawasan koridor Blok Murni. Padahal pada malam sebelumnya senior saya, Mozeck yang meminjam motosikal saya. Beliau mengaku meletakkan motosikal saya di atas koridor blok Murni. Memang itu suatu kesalahan. Tapi bukan saya yang buat.

Saya sendiri pun tidak tahu yang motor saya telah dikunci rantaikan oleh pihak kolej. Ini kerana keesokan paginya, kuliah saya bermula jam 10 pagi. Hanya motosikal saya sebuah sahaja yang tinggal di koridor blok Murni. Tiada tanda-tanda motosikal saya telah dirantai.

Ketika ke Dewan Makan setelah pulang dari kuliah baru saya nampak notis yang menyenaraikan pemilik beberapa buah motosikal termasuklah no plet motor saya perlu berjumpa dengan Encik Mas (bukan nama sebenar), pengurus kolej. Selepas berjumpa Encik Mas barulah saya tahu bahawa saya dan beberapa orang senior lain telah dituduh memotong rantai yang telah digunakan untuk mengunci motosikal kami. Kami perlu mengadap Dr Ghiz (sekarang Professor) untuk perbicaraan.

Saya nekad keluar dari kolej. Jasa saya ketika bersama pasukan sofbol Kolej [kami juara 2 tahun berturut-turut ketika saya di tahun kedua matrikulasi dan tahun pertama ijazah sarjana muda] dan wakil Universiti dah tak ada nilainya lagi. Jasa sebagai jawatankuasa kolej untuk kebanyakan aktiviti dan acara di kolej juga sudah tidak dipandang lagi. Hanya kerana kesalahan yang bukan saya lakukan, saya telah dipandang jelik oleh pihak kolej. Mungkin kerana ketika itu senior pandai melobi maka saya seorang sahaja yang telah dipersalahkan.

Seminggu selepas itu loceng kebakaran di kolej berbunyi. Saya yang ketika itu sedang berehat di dalam bilik, terkejut lalu bingkas bangun dari katil. Ketika ingin keluar dari bilik, fellow atau resident staff tiba-tiba muncul di depan bilik saya. Sekali lagi saya terkejut. Encik Dan (bukan nama sebenar) bertanya, 'Kamu ka yang pecahkan cermin loceng kebakaran ni". Tergamam saya. "Bukan saya Encik Dan", kata saya cuba membela diri.

Keesokan harinya sekali lagi keluar pertuduhan, Hisyam Che Mat telah dituduh memecahkan loceng kebakaran. Anak yatim piatu ini telah di'busuk'kan sebanyak dua kali oleh pihak pentadbiran KK-4. Tiada tempat untuk saya mengadu. Saya tak 'kenal' sesiapa. Hanya pada Allah tempat saya mengadu agar dipermudahkan kehidupan dan dijauhi daripada penganiayaan.

Nota HiCMat: Honda EX5 - PCN67** dalam kenangan. Di manalah motosikal itu berada sekarang?

Tuesday 24 June 2008

I Got the OB Spirit

Kepada rakan-rakan yang pernah ke Outward Bound atau dikenali sebagai ex-bounders tentu tidak akan melupakan lirik lagu ini. Lagu semangat yang menghiburkan ketika kita di saat tercabar mental dan fizikal. Kursus selama 25 hari sudah semestinya sesuatu yang indah untuk dikenang.

Hayatilah lirik di bawah. Tentang Semangat Outward Bound

I got the OB spirit
up in my head, up in my head, up in my head
I got the OB spirit, up in my head
up in my head, today eh...eh

I got the OB spirit
deep in my heart, deep in my heart, deep in my heart
i got the OB spirit, deep in my heart
deep in my heart, today eh...eh

I got the OB spirit
down in my knees, down in my knees, down in my knees
i got the OB spirit, down in my knees
down in my knees, today eh...eh

I got the OB spirit
all over me, all over me, all over me
i got the OB spirit, all over me
all over me, today eh...eh

I got the OB spirit,
up in my head, deep in my heart, down in my knees,
i got the OB spirit, all over me
all over me, today eh...eh

Fakta Bukan Auta

Selepas saya memasukkan posting semalam. Beberapa orang bekas pelajar dan rakan-rakan yang dah lama tidak berhubung telah menghubungi saya. Mereka mula bertanya, "Kolej mana? Bila mula? Program apa?" dan macam-macam persoalan lagi.

Jadi nasihat saya kepada sesiapa yang berminat, pastikan anda benar-benar bersedia. Ini kerana anda akan menyampaikan ilmu berserta pengalaman kepada anak didik anda. Ilmu rekreasi tidak hanya terdapat di dalam bilik darjah. Bukan hanya daripada pembacaan sahaja. Ia merangkumi teori dan amali.

Selain daripada segulung ijazah, tak kira sarjana atau sarjana muda, anda perlu ada ilmu-ilmu dan pengalaman-pengalaman tambahan yang boleh menyokong ijazah anda. Dapatkan sijil Kursus Kepimpinan Rekreasi Tahap I, II dan III. Ikutilah kursus Bantu Mula, EAR dan CPR. Kalau mampu teruskan sehingga ke kursus Wilderness First Aid Responder. Untuk aktiviti air pula cubalah ikuti sekurang-kurangnya Kursus Kayak Star 1 & 2. Tidak lupa juga Kursus Penyelamat Kelemasan atau lebih dikenali sebagai Kursus Penyelamat Pingat Gangsa.

Kepada yang mampu dan mempunyai kelapangan masa pula cubalah menghadiri Standard Course selama 25 hari di Outward Bound School (OBS),Lumut. OBS menawarkan hutan dan laut sebagai bilik darjah. Anda akan merasai semangat berbeza setelah menamatkan kursus tersebut. Ia selaras dengan visi OBS, "Create situations and opportunities to learn, to share, and to help build people's potential towards a brighter tomorrow."

Banyak lagi kursus yang berkaitan dengan rekreasi luar yang boleh dihadiri dan diikuti oleh anda semua. Kursus Ikhtiar Hidup, Kursus Mendaki, Kursus Menyelamat Aras Tinggi, Kursus Selam Scuba, Kursus Paragliding dan macam-macam lagi. Rekreasi luar semakin berkembang, maka ilmu berkaitannya perlu diperkembangkan oleh penyampainya.

Oleh itu saya ingin berpesan, tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin. Ini kerana semakin banyak yang kita belajar sebenarnya semakin banyak yang kita tidak tahu. Jadi inilah masanya kita menjelajah untuk mencari ilmu.

Monday 23 June 2008

Peluang Kerjaya

Nampak gayanya tidak lama lagi akan bertambah lagilah peluang kerjaya kepada pencinta rekreasi luar. Peluang ini dibuka kepada sesiapa yang minat mengajar bidang yang berkaitan dengan rekreasi luar.

Selain daripada FSR, terdapat sebuah lagi kolej swasta, hakmilik Bumiputera telah berminat untuk mengembangkan ilmu rekreasi luar ini kepada warga Malaysia.

Hujung minggu lepas saya didatangi oleh seorang Pensyarah Kanan daripada sebuah kolej swasta yang terkenal di Malaysia. Beliau perlukan bantuan dan khidmat saya.

Saya telah dimaklumkan bahawa universiti tempat beliau bertugas ingin menawarkan bidang berkaitan rekreasi luar di peringkat Diploma dan Ijazah pertama.

Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk mengajar dan mengembangkan ilmu rekreasi di universiti, pastikan anda menyambung pengajian anda dalam bidang berkenaan.

Friday 20 June 2008

Lawatan

Sebentar tadi saya melayan kedatangan hampir 35 orang pelajar-pelajar dan 3 orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Alam 2, Bandar Seri Alam, Masai Johor ke UiTM. Mereka dari Kelab Sains Sukan sekolah tersebut. Tujuan lawatan mereka adalah untuk mengenali UiTM secara umumnya dan Fakulti Sains Sukan (FSR) secara khususnya.

Sesi taklimat yang awalnya dimulakan oleh saya seterusnya disambung oleh Encik Khairulzaman Hamin selaku Timbalan Dekan (sumber dan pelajar) FSR. Saya dapat melihat pelajar-pelajar dari sekolah ini sangat tertarik dengan program yang ditawarkan di FSR. Tidak lengkap kalau sesi taklimat ini tidak diselitkan dengan kata-kata perangsang kepada adik-adik ini.

Mereka sesungguhnya memerlukan bimbingan untuk memilih kerjaya di masa hadapan. Mereka masih kabur-kabur tentang masa depan mereka. Cuma ada beberapa orang sahaja yang berani mengatakan dengan yakin bahawa mereka ingin menjadi usahawan. Seorang ingin menjadi usahawan produk sabun ciptaannya dan seorang lagi usahawan tani atau lebih tepat lagi penternak lembu yang berjaya. Walaupun mereka berdua ditertawakan, namun saya yakin tidak mustahil kedua-dua pelajar yang berani tadi menjadi usahawan yang berjaya jikalau mereka terus berusaha demi mencapai impian mereka. Hanya masa yang akan menentukan.

Thursday 19 June 2008

Lagi lagi Blog

Saya dah 'gila' blog.

Asal ada masa sahaja akan saya promosikan kepada rakan-rakan saya supaya berblogging. "Jadilah blogger", ujar saya. Semua kawan-kawan saya mempunyai bidang kepakaran masing-masing, jadi sudah sepatutnya, mereka mengguna blog sebagai wadah berbicara. Mudahkan. Segala pendapat dan pandangan, rencana yang menyentuh sesuatu topik, berita terkini, foto sesuatu peristiwa, pengalaman dan idea boleh dikongsi dengan penjengok-penjengok. Blog juga boleh dijadikan diari catatan perjalanan kehidupan.

Pagi tadi sebelum mesyuarat bermula saya masih sempat mempromosikan blog dan alam blogging. Seterusnya ahli-ahli mesyuarat meminta saya membuat 'kursus' singkat langkah-langkah membina blog. Tidak saya sangka rupanya masih ada yang tidak tahu, blog ini percuma. Tidak perlu dibayar. Cara membinanya pula mudah. Maka pagi tadi terhasillah beberapa blog baru di FSR.

Sebenarnya blogger memang beruntung kerana mereka bebas menulis apa sahaja gaya bahasa yang mereka inginkan. Jika blogger seorang yang berkarisma, maka dalam blognya akan terpancarlah karisma beliau. Kalau seorang pelawak, maka penulisannya sudah tentulah dapat menggelikan hati penjengok-penjengoknya.

Namun cabaran kepada blogger sudah semestinya ada. Bukan senang hendak terus mengekalkan blog agar sentiasa padat dengan kandungan bermanfaat untuk penjengok-penjengok. Mungkin ramai yang tidak tahu, dalam sehari sebanyak 1.09 juta blog telah dibina dan kemudiannya ditinggalkan terus oleh blogger. Langkah mencuba sesuatu yang baru seperti berblogging ini memanglah baik. Kalau amalan baik ini dibuat secara berterusan maka lebihlah manfaatnya.

Jadi kepada yang belum lagi membina blog sendiri, apa tunggu lagi.

Wednesday 18 June 2008

Sports Science Workshop 2008

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR)akan mengadakan International Sports Science Research Workshop 2008 pada 3 dan 4 Julai 2008 yang akan datang. Bengkel tersebut akan diadakan di INTEKMA Resort Shah Alam.

Dengan segala hormatnya, saya bagi pihak FSR ingin menjemput sekalian penjengok-penjengok yang berminat untuk menyertai bengkel tersebut. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM150 sahaja.


Sekian, terima kasih.

Hisyam Che Mat

Tuesday 17 June 2008

UPM Sejati

Semalam, sepetang saya di Serdang. Hasrat nak jumpa dengan sifu-sifu di Fakulti Perhutanan. Sebelum ke sana saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mereka. Tetapi tiada balasan. Saya menjangkakan mereka sibuk. Jadi, tanpa salam saya terjah saja. Kecewa. Rupanya semua sedang bercuti.

Dah terlajak ke sana terus saya mencari Kudult, rakan lama yang kini bekerja dengan Azamil [rakan sekuliah yang kini sudah menjadi usahawan berjaya di dalam bidang Park Planning]. Kami berbual panjang. Sembang kedai kopi kami juga turut disertai oleh Boot.

Boot pernah menjadi Presiden Kelab Outward Bounders (KOB)UPM. Kelab 'elit' yang saya dan Kudult menjadi ahlinya suatu masa dahulu semasa di UPM. Boot sememangnya alumni UPM sejati. Jatuh bangunnya semuanya di UPM. Kami pernah bersama-sama belajar di peringkat Matrikulasi Sains UPM. Boot gagal dan diberhentikan semasa di tahun pertama lagi. Mungkin kejutan budaya. Kemudian Boot memohon untuk menyambung pengajian di peringkat diploma di dalam bidang Pertanian. Boot diterima masuk. Dia cemerlang pada tahun pertama. Boot tak perlu menamatkan pengajian di peringkat diploma beliau yang perlu mengambil masa 3 tahun. Pihak universiti seterusnya menawarkan Boot untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dalam bidang Hortikultur tanpa perlu menamatkan pengajian di peringkat diploma. Di peringkat ijazah pertama Boot gagal di tahun akhir. Semuanya berpunca apabila beliau diserang demam Malaria. Beliau tidak dapat fokus dalam pelajaran. Boot sekali lagi gagal dan diberhentikan.

Gagal dua kali bukan bererti gagal selamanya. Boot kuatkan semangat. Boot tidak kecewa dan rendah diri. Beliau merayu untuk kembali belajar semula di peringkat diploma dalam bidang Pertanian. Kali ini Boot menamatkan pengajian dan lulus dengan cemerlang. Beliau seterusnya berjaya ke program ijazah pertama dalam bidang Pembangunan Manusia di UPM. Boot sekali lagi berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Hampir tiga tahun saya tidak bertemu Boot. Petang semalam Boot memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah lanjutan (Master) beliau dalam bidang Komunikasi Korporat dari UPM. Boot akan berkonvokesyen pada bulan Ogos nanti. Tahniah Boot.

Kecekalan Boot di dalam mengharungi kepayahan hidup di kampus UPM akhirnya terbayar jua. Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya. Daripada kegagalan itu jualah sebenarnya kita akan berinovasi agar kita lebih pintar di dalam memilih laluan kejayaan.

Boot kini bekerja sendiri sebagai kontraktor. Beliau bercita-cita menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti. Sama-samalah kita doakan kejayaan beliau. Insyaallah.

Kisah sahabat saya ini boleh dijadikan teladan kepada kita semua. Saya telah memohon izin daripada empunya diri sebelum kisah hidupnya ini dipaparkan. Alhamdulillah, beliau bersetuju. Sama-samalah kita renung-renungkan dengan mata hati.

Monday 16 June 2008

Pupus Perlu Pengganti

Hari ini Firdaus akan memulakan tugas sebagai pensyarah di Institut Teknologi Darul Takzim (INSTEDT). Azmi telah memulakan tugas sebagai pengurus di salah sebuah pusat latihan di Sungai Merab, Bangi bermula minggu lepas. Mus pula dah mula bekerja di salah sebuah konsultan latihan di Selangor.


Mereka yang saya sebutkan nama tadi merupakan antara fasilitator dari Persatuan Pembimbing Rekreasi Luar (PERLU) UiTM yang aktif membantu saya di sepanjang pengajian mereka di UiTM. Kesemua mereka baru sahaja mendapat keputusan akhir pengajian mereka minggu lepas. Kesemuanya telah TAMAT pengajian. Alhamdulillah kesemuanya telah mendapat pekerjaan.

Kini PERLU memerlukan pengganti seperti mereka bertiga yang komited dalam menyumbang masa dan tenaga untuk mengembangkan ilmu rekreasi kepada generasi baru di UiTM umumya dan FSR khususnya. Firdaus, Azmi dan Mus telah menjadi alumni PERLU. Idea mereka pasti turut ditagih oleh adik-adik junior.

Saya juga tidak melupakan jasa para alumni yang telah lama bergraduat tetapi masih lagi tidak jemu-jemu membantu saya menjayakan perkhemahan dan amali-amali yang diadakan hampir setiap minggu di sepanjang semester pengajian. Sesungguhnya ilmu yang bermanafaat sekiranya dikongsi bersama-sama tidak akan luput sebaliknya akan terus berkembang.

Semester baru akan bermula tidak beberapa lama lagi. Adakah saya akan punya pembantu yang sesetia alumni yang lalu? Ilmu telah ditaburkan. Saya hanya mampu berdoa.

Friday 13 June 2008

Keputusannya...

Akhirnya surprise Kamilia terjawab juga hari ini.


Pagi tadi Liza telah membuat panggilan untuk mendapatkan pengesahan tentang keputusan peperiksaan Kamilia. Liza telah dimaklumkan secara verbal oleh pegawai terbabit bahawa permohonan Kamilia telah berjaya. Kamilia telah lulus peperiksaan kelayakan ke Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 Shah Alam. Kamilia diterima masuk. Alhamdulillah.

Hanya kepada Allah saya bersyukur dan sujud kepada-Nya sebagai tanda syukur. Terima kasih juga di atas doa penjengok-penjengok sekalian.

Thursday 12 June 2008

Pesan Abah

"Syam, belajaq [belajar] rajin-rajin, kalau abah dah takdak nanti...abah takdak apa harta nak tinggaikan[tinggalkan] kat hang. Cuma pelajaran saja boleh tolong hang". Itu antara pesan abah yang saya masih ingat.

Abah kerja dengan gomen. Abah pernah bawa saya ke tempat kerja dia. Tepi jalan saja 'pejabat' abah. Kerja potong rumput. "Nak kerja macam abah ka", ringkas soalan abah. Saya hanya mampu menggeleng kepala.

Abah kebiasaannya berulang-alik naik basikal ke tempat kerja sebelum Cik Dan sedekahkan motosikal.

Abah memang kuat semangat. Abah banyak berkorban. Abah juga kuat bekerja. Siang malam cari duit untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

Saya menghabiskan zaman kanak-kanak di rumah atuk sebelah abah. Kami sekeluarga menumpang tinggal di rumah pusaka peninggalan Tok Leha.

Awal-awal pagi sebelum abah ke 'pejabat' dia akan keluar mengadap pokok getah. Kebun getah pusaka Tok Leha. Saya turut serta. Tolong abah. Nak masuk tengahari, tugas mak pula kutip susu getah yang dah beku buat getah sekerap. Abah balik tengahari jemur.

Bila abah dapat tawaran duduk di rumah pangsa (flat) kos rendah, kami semua suka hati. Bersyukur. Tidaklah kami menumpang lagi. Berubah angin ke pekan pula. Suasana baru. Kawan-kawan pun baru.

Dulu di kampung keliling rumah ada tanah. Rumah baru sesak. Tak ada laman. Semua berkongsi. Rumah bertingkat macam rumah merpati.

Abah kena kuat bekerja. Cari pendapatan sampingan. Gaji tetap RM400 sebulan perlu ditambah.

Mula-mula abah tolong Pakcik Azmi, jiran dekat rumah berniaga jagung rebus lepas waktu kerja. Abah dapat upah. Saya pun tolong.

Bila dah maju Pakcik Azmi tukar ke bisnes barangan runcit pula. Habis semua pasar malam dan pasar tani sekitar Kulim dia bawa barang-barang runcit untuk dijual. Abah tolong. Dapat upah. Saya cuma bantu.

Pernah sekali tu abah naik angin. Menyinga. Abah malu. Saya tumpahkan minyak masak masa isi dalam botol pelanggan di gerai Pakcik Azmi. Bukannya apa, saya jadi seronok bila kawan-kawan sekelas menegur saya semasa membantu abah meniaga di pasar tani. "Oii Che Mat [nama timangan saya di sekolah] hang bisnes noo...", kata salah seorang kawan sekelas saya. Seterusnya saya leka berbual kosong dengan kawan-kawan dan terlupa paip tangki minyak masak yang tengah dibuka untuk diisi ke botol pelanggan. Habis melimpah minyak masak.

Saya panik. Abah pun saya tengok panik. Muka dia pun dah lain macam. Saya dapat 'hasilnya' di situ juga. Pakcik Azmi cuba mengawal keadaan. Dia berkata, "Takpa takpa... budak-budak, jangan marah dia". Saya rasa itu cuma di mulut, di dalam hanya tuhan yang tahu. Dia dah rugi banyak. Kawan-kawan yang tadinya ada dah hilang entah ke mana.

Abah bagi duit untuk beli tiket bas. Abah halau saya balik rumah. Selepas daripada kejadian tersebut, abah dah tak bagi saya ikut dia tolong Pakcik Azmi meniaga.

Abah dah cukup modal. Dia buka warung jual ais kacang [ABC] dan rojak buah. Laku. Saya jadi tukang pusing mesin ais kacang. Abah tak mampu beli mesin elektrik.

Kali ini saya tak nak buat silap lagi. Abah happy tengok perubahan saya.

Mak pula jenis tak boleh duduk diam. Awal-awal pagi lagi dah bangun. Goreng cucur udang dan cucur karia yang bahannya dah disiapkan malam sebelumnya. Semua kuih tersebut diletakkan di warung Tok Nah dan Mak Tam. Mak pun cari pendapatan sampingan. Saya tolong hantarkan ke warung-warung tersebut sebelum ke sekolah.
Mak juga buat kerepek ubi kayu. Abah tanam pokok ubi kayu belakang rumah flat. Tanah sekangkang kera. Balik tengahari saya hantar kerepek ubi kayu mak kat warung laksa Pak Desa. Laku dan selalunya habis. Rezeki.

Semuanya saya lakukan kerana nak tolong mak dan abah. Tak pandai dan terfikir pun nak dapatkan komisen atau upah daripada mereka.

Sekarang mak dan abah dah 'tak ada' lagi. Cucu-cucu mak dan abah mungkin tak dapat merasa buat apa yang anak mak dan abah dah buat dulu. Semuanya kerana anak abah ini sentiasa ingat pesan abah.

Semoga Allah subhanahuwataala mencucuri Rahmat ke atas roh mak dan abah. Al-Fatihah untuk kedua-duanya dan seluruh umat Islam yang terlebih dahulu meninggalkan kita semua. Kita juga akan mengikuti jejak langkah mereka suatu hari nanti.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa yang menjengok blog ini.

Wednesday 11 June 2008

Budaya Subsidi

Sebentar tadi saya ada berbincang dengan dua orang pelajar dan bekas pelajar saya tentang projek selam skuba. Kata salah seorang daripada pelajar terbabit, "Sekarang ini fakulti tidak mahu menanggung kos untuk projek persatuan. Ini kerana persatuan didaftarkan di peringkat Hal Ehwal Pelajar dan bukannya fakulti". Jawapan saya mudah, "Kalau macam tu hangpa buatla kerja sambilan. Pergi ke sekolah-sekolah kemudian maklumkan kamu dari UiTM dan boleh conduct kem untuk budak-budak sekolah. Banyak duit hangpa boleh dapat."

Sengaja saya lontarkan idea sebegini. Rasa saya ini bukan kali pertama. Tapi masih tak ada tindakan. Saya agak kecewa. Mereka nak duit mudah. Memangla mereka ada Tabung Amanah Pelajar. Tapi tabung tersebut tidaklah semudah yang disangka untuk dikeluarkan peruntukannya. Amanah la katakan.

Teringat saya masa belajar di UPM dulu. Untuk satu-satu projek, kami cuma diberikan antara RM100.00 hingga RM400.00 sahaja oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Yang lain kena cari sendiri. Jadi terpaksalah saya dan rakan-rakan dalam Kelab Outward Bounders mengeluarkan duit sendiri untuk menambahkan jumlah yang tidak mencukupi. Atas dasar minat yang mendalam dengan aktiviti rekreasi saya sanggup untuk membayar jumlah yang kurang. Saya dan rakan-rakan di UPM dulu sanggup membayar antara RM150.00 hingga RM200.00 untuk Kursus Jurulatih Rekreasi Tahap I dan II. Aktiviti lain pun sama. Pergi sebagai instuktor pun kena bayar.

Di peringkat fakulti pula kami langsung tidak mendapat peruntukan daripada pengurusan fakulti. Bas sahaja disediakan untuk sesuatu perjalanan. Jadi terpaksalah saya dan rakan-rakan sekuliah [RECCERS II] seramai 20 orang buat kerja sambilan untuk menampung kerja lapangan kami yang boleh dikatakan diadakan setiap hujung minggu. Seingat saya tidak seorangpun rakan sekelas pernah saya dengar mengeluh. Semuanya enjoy. Ketika Persidangan Agung UMNO di PWTC kami jadi penanggah. Masa konvokesyen UPM kami jual bunga. Kami mengambil peluang dengan kepakaran yang tidak seberapa dalam bidang perhutanan untuk menganjurkan Kem Ikhtiar Hidup untuk pelajar-pelajar sekolah. Kami ambil upah jual t-shirt. Kami juga tidak melepaskan peluang menggunakan kemudahan percuma di fakulti dengan mengambil upah membasuh kereta pensyarah dan staf di UPM. Selain itu juga kami sekelas merancang dan melaksanakan 'tayangan perdana'. Filem-filem terbaru pada masa itu seperti filem Puteri yang baru saja masuk panggung kami tayangkan kepada warga UPM di Dewan Kuliah Hutan. Penuh panggung untuk kesemua tayangan. Sampai ada yang sanggup duduk atas tangga dan berdiri. Banyak kami buat untung. Filem-filem Tamil, Inggeris dan Hisdustan turut juga ditayangkan. Semua duit tersebut kami kumpulkan dalam tabung kelas.

Latihan praktikal kami pada tahun terakhir pengajian adalah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia. Setelah ditolak duit makan, tambang, penginapan dan belanja lain, saya dan rakan-rakan sekelas yang lain sungguh terkejut. Kami semuanya mendapat duit poket untuk trip kali ini. Mustafa, bendahari kelas mengumumkan bahawa setiap seorang daripada kami mendapat imbuhan sebanyak RM700.00 di atas titik peluh kami sepanjang empat tahun di Fakulti Perhutanan. Alhamdulillah.

Tidak pernah langsung saya terfikirkan, rupa-rupanya sepanjang belajar di UPM saya telah menanam benih yang subur berkembang. Benih tersebut adalah semangat setiakawan, pengalaman dan kenangan yang tidak boleh dijual beli. Inilah benih yang dapat mematangkan saya lagi di dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini.

Nasihat saya kepada adik-adik di universiti, gunakanlah sepenuhnya peluang yang singkat di universiti untuk menambahkan pengalaman. Janganlah hanya memikirkan untuk mendapatkan segulung diploma dan ijazah sahaja tanpa sempat menjalani kehidupan sebenar sebagai mahasiswa dan masyarakat. Tidak ada gunanya sekiranya menjadi 'beruk bilik' dan anti sosial. Ini kerana kemahiran bersosial sangat penting di dalam dunia yang serba mencabar ini. Kepada adik-adik yand memang sedia aktif dalam aktiviti kokurikulum pula, janganlah terlalu mengharapkan subsidi daripada pihak fakulti dan HEP sahaja. Berusahalah mencari sumber kewangan sendiri. Kalau boleh dijadikan contoh, saya dan rakan sekelas dahulu bukan sahaja aktif dalam berpersatuan, beraktiviti dan bekerja sambilan tetapi kesemua rakan sekelas saya mendapat CGPA 2.80 dan ke atas. Yang penting bijak membahagikan masa.

Tuesday 10 June 2008

Menarik di Ulu Yam

Hutan Lipur Sg Tua, Ulu Yam sememangnya tempat yang menarik untuk berkelah. Ianya sering dikunjungi oleh orangramai pada hujung minggu dan lebih-lebih lagi di waktu cuti sekolah. Kalau di hujung minggu tidak cukup ruang parkir yang disediakan. Kenderaan pengunjung melimpah hingga ke tepi-tepi jalan. Antara aktiviti lain yang boleh dijalankan di sini selain daripada berkelah adalah seperti mandi manda, berkhemah, merentas hutan, aktiviti ikhtiar hidup, river trekking dan macam-macam lagi. Air terjun dan sungainya yang jernih dan sejuk sentiasa mengamit pengunjung untuk terus mengunjungi hutan lipur ini.


Namun sehari dua ini kita dikejutkan dengan aktiviti yang tidak bermoral yang dilakukan oleh segelintir manusia yang hanya memikirkan keseronokan dunia. Mereka menjadikan sebuah premis di kawasan hutan lipur ini sebagai tempat untuk berpoya-poya dan melakukan aktiviti seks. Kata wakil daripada sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas kawasan ini, premis ini telah wujud kira-kira empat tahun yang lalu [2005] dan aktiviti sebegini pula dikesan baru beroperasi dua tahun lalu. Dengan intipan baru dua minggu lalu maka pihak berwajib telah bertekad untuk menyerbu premis terbabit hujung minggu lalu. Hujan lebat jadi penghalang. Tiada tangkapan.

Kasihan... kawasan yang bersih dan tenang ini telah dinodai dengan aktiviti lewat malam yang sememangnya tidak bermoral langsung. Jauhnya daripada kesibukan kota sepatutnya menjadikan kawasan ini amat bersesuaian sebagai tempat untuk mencari ketenangan diri dan berhibernasi. Disalahgunakan pula untuk berdangdut dan aktiviti seks. Tuding menuding pun berlangsunglah di antara dua agensi yang memegang tanggungjawab.

Saya pernah melalui satu pengalaman yang telah meragut nyawa pengunjung di sebuah kawasan air terjun seperti di Ulu Yam ini. Tentu ada yang masih ingat tragedi yang berlaku pada 16 Ogos 1999 di air terjun Sagil iaitu di kaki Gunung Ledang. Akibat aktiviti manusia yang tidak bermoral di kaki Gunung Ledang tersebut maka Allah telah menurunkan bala. 'Kepala air' turun dengan tidak semena-mena. Orang yang tidak berdosa yang sedang mandi manda dan menikmati kesejukan air sungai di kaki Gunung Ledang maut dan hanyut dibawa arus deras kesan daripada 'kepala air'. Ketika itu saya sedang mengendalikan program alam sekitar untuk penuntut daripada UTM. Nasib baik peserta saya baru hendak memulakan aktiviti 'blind trail'. Jadi tidak ada yang mandi manda di dalam sungai. Sedih saya menyaksikan mayat-mayat ini dibawa keluar dari celah-celah batu oleh penyelamat selepas 'kepala air' reda. Ahli-ahli keluarga mangsa menangis menantikan mayat-mayat yang telah dijumpai dibawa ke tepi sungai. Seingat saya, kejadian tersebut telah meragut enam mangsa.

Kita tidak mahu perkara sama berlaku di mana-mana pun jua. Oleh itu pihak yang telah dipertanggungjawabkan perlulah peka dan jujur di dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Janganlah menantikan sehingga berlaku malapetaka baru kelam kabut menuding jari. Orang ramai juga perlu turut sama menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib kerana kadang-kadang pihak berwajib tidak 'nampak' aktiviti kurang sihat yang dijalankan oleh pihak yang licik ini.

Sakit

Semalam saya MC. Kamilia dan Liza turut serta. Semuanya mungkin berpunca dari salah makan kot. Keracunan makanan.

Kamil seorang sahaja yang OK.

Seawal jam 12.15 malam Isnin Kamilia dah mula muntah-muntah. Lebih daripada 10 kali dia muntah semalam. Alhamdulillah, selepas dibawa ke klinik jumpa doktor dan makan ubat, hari ini Kamilia dah boleh ke sekolah semula.

Saya pula sakit kepala melampau dan cirit birit. Bermula daripada malam Sabtu lagi. Aduh.. lembik la jugak. Jadi tak ada lah PTK untuk saya pada kali ini. Tak ada rezeki kali ini. Sakit kepala masih terasa lagi. Perut pun asyik dok memulas saja. Inilah dugaan untuk kami sekeluarga. Kami redha.

Friday 6 June 2008

"Adik nak, boleh"

"Papa...adik nak jam Batman, boleh", soal Kamil. "Papa tak ada duit la adik", balas saya sekadar hendak menguji. Namun Kamil seperti tidak faham maksud saya terus mencuba. Dia mula merapati saya. "Papa...adik nak jam Batman, boleh!", sekali lagi Kamil bertanya. "Nanti papa kerja, cari duit...lepas tu papa beli ya", balas saya. Seterusnya saya masih mendengar Kamil berulangkali menggunakan ayat yang sama untuk meraih simpati saya agar menjadikan permintaannya suatu kenyataan.

Begitulah Kamil, sejak dua menjak ini. Dia dah mula pandai meminta apa sahaja yang berkenan di matanya terutama sekali pakaian dan benda-benda yang ada karakter 'superhero' kegemarannya. Kuat sungguh pengaruh Ultraman, Batman dan Spiderman dalam hidup si cilik ini.

Permintaan dan pujukannya yang bersahaja dan sejuk telinga mendengarnya menyebabkan naluri saya cuba untuk membeli barang yang diingininya walaupun mulut berkata sebaliknya.

Demi tidak menghampakan harapan si anak kecil ini, saya berusaha untuk mendapatkannya.

Thursday 5 June 2008

Pra PTK

Hari ini seharian saya berada di Menara Sultan Abdul Aziz Shah UiTM. Kursus Pra PTK selama 2 hari (5 hingga 6 Jun).

Para peserta diajar cara untuk mengisi borang permohonan untuk penyelidikan eScience. Teknik untuk mendapatkan geran penyelidikan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Semoga kursus ini menjadi penyemarak kepada budaya menyelidik di kalangan pensyarah UiTM. Saya sendiri sedang dalam proses menyiapkan kertas cadangan penyelidikan berkaitan refleksi peserta program pendidikan luar dan alam sekitar yang melibatkan golongan orang kurang upaya dan orang normal. Bagaimanakah hasilnya apabila program pendidikan luar dan alam sekitar bagi kedua-dua golongan ini disepadukan?

Wednesday 4 June 2008

Naik Lagi

"Innalillah petrol naik lagi." Itulah yang terbit daripada mulut saya apabila mendapat panggilan daripada Shawn. "Boss... minyak naik harga, saya tengah beratur panjang la nie", kata Shawn.

Saya yang kebetulan baru keluar daripada Pasaraya Bintang terus menjemput Kamilia kat tempat mengaji dan seterusnya menuju ke Petronas. Memang bersusun kereta. Banyak sungguh kereta. Semuanya dah tak sabar nak isi minyak. Harga petrol naik 40% ke RM2.70. Sakit ooo.

Tengah beratur dapat pula panggilan Liza. Maklumkan perkara yang sama.

Lepas isi tangki MyVi putih terus pulang ke rumah. Solat Maghrib. Satu lagi tugas menanti. Kini tangki Waja pula perlu diisi.

Beratur semula. Kali ini lebih panjang. Ramai yang saya lihat dah mula hilang sabar. Mulalah ada yang potong barisan. Dah tak berapa nampak barisan. Tak ada kesedaran sivik langsung. Itulah 'orang Malaysia'.

Terdengar seorang 'orang besar' yang memakai kereta besar yang terperangkap dalam kesesakan tersebut berkata, "Apala... beratur nak isi minyak macamla boleh tahan setahun". Saya faham maksud beliau. Beliau ada pemandu. Mungkin beliau orang berada, bolehlah cakap macam tu. Apalah sangat dengan isi petrol sebanyak RM60.00. Sehari pun dah habis. Tapi orang macam saya RM60.00 boleh pakai seminggu. Jimat. Lepas ini mungkin RM60.00 untuk 2 hari sahaja.

Ada satu kejadian turut menarik perhatian saya. Dua orang pemandu perempuan terlebih isi petrol. Apa lagi melimpah petrol kat atas lantai. Nasib baik Abang Bangla kat stesen minyak tu perasan. Kalau tak mandi minyak la jawabnya. Nak penuh punya pasal.

Mati Lemas

Pengalaman saya semasa belajar di universiti sekitar tahun 1992 hingga 1998 memang indah. Program Matrikulasi Sains selama 2 tahun dan ditambah dengan program ijazah selama 4 tahun rasanya seperti sekejap sahaja berlalu. Tak puas rasanya.

Musim cuti semester di universiti sebeginilah saya dan rakan-rakan penuhi dengan aktiviti rekreasi. Jarang sekali saya dapat peluang untuk pulang bercuti di kampung untuk tempoh yang lama.

Oleh kerana takut tidak mendapat kebenaran daripada mami [ibu saudara merangkap penjaga selepas kematian emak dan abah], jadi saya hanya memaklumkan aktiviti cuti saya sebaik sahaja pulang daripada mengikuti sesuatu aktiviti.

Pernah sekali tu, ketika mengikuti Kursus Kejurulatihan Rekreasi Tahap I sebagai peserta pada tahun 1993 di Tasik Chini, saya hampir-hampir mati lemas. Saya dipeluk dan ditekan oleh 2 orang wanita rakan sepelatih yang telah lemas. Saya telah ditarik sekali oleh kedua-dua mereka. Semuanya berpunca kerana mereka panik ketika aktiviti keyakinan diri di air. Tanpa jaket keselamatan. Kebetulan saya yang berada begitu hampir dengan mereka ketika kejadian itu berlaku.

Mana instruktor? Kenapa mereka tidak datang membantu?

Saya cuba melepaskan dan menyelamatkan diri. Namun gagal. Pelukan kedua-dua wanita yang boleh tahan besarnya badan mereka itu menyebabkan saya gagal meloloskan diri. Kuat sungguh. Saat itu hanya wajah arwah mak dan abah sahaja yang bermain di ingatan. Saya juga teringat yang saya tidak memaklumkan pemergian saya ke Tasik Chini untuk berkursus kepada mami dan baba. Tentu mereka menangis menuntut 'mayat' saya di hospital. Saya masih sempat mengucap. Namun Allah swt masih memberi saya peluang.

Seorang boatman yang kebetulan berada di jeti nampak kejadian tersebut. Dengan pantas beliau memecut botnya ke arah kami dan membantu. Ketiga-tiga kami akhirnya ditarik ke dalam bot. Saya bersyukur.

Setelah berkahwin dan mempunyai anak, sekarang barulah saya faham kenapa mami dan baba sering menghalang penglibatan aktif saya dulu. Lebih-lebih aktiviti yang di luar pengetahuan mereka. Alasannya sudah tentulah kerana tanggungjawab dan amanah yang mereka pikul demi menjaga anak yatim piatu ini. Takut sesuatu terjadi kepada saya.

Tuesday 3 June 2008

Ibu Mertuaku

Hujung minggu lalu saya sekeluarga gunakan untuk menziarahi ibu mertua di kampung.

Mak tak sesihat seperti sebelumnya. Dua jari kaki kirinya baru sahaja dipotong. Semuanya akibat penyakit kencing manis. Sedih dan ngilu juga melihat kaki mak yang masih berbalut.


Sebelum dipotong jari kaki, mak telah ditahan di wad selama 1 minggu. Tidak sedarkan diri. Anak, menantu dan cucu yang datang melawat, semua tidak dikenalinya. Sebelumnya mak mengadu demam panas. Lalu dibawa ke klinik. Doktor di klinik swasta tersebut dah tersalah bagi ubat selepas dibuat pemeriksaan. Dibaginya ubat sakit saraf. Beberapa ketika lepas memakan ubat tersebut terus mak tak sedarkan diri dan dipapah ke hospital.

Alhamdulillah sekarang dah sedar. Walaupun berkerusi roda, tapi mak masih gagahkan diri untuk menjamu anak cucu yang pulang ke kampung. Seronok katanya. Kesian mak.

Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang sangat memahami. Mak seorang yang tabah dan kuat semangatnya. Semoga Allah s.w.t terus memelihara kesihatan dan kesejahteraan mak. Amin